Sunday, July 9, 2023

Pengundi UMNO jangan keluar undi jika tak sanggup pangkah DAP

agendaily.com
09/07/2023
Sebelum ini Khalid Samad dikecam pemimpin UMNO kerana tidak menyokong pengampunan Najib.

Pemimpin Amanah menyarankan pengundi UMNO tidak keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini jika tidak sanggup memangkah calon DAP.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata tindakan itu perlu supaya tidak memberi keuntungan kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjadi pilihan kedua selain UMNO yang memperjuangkan hak orang Melayu.

“Saya tahu memang orang UMNO susah nak pangkah calon DAP tetapi calon DAP biasanya bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu.

“Tetapi kalau itulah yang berlaku, kalau rasa susah sangat nak pangkah calon DAP yang merupakan calon kerajaan perpaduan, lebih baik jangan keluar mengundi.

“Daripada mereka undi PN, ia hanya merugikan Pakatan Harapan dan mematikan Barisan Nasional,” katanya, lapor Utusan.

Kenyataan itu susulan respons kepada sentimen perkauman yang kuat dimainkan ketika ini membabitkan DAP sehingga dikatakan ramai pengundi Melayu lari daripada UMNO kerana tidak menerima jalinan perpaduan dengan parti itu.

Khalid turut mengingatkan pengundi UMNO yang PRN kali ini menentukan hidup mati parti itu.

“Pengundi mereka kena faham, UMNO BN sedang berusaha untuk mengekalkan survival. Yang boleh mematikan UMNO BN adalah PN, bukan PH.

“PRN ini akan menentukan BN dapat terus hidup atau mati. Sekarang ini semua penyokong BN harus ambil kesempatan untuk PN dikalahkan kerana yang boleh menggantikan UMNO adalah PN. PN yang konon nak mengambil perjuangan Melayu Islam, sementara PH membawa seruan yang berbeza.

“Maknanya, adalah lebih baik penyokong UMNO memberi undi kepada calon PH pada PRN nanti. Atau kalau tidak sanggup untuk memangkah calon yang ada, lebih baik jangan keluar mengundi dan memberi keuntungan kepada PN,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-