Friday, July 21, 2023

Sanusi hantar notis tuntutan kepada Saifuddin

hmetro.com.my
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
MUHAMMAD Sanusi sudah menghantar notis tuntutan kepada Saifuddin Nasution kerana didakwa memfitnahnya. FOTO Arkib NSTP

Sik: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu pihaknya sudah menghantar notis tuntutan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana didakwa memfitnahnya berhubung dua isu berasingan.

Beliau berkata, surat tuntutan itu berkaitan dakwaan Saifuddin bahawa beliau mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah dan menuduhnya menggunakan peruntukkan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) sebanyak RM1.6 bilion untuk tujuan lain.

"Peguam saya sudah e-mel surat tuntutan itu malam ini, esok kita akan sampaikan notis tuntutan itu secara tangan kepada Saifuddin.

"Kalau dia tak jawab dalam tempoh diberikan kita akan mulakan proses saman , wajib dah saman, tak boleh biaq (biar) dah," katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di sini, malam tadi.

Ahad lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin berhubung isu dana Marris dan REE.

Muhammad Sanusi berkata maklumat dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.

Katanya, beliau mempunyai dokumen lengkap mengenai kesemua isu berkenaan dan menasihatkan Saifuddin tidak mencampuri urusan kementerian lain.

Saifuddin dalam kenyataan balasnya berkata bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan undang-undang yang mahu diambil oleh Muhammad Sanusi berhubung isu dakwaan kecurian REE.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan beliau mempunyai banyak bukti untuk menyokong dakwaan itu dan akan terus berdiri teguh dengan kenyataannya berhubung perkara itu.

Disiarkan pada: Julai 21,
2023

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-