Friday, July 21, 2023

Tajuddin tak mahu rayu lagi, enggan kempen untuk Umno pada PRN

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad 
21 Jul 2023

Tajuddin telah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali bagaimanapun tidak dibalas, sambil menambah sudah tidak mahu merayu lagi.
Sebelum ini, Tajuddin Abdul Rahman menggesa Presiden Umno Zahid Hamidi menarik balik penggantungan keahliannya agar beliau boleh menggempur pesaing Umno.

PETALING JAYA: Ahli politik veteran, Tajuddin Abdul Rahman enggan berkempen untuk Umno pada PRN Ogos depan kerana parti berkenaan tidak memberi maklum balas berkenaan rayuan menarik balik penggantungan keahliannya.

Tajuddin berkata, beliau mengemukakan rayuan sebanyak empat kali namun tidak dibalas, sambil menambah sudah tidak mahu merayu lagi.

“Itulah saya cakap bagi balik lah keris saya itu – keahlian saya itu. Penggantungan keahlian saya itu kenapa tak ada respon? Kalau nak suruh saya kempen, tapi penggantungan saya itu lepaskan lah,” katannya kepada FMT.

“Macam mana nak buat kerja? Nak tolong (kempen) kalau saya pun ‘diikat’, kaki saya ‘diikat’, tangan saya ‘diikat’, nak buat apa?”

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaannya berkempen pada PRN bulan depan, termasuk status rayuan terhadap penggantungan keahlian enam tahun.

Sebelum ini, Tajuddin menggesa Presiden Umno Zahid Hamidi menarik balik penggantungan keahliannya agar beliau boleh menggempur pesaing Umno.

“Saya dalam Umno 50 tahun, daripada jadi ketua pemuda pada usia 25 tahun. Mereka buat saya macam ini apa salah saya? Takkan tak boleh mengkritik, bagi pandangan, bagi nasihat, takkan tak boleh ditegur? Nak jadi apa parti kalau tak boleh ditegur?” katanya.

Tajuddin bagaimanapun tidak kecewa dengan Umno, sebaliknya yang bersalah adalah pemimpin yang mengendalikan parti berkenaan.

“Nampak pemimpin ini tak ada kepentingan parti, lebih kepentingan peribadi. Nak kedudukan, pangkat, tak fikirkan parti. Mereka tahu parti dalam keadaan lemah pun mereka tak kisah, mereka rasa yakin sahaja, macam sebelum PRU15.

“Jadi kerajaan menumpang pun rasa hebat lagi, apa benda ni? Di mana maruah Umno,” katanya.

Tajuddin turut menolak untuk menyertai parti lain ketika ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-