Tuesday, July 18, 2023

Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 18, 2023 9:41 AM
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Dia didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai llalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, jurukamera dan pengamal media yang menunggu sejak jam 7 pagi gagal merakamkan gambar pemimpin PAS itu yang dibawa pihak polis menerusi laluan lokap mahkamah.

Adun Jeneri itu turut ditemani peguamnya, Shaharuddin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

Turut berada di pekarangan mahkamah adalah ahli Parlimen Jerlun, Abdul Ghani Ahmad, ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim.

Sementara itu, keadaan di sekitar bangunan mahkamah dilaporkan tenang dan terkawal dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan beberapa elemen pasukan termasuk polis trafik dan Pasukan Gerakan Am (PGA) lengkap dengan senjata raifal.

Ia turut dibantu dengan dron oleh Unit Dron PDRM yang melakukan pemantauan di lokasi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-