Tuesday, July 18, 2023

Sanusi tiba di mahkamah bagi berdepan tuduhan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 18, 2023 9:21 AM
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba di Mahkamah Selayang di Kuala Lumpur pagi ini, bagi menghadapi pertuduhan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politiknya.

Muhammad Sanusi, 48, yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam tiba di mahkamah pada 8.57 pagi.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah dilihat tenang dan tersenyum kepada pihak media ketika berjalan masuk ke bangunan berkenaan.
Sementara itu, petugas media daripada pelbagai agensi berita mula berkumpul sejak 7 pagi untuk membuat liputan kes berkenaan.

Menerusi hantaran di laman Facebook Muhammad Sanusi, beliau ditahan polis kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hotel di sini dan dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Media baru-baru ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Pada 13 Julai, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media khas berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R dalam ceramah politiknya.

Razarudin berkata siasatan berkaitan 3R itu dibuat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-