Diterbitkan: Aug 11
Badan Pemikir Ilham Centre menjangkakan antara 27 hingga 58 peratus penyokong Umno akan mengundi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya di enam negeri, esok.
Menurutnya, peratusan penyokong Umno yang akan berpindah itu adalah berbeza di seluruh kawasan dan didorong oleh faktor berbeza.
“Umno kalah di semua kerusi parlimen majoriti Melayu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor namun cemerlang di Negeri Sembilan dalam PRU15.
“Justeru keupayaan Umno untuk menarik sokongan orang Melayu dalam PRN ini masih disangsikan,” katanya.
Ilham Center seterusnya berkata penyokong Umno yang tidak berpuas hati secara umumnya boleh dibahagikan kepada tiga kelompok
Kelompok pertama adalah yang menentang Ahmad Zahid Hamidi dan menyalahkan presiden Umno itu atas apa yang berlaku ke atas parti semasa pilihan raya umum 2022.
“Kedua kelompok yang tiada masalah dengan Zahid tapi marah Umno bekerjasama dengan PH.
“Kelompok ini masih tidak dapat menerima kerjasama tersebut khususnya dengan DAP yang dianggap ekstrim dan cauvinis Cina yang anti-Melayu,” katanya.
Kelompok penentang terakhir ialah mereka yang menerima Zahid dan kerjasama dengan Harapan tetapi tidak berpuas hati dengan pemilihan calon.
“Keadaan ini boleh terubat dengan pemimpin Umno turun bertemu mata dengan ahli akar umbi menjelaskan dengan tuntas keputusan bersama (seteru utama Umno) DAP dan (perdana menteri) Anwar Ibrahim,” kata Ilham Centre.
Badan pemikir itu membuat rumusan tersebut berdasarkan tinjauan selepas hari penamaan calon yang bermula pada 29 Julai sehingga 8 Ogos lalu membabitkan 2,416 responden di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang.
Responden dipilih melalui persampelan berstrata rawak.
Ia bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah responden yang dikenal pasti sebagai penyokong Umno.
Sementara itu, Ilham Center menjangkakan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya esok adalah "rendah" berbanding pilihan raya parlimen 2022, kecuali di Selangor dan Kedah.
“Bagi responden yang mengundi di Terengganu dan Kelantan kelihatan selesa dengan kemenangan besar PAS dalam PRU lalu melihat parti itu akan menang walaupun mereka tidak pulang mengundi.
“Ini membentuk sikap selesa pada pengundi di dua negeri berkenaan.
“Selangor dan Kedah mencabar dan panas mengundang keterujaan tinggi untuk pengundi berpartisipasi dalam proses demokrasi kali ini,” kata Ilham Centre.
Peratusan keluar mengundi negara semasa pilihan raya umum ke-15 pada 2022 adalah 74.04 peratus. Pecahan peratusan keluar mengundi peringkat negeri adalah seperti berikut:
Selangor - 78 peratus
Terengganu - 78 peratus
Negeri Sembilan - 76 peratus
Pulau Pinang - 76 peratus
Kedah - 75 peratus
Kelantan - 69 peratus
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.