Sunday, August 6, 2023

Jangan percaya DAP akan sokong agenda Islam, Melayu : Tun Faisal

agendaily.com
06/08/2023
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan pengundi agar tidak terus percaya kepada janji DAP untuk menyokong agenda Islam dan Melayu.

Menurutnya, selagi tiada perjanjian bertulis, jangan terpedaya dengan parti itu.

“Begitu terdesaknya PH-BN hari ini selepas melihat besarnya gelombang rakyat dan gelombang Sanusi sehingga DAP pun kata mereka boleh menyokong agenda Islam dan Melayu.

“Jangan tertipu kerana dulu Lee Kuan Yew sanggup pakai songkok untuk raih undi Melayu Singapura. Othman Wok juga dipergunakan untuk mempengaruhi orang Melayu.

“Selagi tiada perjanjian bertulis, jangan sesekali kita terpedaya dengan DAP. Cukuplah rakyat tertipu dengan dua orang Melayu PKR dan Melayu UMNO.

“Seorang Melayu PKR menipu rakyat dengan pelbagai janji dan tuduhan palsu. Seorang lagi Melayu UMNO yang sanggup bersumpah dengan nama Allah untuk menipu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk membuat perjanjian bertulis dan pindaan Perlembagaan DAP mengenai dasar serta ideologi parti itu.

“Jika Anthony Loke tidak berani dan tidak mampu, maka ia hanya satu lagi penipuan PH-BN kerana terdesak untuk meraih undi Melayu,” katanya.

Beliau turut menggariskan beberapa perkara yang perlu dimasukkan dalam perjanjian tersebut termasuklah membatalkan Deklarasi Setapak, agenda Malaysian Malaysia dan yang seumpama dengannya.

“Menggantikan dan memansuhkan segala pernyataan dalam Perlembagaan DAP yang mengatakan Perlembagaan Persekutuan adalah bersifat sekular dan menyatakan sokongan dan pengakuan bahawa Agama Persekutuan adalah Islam.

“Menghentikan segala agenda kesamarataan agama dan mesti mengakui kedudukan Islam di dalam negara ini mengatasi kedudukan mana-mana agama dan kepercayaan.

“Menghentikan segala agenda kesamarataan kaum dan memperakui peruntukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di dalam perlembagaan termasuk tindakan-tindakan kerajaan untuk memastikan ia berkuat kuasa dan terlaksana,” katanya.

Selain itu, beliau turut menuntut DAP menyokong RUU355 dan pelaksanaannya di negeri serta menyokong segala usaha mengukuhkan kuasa dan kedudukan Mahkamah Syariah dan undang-undang Islam

“Menyokong enakmen yang menghalang penyebaran agama lain terhadap umat Islam dan enakmen yang menghalang umat Islam daripada menukar agama dan murtad.

“Menyokong dan meneruskan rayuan terhadap kes Kalimah Allah dan menyokong usaha untuk menghalang Kalimah Allah menggantikan Biblical God,” katanya.

Malah bekas pemimpin UMNO itu menyeru agar segala agenda liberal dan asing yang mahu menyamaratakan kedudukan agama dan kaum menggugat kedudukan Raja-raja Melayu dihentikan dan dihalang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-