Sunday, August 27, 2023

'Penjawat awam masih sokong PN kerana tersinggung sikap kerajaan kini' - Ilham Centre

 

Ogos 27, 2023
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sentimen Melayu dan Islam terancam, selain tidak memahami konsep Malaysia MADANI, menyebabkan penjawat awam di enam negeri masih 'terperangkap' dalam pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Dapatan itu diperoleh membabitkan kajian melalui kaedah kualitatif dengan 200 penjawat awam ditemubual secara mendalam berhubung sentimen mereka.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar, berkata penjawat awam yang ditemui di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan membabitkan pelbagai segmen antaranya guru, polis, tentera serta pegawai pentadbir.

Beliau berkata, istilah 'terperangkap' yang dimaksudkan ialah penjawat awam yang ditemubual masih memilih untuk menyokong era pentadbiran Muhyiddin yang juga Perdana Menteri ke-lapan.

"Dalam kalangan kira-kira 217 responden, lebih 90 peratus menyokong Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin.

"Saya sendiri menemubual 60 daripadanya, dan mereka mengakui selesa dengan kepimpinan Muhyiddin yang dilihat membela Melayu serta Islam.

"Penjawat awam berasa mereka diberi kepercayaan oleh kerajaan ketika itu, tanpa kontroversi dan persepsi diganggu gugat dalam menjalankan tugas," katanya kepada BH, di sini.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar.

Pada masa sama, Muhamad Hisommudin berkata, sebaliknya dalam pentadbiran kini, penjawat awam ditemui mengakui 'tersinggung' dengan tindakan kepimpinan kini yang seolah-olah menyalahkan golongan itu dalam aspek rasuah.

Katanya, walaupun wujudnya usaha daripada kerajaan sedia ada dalam menjaga kebajikan penjawat awam termasuk aspek gaji, namun persepsi mereka mengatasi inisiatif terbabit.

Malah beliau berkata, penjawat awam yang ditemui juga mengakui sebahagian menteri dilihat tidak kompeten, malah menyumbang kepada defisit sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Katanya, imej menteri khususnya yang menjaga aspek keselamatan kebiasaannya dilihat sebagai pemimpin 'bermulut emas' dan sangat berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

"Namun ada tindakan menteri tertentu yang didakwa berlebihan menjadi jurukempen dalam menyerang pembangkang, dianggap penjawat awam sebagai tindakan bersifat canggung selain ada yang dianggap tidak mampu menyampaikan dasar Malaysia Madani dan menangkis naratif dimainkan pembangkang..

"Bagi penjawat yang ditemui dalam kajian itu, mereka berasa tawar hati, malah ada sebahagiannya yang menganggap tindakan sebegitu memalukan pihak keselamatan berkenaan," katanya.

Muhamad Hisommudin berkata, keselesaan penjawat awam pada pentadbiran Muhyiddin yang mengetuai parti komponen PN, BERSATU turut didorong oleh 'memori hitam' ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 lalu.

Katanya, kenyataan dibuat pemimpin ketika pentadbiran PH, lima tahun lalu, yang ingin mengurangkan penjawat awam, selain melihat kedudukan Melayu dan Islam terancam ketika itu, menghantui mereka.

"Penjawat awam berasa tidak selamat ketika itu, sehinggalah mereka berada pada pentadbiran Muhyiddin selepas jatuhnya kerajaan PH pada 2020.

"Namun pada pentadbiran kini mereka kembali pada fasa sama, selepas wujudnya beberapa kenyataan yang mengaitkan penjawat awam ini terbabit rasuah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pentadbiran kini berbuat sesuatu dengan memahamkan penjawat awam berkaitan hala tuju dasar kerajaan khususnya melalui konsep MADANI dan meyakinkan bahawa kedudukan mereka tidak tergugat.

Katanya, ini kerana jika sentimen ini berterusan, ia dikhuatiri boleh menimbulkan daulah terpendam (rasa tidak puas hati) kepada pentadbiran dalam kalangan penjawat awam, sekaligus merencatkan usaha dilakukan kerajaan.

"Ini kerana, apa yang dilaksanakan penjawat awam tidak sepenuh hati kerana ada sebahagian mereka mengkritik dasar Malaysia MADANI yang dilihat kabur, akhirnya menyebabkan mereka lebih terasing untuk menyokong kerajaan.

"Jika tiada usaha dilaksanakan, saya yakin pola sokongan terhadap Muhyiddin akan berterusan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak," katanya.
bharian.com.my
Oleh Suzalina Halid -
suzalina@bh.com.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-