Tuesday, August 29, 2023

Sampai bila UMNO hanya mahu jadi penumpang kuasa: Tajuddin

agendaily.com
29/08/2023
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kecewa melihat keadaan UMNO sekarang yang terpaksa menumpang dengan parti lain hanya semata-mata mahu berkuasa dan semakin hilang pengaruh di kalangan orang Melayu.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata orang Melayu khususnya pasti kecewa melihat keadaan yang sedang dihadapi UMNO sekarang ini apabila sekadar menjadi penumpang dan kuasa tidak berada ditangan parti itu lagi.

“Kita kembali kepada keadaan seperti 2018 (kejatuhan UMNO pada PRU-14). Ramai orang kita (Melayu) tak kira UMNO atau PAS tak sedih. Ini bukan soal politik sahaja, ini soal perjuangan untuk bangsa.

“UMNO cuma tumpang kuasa (dalam kerajaan campuran), saya bimbanglah apa yang kita boleh buat dengan menumpang. Kuasa tidak di tangan kita sebaliknya di tangan orang,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Tajuddin berkata demikian semasa mengadakan sidang akhbar di kediamannya hari ini.

Tegasnya, PAS dan UMNO perlu mencari jalan ‘menang-menang’ untuk kembali bermuafakat seperti yang pernah diwujudkan dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini yang pada akhirnya terkubur disebabkan pimpinan masing-masing membawa haluan berbeza.

“Saya nak minta sebelum pilihan raya (PRU-16) UMNO bangkit semula, Melayu bangkit semula dan berdiri di atas kaki sendiri. Bekerjasama dengan PAS seperti dulu.

“Orang PAS pun jangan berlagak sangat, menang banyak kerusi bukan main gah lagi. Orang UMNO, Pas jangan berlagak sesama sendiri, kalau mahu tunjuk hebat, tunjuk pada orang lain,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, UMNO tidak boleh menumpang kuasa dengan gabungan lain selamanya sebaliknya perlu mengumpulkan kekuatan dan kembali menjadi dominan dalam kerajaan.

“Takkan kita hendak begini selamanya, UMNO jadi parti kecil dalam komponen Kerajaan Perpaduan. Kita mahu UMNO kembali gagah. Harapannya satu hari nanti ia akan kembali dominan dalam kerajaan,” katanya lagi.

Pada PRU-15, UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang 26 kerusi, manakala empat kerusi lagi dimenangi wakil MCA dan MIC.

Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 79 kerusi Parlimen pada PRU-15, daripada jumlah itu, PAS memenangi kerusi paling banyak iaitu, 49 kerusi manakala 30 lagi adalah milik Bersatu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-