Tuesday, August 1, 2023

Semak fakta: Kenyataan media larangan Hadi ke Saudi palsu

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 1, 2023
Satu kenyataan media yang dikongsi secara meluas mendakwa kononnnya Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilarang memasuki Arab Saudi didapati palsu.

Menurut Facebook rasmi PAS, 'dokumen' itu bukanlah tulen, antara lain kerana tarikh yang dipaparkan dibuat menggunakan kalendar tahun Masihi dan bukannya Hijrah seperti yang lazim dipakai Riyadh.

PAS juga berkata Abdul Hadi bukan lagi naib presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Kuis) seperti dinyatakan dalam paparan tersebut yang bertarikh 23 Julai.

Semakan Malaysiakini terhadap kenyataan media oleh Kementerian Luar Arab Saudi yang berbahasa Inggeris sebelum ini juga mendapati bahawa font yang digunakan dalam kenyataan memetik nama Abdul Hadi itu adalah berbeza.

Arab Saudi juga biasanya menggunakan kedua-dua kalendar Masihi dan Hijrah dalam kenyataan bahasa Inggeris mereka.

Malaysiakini telah menghubungi Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur untuk mendapatkan penjelasan.
Isu mengenai sama ada Abdul Hadi diharamkan memasuki Arab Saudi pertama kali dibangkitkan pada 2017. Bagaimanapun selama bertahun-tahun ahli parlimen Marang itu menyangkalnya.

Ia turut dinyatakan di Dewan Rakyat pada 2019.

Kuis diletakkan dalam senarai pengganas pada 2017 oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain yang merupakan kumpulan negara yang dikenali secara meluas sebagai “negara-negara Teluk Arab.”

Kuis berpangkalan di Qatar dan disertai kira-kira 90,000 ulama Islam dari seluruh dunia. Bagaimanapun senarai hitam itu tidak merujuk kepada ulama secara individu termasuk Abdul Hadi.

Krisis Riyadh-Doha

Sebab-sebab Kuis disenarai hitam juga sukar difahami, dan berkait rapat dengan geopolitik negara-negara Arab terbabit.

Pada Jun 2017, negara-negara itu memutuskan hubungan dengan Qatar atas alasan Doha memberikan Qatar terhadap keganasan - suatu tuduhan yang dinafikan oleh kerajaan negara berkenaan.

Hubungan Doha - Riyadh memang renang sejak bertahun-tahun sebelum itu. Antara lain ekoran sokongan diberikan Qatar kepada kumpulan seperti Hamas dan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Kuis sendiri sebahagian besarnya terdiri daripada ulama yang mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin.

Negara-negara Teluk Arab itu juga mengambil kira pelbagai keputusan dari Doha, termasuk keberadaan rangkaian berita Al Jazeera yang dibiayai Qatar.

Krisis diplomatik itu menyebabkan masalah ekonomi dan sosial dengan sekatan sempadan darat dan ruang udara yang menjejaskan perjalanan dan perdagangan.

Krisis yang memberi kesan di banyak negara lain itu akhirnya tamat pada Jan 2021 melalui perjanjian yang diusahakan oleh Kuwait serta Amerika Syarikat.

Semasa senarai hitam tersebut dikeluarkan Kuis diketuai ulama terkemuka Mesir yang menetap di Doha, Yusuf al-Qaradhawi, iaitu tokoh yang dianggap oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai gurunya.
Al-Qaradhawi (meninggal dunia pada 2022) dituduh oleh Barat sebagai mempromosikan keganasan walaupun dia turut bersuara menolak kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Pada masa sama, Abdul Hadi menyalahkan kumpulan Mason-Zionis Antarabangsa - yang mungkin merujuk kepada pakatan didakwa wujud antara Yahudi Zionis dengan Freemason - sebagai dalang di sebalik penyenaraian Kuis sebagai pertubuhan pengganas.

Malaysiakini adalah sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta Malaysia JomCheck.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak kesahihan sesuatu fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (WhatsApp sahaja) atau melalui pautan ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-