Tuesday, August 1, 2023

Kerajaan Kelantan teruskan bas percuma bawa mahasiswa balik undi

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
01 Aug 2023

Ahmad Yakob berkata, perkhidmatan itu bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan pulang mengundi.
Ahmad Yakob berkata, perkhidmatan bas percuma itu untuk membawa pelajar universiti pulang mengundi, bukannya bertujuan membeli undi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan meneruskan perkhidmatan bas percuma bagi membawa pelajar universiti pulang mengundi pada 12 Ogos ini, walaupun timbul kebimbangan seperti disuarakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata perkhidmatan bas percuma itu tidak dibatalkan kerana kerajaan negeri sudah berjanji kepada rakyat dan ia bukan bertujuan membeli undi, sebaliknya tanggungjawab negeri bagi membantu pelajar kekurangan wang untuk pulang mengundi.

“Kita yang hanya menyediakan perkhidmatan bas percuma pun dikata mahu membeli undi sedangkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi berhubung pemberian geran di Terengganu jelas mahu membeli undi, namun dikatakan sebaliknya.

“Jika macam itu pun bukan rasuah, jadi yang sebenar rasuah adalah macam mana?” katanya menurut Berita Harian selepas pelancaran program Perikatan Nasional “Kelantan Maju Rakyat Sejahtera” di Tanah Merah malam tadi.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menasihatkan perkhidmatan bas percuma tidak menawarkan untuk membawa pengundi pulang.

Katanya, perkhidmatan bas percuma yang ditawarkan calon atau parti politik akan menimbulkan persoalan kerana ada “perkara boleh berlaku dalam bas yang kita tidak akan tahu”.

Jumaat lalu, Zahid mengumumkan geran untuk belia di Terengganu dan menggesa mereka mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN bulan depan.

Katanya, jumlah diperuntukkan itu mungkin ditambah, bergantung kepada keputusan 12 Ogos nanti.

Tetapi, Azam kemudian menyifatkan geran RM350,000 yang diumumkan Zahid kepada belia Terengganu tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah kerana sebagai kerajaan memerintah, Putrajaya berhak memberi inisiatif yang difikirkan wajar kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-