Wednesday, September 20, 2023

Cuma jadi penasihat, peranan Dr M dalam ‘SG4’ tak bawa kesan, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
redeep Nambiar - 20 Sep 2023

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, peranan Mahathir tidak akan memberi kesan terhadap kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN.
Peranan Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat dapat menghapuskan stigma negatif yang sering dikaitkan dengan negeri ditadbir PAS, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Peranan Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kepada kumpulan empat negeri pimpinan PAS tidak akan memberi kesan terhadap kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Mahathir sekadar akan menjadi penasihat ekonomi untuk kumpulan itu yang dikenali sebagai “state-government 4” atau SG4.

Katanya, ini serupa dengan peranan dimainkan Anwar Ibrahim dalam kerajaan negeri Selangor sebelum ini.

Azmi percaya PAS sekadar mahu menggunakan bekas perdana menteri itu untuk mengukuhkan kepercayaan terhadap kerajaan negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Peranan Mahathir sebagai penasihat juga akan membantu menghapuskan stigma negatif yang sering dikaitkan dengan negeri ditadbir PAS, katanya.

“Mahathir sebagai bekas perdana menteri mempunyai pengalaman meluas. Pengaruh dan pengetahuannya amat penting, dari segi (menyebarkan) persepsi bahawa (empat negeri itu) menuju ke arah masa depan lebih baik,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata empat negeri di bawah pentadbiran PN bersetuju mewujudkan kerjasama SG4 bersama Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi.

Samsuri berkata, Mahathir akan memainkan peranan tidak rasmi, antaranya dalam aspek tadbir urus dan hubungan dengan pelabur luar.

Bagaimanapun, Salleh Said Keruak dari Umno mendakwa tindakan itu bertujuan menonjolkan Mahathir sebagai ketua de facto gabungan itu.

Sementara itu, James Chin dari University of Tasmania tidak menganggap perkembangan terbaru ini akan memberi kesan terhadap Muhyiddin, kerana Mahathir hanya memainkan peranan sebagai “ikon pembimbing”.

Katanya, PN menyatukan parti dan ikon berbeza untuk melawan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan di bawah konsep “khemah besar”. Namun begitu, katanya, penguasaan PN tidak akan tergugat.

“Mereka hanya mahukan satu perkara, iaitu menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, jadi jika Mahathir mahu membantu mereka apa salahnya?

“Mahathir mahu menjatuhkan Anwar secepat mungkin. Beliau semakin kehabisan masa,” kata Chin.

Ibrahim Suffian dari Merdeka Center bagaimanapun berkata tindakan menggunakan Mahathir untuk tujuan itu mungkin tidak memanfaatkan PN memandangkan bekas perdana menteri itu tidak lagi popular seperti satu ketika dulu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-