Saturday, September 2, 2023

Gesa DAP gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’ hanya pandangan peribadi Nur Jazlan, kata Zahid

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
02 Sep 2023, 3:30pm

Presiden Umno itu berkata, sekalipun timbul permintaan seperti itu, ia perlu mengikut saluran yang betul atas dasar hormat pada rakan gabungan kerajaan perpaduan.
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata, pihaknya menghormati rakan-rakan komponen dalam kerajaan perpaduan.

KUALA LUMPUR: Saranan agar DAP menggugurkan agenda negara sekular dan slogan “Malaysian Malaysia” dalam perlembagaannya sekadar pandangan peribadi ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Nur Jazlan Mohamed, bukan pendirian Umno, kata Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, sekalipun timbul permintaan seperti itu, ia perlu mengikut saluran yang betul atas dasar hormat pada rakan dalam gabungan kerajaan perpaduan.

“Saya ikuti dengan teliti, itu pendapat peribadi Nur Jazlan, bukan pendirian parti,” kata Zahid pada sidang media selepas merasmikan Kongres India Muslim Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia.

“Kita menghormati rakan-rakan komponen dalam kerajaan perpaduan dan jika ada pun permintaan itu, biar kita guna saluran melalui mesyuarat kita,” katanya

Sebelum ini, Nur Jazlan menyarankan agar DAP menggugurkan agenda negara sekular dan slogan “Malaysian Malaysia” dalam perlembagaannya, dan berubah menjadi lebih sederhana jika mahu diterima orang Melayu di negara ini.

Dalam responsnya, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, parti itu tidak perlu berbuat demikian semata-mata untuk mendapat sokongan kaum lain.

Sementara itu menerusi ucapannya, Zahid berkata, beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan kembali menjadi parti dominan selepas PRU16.

“PRU16 nanti kita akan jadi dominan semula dalam pentas politik tanah air, saya nampak cahaya yang sangat cerah di hujung terowong politik negara.

“Kita sedang menghadapi ujian, jadi jangan mengalah,” katanya.

Katanya, Umno dan BN juga akan kembali menerajui kerajaan apabila parti itu kembali menguasai jumlah kerusi, mengatasi gabungan lain termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-