Showing posts with label Zahid Hamidi. Show all posts
Showing posts with label Zahid Hamidi. Show all posts

Sunday, February 2, 2025

‘Serah pada takdir’, Zahid ulas tempoh pegang jawatan presiden Umno

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
02 Feb 2025, 12:32 PM

Zahid Hamidi berkata beliau tidak dapat meramal perjalanan politiknya termasuk bila akan lepas jawatan presiden Umno disandang sejak 2018.
Zahid Hamidi mula menjadi presiden Umno sejak 2018 selepas menewaskan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

PETALING JAYA: “Saya serah kepada takdir Allah.” Itu kata Zahid Hamidi mengulas tempoh beliau akan melepaskan jawatan presiden Umno bagi memberi laluan kepada pemimpin lain dalam parti itu.

Bercakap dalam program audio siar TV3, Zahid yang mengepalai Umno sejak 2018 berkata beliau tidak boleh membuat ramalan kepada perjalanan politiknya pada masa depan.

“Ustaz agama saya pernah beri bayangan yang semua orang tahu tarikh lahir tetapi bukan tarikh mati…begitu juga dalam politik yang kita tak akan tahu bila tarikh akhir.

“Untuk buat spekulasi apa akan berlaku 10 tahun akan datang pada diri seseorang itu, saya fikir eloklah kita berbalik (serah) kepada takdir Allah,” katanya mengulas pertanyaan berhubung kedudukannya selepas ini termasuk sama ada akan melepaskan jawatannya kepada pemimpin lain, terutamanya orang muda.

Bagaimanapun beliau menjelaskan Umno tetap berusaha mencungkil bakat baharu untuk pemimpin pelapis pada masa depan.

“Sekolah patriotik bukan hanya satu jalan tetapi banyak perkara lain… dalam majlis kerja tertinggi (MKT) 50% orang baharu, 30% pemimpin Wanita pun pemimpin baharu manakala 85% Pemuda dan 97% Puteri.

“Itu adalah proses pengenerasian baru untuk pemimpin politik… dan kita tak boleh lari untuk mencari pemimpin baru.

“Mesti ada komunikasi baik antara pemimpin lama dan baru…yang baharu mesti disayangi manakala lama dihormati,” katanya.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri mula duduk di kerusi Presiden Umno selepas mengambil alih daripada Najib Razak, selepas parti yang menaungi Barisan Nasional (BN) itu tewas pada PRU14.

Beliau kemudian menewaskan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan Umno penggal 2018-2021.

Zahid mempertahankan kedudukannya itu dalam pemilihan parti pada Mac 2023, namun kali ini tanpa dicabar susulan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Mohamad Hasan yang menjadi timbalan Zahid sejak 2018 turut menang tanpa bertanding.

Saturday, October 26, 2024

Zahid dijangka tak ambil hati kenyataan ‘menteri Umno kurang bantu’

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
26 Oct 2024

Lau Zhe Wei dari UIAM berkata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook juga dijangka ambil pendekatan ‘membisu’ seperti Zahid Hamidi dalam menangani isu sensitif antara pemimpin mereka.
Penganalisis berkata Presiden Umno Zahid Hamidi tidak akan ambil hati dengan kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat kenyataan sinis ‘menteri Umno kurang bantu’ oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng tidak akan disambut oleh mana-mana pihak meskipun berisiko ‘melukakan’ sekutunya dalam kerajaan perpaduan.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dijangka mengambil pendekatan ‘membisu’ sama seperti Presiden Umno Zahid Hamidi dalam menangani isu sensitif antara pemimpin mereka.
Lau Zhe Wei.
Katanya, sebagai contoh beberapa kontroversi pertikaman lidah membabitkan pemimpin Umno dan DAP sebelum ini kebanyakannya berakhir tanpa penyelesaian dan dibiarkan ‘senyap’.

“Saya merasakan perkara sama juga akan berlaku di mana Loke tidak akan ambil tindakan terhadap Guan Eng.

“Zahid juga dijangka tidak ambil hati sangat dengan kenyataan itu,” katanya kepada FMT, menyifatkan ketenangan pemimpin tertinggi Umno dan DAP berjaya menangani krisis yang tercetus.

Dalam perbahasan Belanjawan 2025 Selasa lalu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berterima kasih kepada barisan menteri kerajaan perpaduan yang turun membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dan kawasan Parlimennya, namun secara sinis berkata ‘menteri Umno kurang bantu sikit’.

Petikan itu menarik perhatian Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang berkata, pemimpin DAP tidak wajar mempersenda Umno secara terbuka, ketika parti Melayu itu telah ‘berkorban’ bekerjasama dengan DAP untuk bersama dalam kerajaan perpaduan.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia senada dengan Lau, berpendapat era pentadbiran Loke berbeza dengan pimpinan DAP sebelum ini, terutama isu tercetus melibatkan Umno.
Mazlan Ali.
Namun, beliau berpandangan Lim perlu lebih berhati-hati membuat kenyataan pada masa depan kerana masalah banjir bukan kewajipan bidang tugas setiap menteri.

“Soal menteri turun padang untuk selesai isu bencana tidak timbul, itu terpulang pada menteri sebab bencana alam diurus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kecualilah menteri itu bertanggungjawab dalam menguruskan agensi itu atau Ahli Parlimen kawasan itu sendiri. Itu memang wajib ambil tahu dan turun,” katanya.

“Kadangkala terlepas cakap seperti ini boleh dijadikan peluang kepada parti lawan mengkritik kembali,” katanya.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata kenyataan Lim sekadar cubaannya meraih manfaat politik demi mempamerkan dirinya berani menongkah arus dengan menegur pemimpin Umno.

“Apa yang dilontarkan beliau hanya untuk mendapatkan manfaat politik.

“Pemilihan DAP Pulau Pinang baru-baru ini memberi tamparan hebat kepada Guan Eng bahawa beliau sebenarnya tidak popular dan menjadikan Umno sebagai ‘kambing hitam’ untuk menaikkan kedudukannya,” katanya.

Tuesday, October 8, 2024

Perangi rasuah, tiada pengecualian untuk Zahid, tegas Anwar

freemalaysiatoday.com
Mikha Chan
07 Oct 2024, 11:32 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keputusan lepas Zahid Hamidi daripada tuduhan berkait dana Yayasan Akalbudi dibuat oleh peguam negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, rasuah ditangani dengan undang-undang dan fakta, bukannya persepsi. (Gambar Zeteo.com)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak memberikan sebarang pengecualian kepada timbalannya, Zahid Hamidi, dalam usaha memerangi rasuah.

Ditemubual wartawan terkenal, Mehdi Hasan, baru-baru ini, Anwar berkata, presiden Umno itu tidak disabit kesalahan sebelum ini, dan keputusan melepaskan Zahid daripada tuduhan berkait dana Yayasan Akalbudi dibuat oleh peguam negara.

Ia keputusan yang dibuat secara bebas oleh peguam negara. Saya tidak menggugurkan kes itu, katanya.

Apabila ditanya tentang persepsi yang timbul apabila timbalannya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), Anwar berkata, rasuah ditangani dengan undang-undang dan fakta, bukannya persepsi.

Katanya, Jabatan Peguam Negara juga pernah menggugurkan kes pemimpin pembangkang.

Mengapa itu tidak menjadi isu? soalnya.

Dalam temubual itu, Anwar turut ditanya tentang tuduhan beliau mengamalkan politik dendam, menurut laporan Bloomberg.

Sumber dipetik Bloomberg mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki memberitahu pegawai agensinya bahawa arahan menyiasat Daim, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, datang daripada Anwar.

Perdana menteri menyifatkan dakwaan dalam laporan itu sebagai sangat semberono.

Saya tidak mengarahkan siasatan, katanya.

Beliau menambah, jika anda menggunakan jawatan untuk mengumpul berbilion-bilion dolar, saya tidak boleh menghentikan siasatan hanya kerana anda pembangkang atau kerajaan.

Wednesday, September 25, 2024

Zahid yang ‘bunuh’ Muafakat Nasional, bukan PAS

harakahdaily.net
September 25, 2024
Annuar Musa dalam ceramah kelompok PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, Kluang Johor. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos)

KLUANG: “Bukan PAS tetapi sebaliknya Presiden Umno, Dato’ Seri Zahid Hamidi yang sebenarnya membunuh Muafakat Nasional (MN) yang sebelum itu berjaya menyatukan orang Melayu dari kedua-dua parti itu.”

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau yang ketika itu adalah Setiausaha Agung Umno menjadi saksi terhadap apa yang sebenarnya berlaku pada masa itu.

Menurut beliau, pada ketika itu MN sudah menjadi kuat setelah memenangi beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum itu telah menghantar surat rasmi mengajak parti Peribumi Bersatu (Bersatu) untuk menyertai MN.

“Bersatu bersetuju masuk Muafakat Nasional pada 15 Ogos 2020, Bersatu secara rasmi buat keputusan masuk mengganggotai Muafakat Nasional. Dah cantik.

“Tiba-tiba Zahid Hamidi pecahkan Muafakat Nasional, lepas tu dia fitnahkan PAS.

“Dia kata Muafakat Nasional mati kerana PAS yang rosakkan Muafakat Nasional. Bohong!” katanya.

Menurut Annuar, beliau menjadi saksi bahawa Bersatu telah membalas surat rasmi menyatakan persetujuan untuk menyertai MN.

“Saya menjadi saksi. Setelah Bersatu setuju perkuatkan Muafakat Nasional, jawab secara bersurat. Zahid Hamidi yang mengarahkan saya supaya tidak meneruskan Muafakat Nasional.

“Yang bunuh Muafakat Nasional adalah Zahid Hamidi!” tegasnya.

Tambahnya, beliau tidak pernah bergaduh secara peribadi dengan Presiden Umno itu, namun prinsipnya tidak goyang.

“Meninggalkan Bersatu, meninggalkan PAS, pergi kepada DAP adalah kedurjanaan politik bagi saya dan saya kena ‘call a spade a spade’.

“Suka tak suka soal lain. Dan sekarang apa yang saya harap tidak berlaku kepada Umno sudah berlaku,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan, akibat daripada sikapnya yang mempertahankan penyatuan parti Umno, PAS dan Bersatu dalam MN itulah beliau diketepikan sebagai calon Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tak apa tolak saya tak jadi calon di Ketereh.

“Waktu tsunami besar (PRU14), saya masih jadi calon, saya masih menang hampir 5,000 undi. Buang saya, letak calon baru, saya sokong. Tetapi calon baharu itu kalah (undi majoriti) 23,000.

“Tak pernah di Ketereh yang saya bangunkan daripada kawasan tak kuat Umno menjadi kawasan kuat Umno, waktu merudum PRU14, kawan-kawan seluruh negara banyak kalah, saya masih boleh bertahan di Ketereh dengan majoriti hampir 4,000 undi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah kelompok PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Riduan Mohamad Nor; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Dato’ Azman Nasrudin; Pengerusi Proklamasi Melayu Negeri Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid; dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Sungai Petani, Azhar Zakaria.

Dalam pada itu Annuar menyatakan bahawa beliau tidak mahu melihat Umno dirosakkan akibat terpaksa mengikut sesetengah pemimpin yang hanya mempunyai kepentingan peribadi dan mereka merosakkan parti dan orang Melayu.

Sewajarnya, ujar beliau, dalam situasi genting seperti ini Umno, PAS dan Bersatu menggabungkan saki baki kekuatan yang mereka ada untuk memperkuatkan orang Melayu.

“Jadi, sekarang apabila kerajaan yang dibina ini yang DAP berada di dalamnya, DAP bijak dalam berpolitik.

“Dia gunakan Umno untuk menyerang sesama Melayu Islam.

“Hari ini kita dengar orang Umno yang balun ulama.

“Sedangkan orang Umno yang balun ulama tu baca Al-Fatihah pun rasa belum betul lagi. Entah baca qunut betul ke tidak pun tak tahu.

“Tetapi ada hati nak menghina alim ulama. Yang jelas jauh lebih baik dari orang yang menghina,” katanya.

Dalam PRK Mahkota ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, Coach Haizan.

Tarikh 28 September ini ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula berlangsung semalam melibatkan tiga pusat mengundi. 

Friday, August 30, 2024

Kelab Sahabat Najib yakini sokongan pemimpin Umno kepada ‘Bossku’

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-30 Aug 2024

Penganalisis politik berkata sokongan kepada Najib Razak boleh bermotifkan politik kerana populariti beliau dalam kalangan akar umbi.
Kelab Sahabat Najib percaya sokongan pemimpin Umno kepada Najib Razak demi keadilan.

PETALING JAYA: Kelab penyokong Najib Razak meyakini sokongan pemimpin Umno kepada bekas perdana menteri itu pada perhimpunan agung parti baru-baru ini.

Presiden Kelab Sahabat Najib, Abdul Rahman Bakar, percaya sokongan itu bukan bermotif politik, sebaliknya demi keadilan.

Keadilan yang rakyat tuntut, bukan dari kalangan orang politik sahaja tetapi di kampung-kampung juga, katanya kepada FMT.

Najib terlalu banyak jasa dan budi. Sebab itu rakyat sayang pada dia. Tidak timbul ada motif politik atau tidak.

Rahman berkata orang ramai masih membandingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob, dan Anwar Ibrahim dengan Najib.

Rakyat masih ‘compare’ apa Najib buat dengan lepas Najib, katanya.

Mengulas sokongan ditunjukkan beberapa pemimpin Umno kepada Najib, penganalisis politik berpandangan ia juga boleh bermotifkan politik di sebalik keikhlasan yang ditunjukkan, disebabkan populariti ‘Bossku’ dalam kalangan akar umbi parti dan masyarakat Melayu.

Asrul Hadi Abdullah Sani yang pernah bersama BowerGroupAsia berkata Presiden Zahid Hamidi tiada insentif sebenar untuk mendesak bekas bosnya dibebaskan.

Katanya, walaupun Zahid terus menjadi presiden Umno, ramai akan anggap Najib sebagai sumber kuasa sebenar dalam parti, dengan penyokong merasakan beliau boleh menyatukan parti dan mengembalikan sokongan pengundi Melayu.

Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, tidak bersetuju dengan pandangan penganalisis itu.
Saya tak faham sebenarnya apa dikatakan motif politik. Tidak betul.

Kalau kita lihat dan berada dalam di Dewan Merdeka, kita tengok keikhlasan pemimpin perjuangkan isu Bossku, katanya.

Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian memendekkan hukuman penjara itu kepada enam tahun, selain denda juga dikurangkan separuh.

Pada 3 Jul lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani penahanan di rumah.

Tuesday, August 13, 2024

BN tanding Mahkota, Zahid beri amaran ‘parti lain jangan kacau’

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
13 Aug 2024

Pengerusi BN berkata menerusi persefahaman kerajaan perpaduan ‘kerusi diwakili mana-mana parti harus diserahkan dan ditandingi semula parti berkenaan’.
Pengerusi BN Zahid Hamidi memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi yang diperuntukkan kepada sesuatu parti. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan bertanding PRK DUN Mahkota 28 Sept ini, kata Zahid Hamidi.

Justeru, pengerusi BN memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi yang diperuntukkan kepada sesuatu parti.

Saya tak mahu kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin besar atau kecil yang menuntut mana-mana kerusi diperuntukkan untuk dituntut atau keluar kenyataan yang akhirnya menimbulkan persepsi sebaliknya, katanya pada sidang media selepas mesyuarat sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Platinum Sentral.

Pada 5 Ogos lalu Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain, dilaporkan mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN memberikan laluan kepada calonnya bertanding PRK Mahkota yang pernah dimenangi parti itu pada PRU14.

Menyusul desakan itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu menegur ahli partinya kerana menggunakan media untuk melobi DUN tersebut, sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan terhadap kempen PRK Nenggiri pada 17 Ogos yang ditandingi Umno untuk merebut semula kerusi berkenaan daripada Bersatu.

Pada 8 Ogos lalu Zahid berkata parti dalam kerajaan perpaduan tidak wajar menuntut kerusi bukan milik mereka dan ia perlu dihormati.

Sila hormati kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti. Jadi formulanya kerusi itu akan diberikan kepada parti berkenaan, bukan menuntut itu dan ini, kata timbalan perdana menteri.

Sementara itu, Zahid berkata bagi menghadapi PRK Mahkota, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno seterusnya membawa keputusan tersebut dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Beliau menjelaskan, menerusi persefahaman dalam kerajaan perpaduan ‘kerusi diwakili oleh mana-mana parti harus diserahkan dan ditandingi semula oleh parti berkenaan’.

DUN Mahkota adalah DUN di kawasan agak berpotensi untuk kita menang dan tentunya kita mahu koordinasi dilakukan dengan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Mahkota pada 28 Sept dengan penamaan calon dan undi awal masing-masing 14 serta 24 Sept.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Syarifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah menang kerusi DUN Mahkota mewakili BN dengan 16,611 undi dan majoriti 5,166.

Monday, June 24, 2024

Ambil alih MAHB: Pendirian Umno sama dengan PM

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
24 Jun 2024, 07:32 PM

Presiden Zahid Hamidi berkata komen timbalannya berhubung isu saham MAHB adalah pandangan peribadi.
Presiden Zahid Hamidi berkata pendirian Umno berhubung rancangan ambil alih MAHB sama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi berkata pendirian Umno berhubung rancangan ambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui konsortium diterajui Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah sama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, komen timbalannya, Mohamad Hasan, semalam yang berharap penjualan saham MAHB kepada syarikat yang dikaitkan dengan firma pelaburan global, BlackRock, dikaji semula adalah ‘pandangan peribadi’.

“Pendirian Umno jelas… sama dengan perdana menteri,” katanya pada sidang media.

“Saya jumpa beliau (Mohamad) malam tadi dan beliau beritahu itu pandangan peribadi.”

Semalam, Mohamad dilapor berkata menteri dari Umno memberikan pandangan bahawa penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) tidak diteruskan, jika boleh, namun akui transaksi itu sudah terlampau maju.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Sunday, June 16, 2024

Ketepi ego, kembali pada Umno jika mahu terus kerjaya politik, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
-16 Jun 2024, 08:45 AM

Mazlan Ali dan Azmi Hassan berkata KJ dan Shahril Hamdan perlu berjuang dalam Umno memandangkan ia platform terbaik bagi mereka.
(Dari kiri) Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Hishammuddin Hussein berkemungkinan akan kembali ke pangkuan Umno, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Ahli dipecat atau digantung keahlian yang tidak kritikal kepada Umno perlu dialukan semula menyertai parti itu, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata ahli digantung mahupun dipecat ketika ini terpecah dua kumpulan – satu menyendiri, selain sudah menyertai seteru Umno.

Beliau memberi contoh individu seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, sebagai menyendiri, walaupun mereka kelihatan ‘proaktif’ dalam politik, menerusi hos bersama dalam audio siar.

Pada Januari 2023, Umno memecat bekas ketua Pemuda, Khairy, dan menggantung bekas ketua penerangan, Shahril, selama enam tahun.

“Kumpulan lain adalah yang menentang Umno dengan menyertai Perikatan Nasional terutama PAS. Mereka mungkin tidak ingin kembali kepada Umno,” katanya kepada FMT.

Antara personaliti dipecat Umno dan menyertai PAS adalah bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Annuar Musa, dan bekas menteri wilayah persekutuan, Shahidan Kassim.

Mazlan berkata, beliau menjangkakan Khairy dan Shahril kembali kepada Umno pada masa depan, memandangkan presiden, Zahid Hamidi telah menstabilkan parti. Katanya, ‘tiba masa untuk mereka kembali dan mengukuhkan parti”.

“Mereka ini masih sayang kepada parti dan saya beranggapan tidak salah bagi Zahid menerima mereka kembali,” katanya sambil menyatakan mereka yang dipecat atau digantung mesti berfikiran terbuka dan memikirkan masa depan politik masing-masing.

Bulan lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Jalaluddin Alias, berkata parti bersedia menerima kembali pemimpin dan ahli yang disingkirkan selepas PRU15, khususnya jika mereka masih setia dan sealiran dengan perjuangan.

Dalam pada itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata ahli Umno dipecat atau digantung yang masih ingin meneruskan kerjaya politik sepatutnya mengetepikan ego masing-masing, termasuk juga Khairy.

“Saya rasa Khairy dan Shahril akan kembali kerana Umno menjadi platform terbaik bagi mereka. Hishammuddin Hussein, yang ‘low profile’ sejak penggantungan, berkemungkinan akan kembali,” katanya merujuk bekas naib presiden digantung enam tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka bekas ahli MKT, Isham Jalil akan menyertai semula Umno memandangkan beliau telah ‘menyeberang jambatan’.

“Isham kritikal kepada Umno sejak disingkirkan dan juga mula muncul di pentas seteru Umno,” katanya.

Isham dipecat pada Disember kerana melanggar etika parti, termasuk gagal mematuhi arahan parti. Beliau dipecat di tengah-tengah kritikan terhadap Umno kerana berterusan bekerjasama dengan DAP.

Bulan lalu, Isham berkata beliau tidak berhasrat kembali kepada Umno kerana parti itu menyimpang daripada matlamat asal.

Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Saturday, April 6, 2024

Kalah teruk tapi Umno Selangor belum ‘celik’ mata, kata Tengku Zafrul

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-06 Apr 2024

Tengku Zafrul Aziz dakwa tiada usaha gigih dibuat Umno Selangor untuk menguatkan kedudukannya selepas prestasi teruk PRN.
Tengku Zafrul Aziz berkata beliau pernah mencadangkan beberapa langkah untuk mengembalikan kegemilangan Umno Selangor namun ditolak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tengku Zafrul Aziz membidas tiada usaha “gigih” Umno Selangor untuk memperbaiki keadaannya selepas kalah teruk pada PRN lalu yang sepatutnya menjadi amaran untuk segera berubah.

Meletak jawatan bendahari Umno Selangor, Isnin lalu, Zafrul mendakwa tiada post mortem untuk mengenal pasti punca ia hanya menang dua daripada 12 kerusi DUN ditandingi selain mencari strategi baharu menawan hati rakyat.

“Kalau keputusan ini masih belum celikkan Umno Selangor, tiada apa boleh celikkan mereka,” katanya di Facebook sambil menegaskan lebih baik untuk dirinya menumpukan usaha memantapkan parti di peringkat pusat serta bahagian.

Walaupun meletak jawatan bendahari Umno Selangor, Zafrul kekal sebagai ahli majlis kerja tertinggi dan ketua Umno Kota Raja.

Umno Selangor diketuai Megat Zulkarnain Omardin yang juga setiausaha politik kepada presiden Umno Zahid Hamidi.

Menurut menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu, beliau pernah mencadangkan beberapa langkah untuk mengembalikan kegemilangan Umno Selangor namun ditolak.

Misalnya, beliau mencadangkan agar satu kajian sikap yang ikhlas melambangkan denyut nadi keseluruhan rakyat Selangor dilaksana manakala operasi organisasi juga perlu dimodenkan parti berkenaan di negeri itu.

“Perlunya sebuah organisasi yang kos efektif malah pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea dari akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan serta mengguna pakai data dan analisa dengan tepat,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan Umno Selangor mencari pelapis dengan hati terbuka kerana rakyat yang akhirnya “menghakimi” organisasi parti melalui pemimpin yang ditonjolkan.

“Rangka kerjasama yang wujudnya situasi menang-menang dengan rakan-rakan kita di negeri Selangor. Dan yang paling penting, kita perlu terapkan buang ‘cah keting’ tidak sihat dengan mengamalkan budaya intelektual dan fokus kepada solusi dan dasar.

“Jika kita tidak ubah budaya, tidak kiralah tebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa.

“Saya masih komited dengan Umno Bahagian Kota Raja dan Umno Selangor. Saya yakin bahawa kita semua berkongsi impian yang sama, iaitu untuk melihat parti kembali relevan dan dihormati rakyat Selangor,” katanya.

Thursday, April 4, 2024

Umno dalam situasi sukar berkait isu stoking kalimah Allah, kata Zaid

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-04 Apr 2024, 10:40 AM

Bekas menteri undang-undang berkata Umno ‘terlalu angkuh’ untuk mengakui kesilapan tetapi akan berdepan tindak balas pada masa depan.
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata tindakan boikot terhadap KK Mart harus dihentikan kerana ‘tiada apa-apa yang strategik untuk memanjangkannya”. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Umno terperangkap dalam situasi sukar berhubung isu stoking tertera kalimah Allah melibatkan Ketua Pemudanya Dr Akmal Saleh kerana parti itu terlalu angkuh untuk mengakui sebarang kesilapan biarpun mungkin berdepan reaksi negatif, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Zaid berkata, sikap presiden parti Zahid Hamidi yang berdiam diri, sama seperti menyokong tindakan berterusan Akmal untuk memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart walaupun Agong menggesa kontroversi itu ditamatkan.

“Apa yang saya buat dengan penentangan Akmal? Jawapannya sama dengan mengapa Bung Moktar (Radin) terpaksa bercakap bagi pihak presiden Umno tentang boikot. Dan presiden berdiam diri – adakah beliau juga menghantar mesej bantahan, macam Akmal?

“Umno mungkin berbelah bahagi dalam isu ini. Terlalu angkuh untuk menerima kesilapan di pihaknya, namun berdepan tindak balas yang besar untuk bergerak ke hadapan,” katanya kepada FMT.

Zaid juga berkata, boikot KK Mart harus dihentikan kerana “tiada apa-apa yang strategik untuk memanjangkannya”.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam menitahkan jangan ada pihak mengambil kesempatan ke atas isu itu termasuk menghasut rakyat.

“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah baginda.

Bagaimanapun, Akmal menjawab dengan bertanyakan sama ada baginda telah menangani pemboikotan secara khusus, yang dimulakan oleh ketua Pemuda Umno itu sejak kontroversi berlaku.

Majlis Kerja Tertinggi Umno secara terbuka menyokong kenyataan Akmal berhubung perkara itu, walaupun Zahid berkata ia tidak perlu dipanjangkan.

Bagaimanapun, Bung, seorang ahli MKT baru-baru ini berkata Akmal diberitahu untuk menghentikan isu itu.

Kontroversi bermula pada 13 Mac apabila gambar stoking tertera kalimah Allah di cawangan KK Mart di Bandar Sunway tersebar di media sosial.

Syarikat itu mengeluarkan permohonan maaf, tetapi Akmal terus berkempen untuk memboikot rangkaian kedai serbaneka terbabit di seluruh negara.

Tindakannya itu mendapat kritikan banyak pihak, dengan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa Akmal berhenti menghentam KK Mart.

Pengasas dan Pengarah KK Mart Chai Kee Kan dan Loh Siew Mui yang dihadap ke mahkamah, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain kerana menjual stoking itu.

Sementara itu, tiga cawangan KK Mart termasuk di Kuching, Sarawak, diserang bom petrol sejak minggu lalu, insiden yang dikecam Akmal.

FMT menghubungi Zahid untuk mendapatkan ulasan.

Thursday, March 28, 2024

Zahid selar bekas ahli samakan Umno ‘biawak hidup’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-28 Mar 2024, 09:17 PM

Presiden Umno berkata setiap usaha dan langkah baharu dibuat kerajaan pasti mendapat kritikan pihak tertentu termasuk sistem Pangkalan Data Utama.
Zahid Hamidi pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Banting. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Zahid Hamidi menyelar tindakan bekas ahli parti yang menyamakan kepimpinan Umno dalam kerajaan perpaduan sebagai “biawak hidup”.

Presiden Umno berkata, setiap usaha dan langkah baharu dibuat kerajaan pasti mendapat kritikan pihak tertentu termasuk sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

“Padu dilancarkan bagi memastikan subsidi sampai kepada mereka yang menjadi sasaran (menerusi pengenalan subsidi bersasar).

“Tetapi sebaik sahaja ia dilancarkan, wujud kebencian yang mendakwa data peribadi akan digunakan oleh kerajaan, terutamanya Kementerian Ekonomi.

“Semua yang baharu pasti ada cabarannya, dan cabaran itu adalah kita tahu 22% termasuk dalam golongan ‘anti-establishment’,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Banting.

Zahid mengulas kritikan diterima kerajaan dalam usaha menangani kenaikan kos barangan dan sara hidup yang dilakukan melalui penubuhan Padu.

Walaupun tidak menyebut nama, individu yang dirujuk Zahid dipercayai bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi podcast bersama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, mengemukakan persoalan sama ada persepsi bahawa kerajaan sedang terbeban atau dihalang oleh Umno dan menyamakan parti itu adalah “biawak hidup” dalam kerajaan perpaduan.

Wednesday, March 27, 2024

PRN: Umno Sabah teroka potensi tanding solo

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-27 Mar 2024

Ketua Penerangan Suhaimi Nasir berkata mereka telah berunding dengan semua parti atas arahan Presiden Zahid Hamidi, namun masih tiada keputusan.
Zahid Hamidi berkata Umno terbuka kepada pakatan dengan mana-mana parti untuk PRN Sabah, tetapi keputusan hanya akan dibuat selepas DUN dibubarkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Di sebalik ura-ura semakin kuat mengaitkan kerjasama dengan Warisan pada PRN, Umno Sabah turut meneroka potensi bertanding solo bergantung kemampuannya memperkukuhkan parti menjelang pembubaran DUN negeri itu.

Ketua Penerangannya Suhaimi Nasir berkata autonomi diberikan kepada mereka telah dimanfaatkan untuk berunding dengan semua parti atas arahan Presiden Zahid Hamidi.

“Tetapi keputusan belum dibuat. Namun pada masa sama lebih baik kita perkuatkan Umno Sabah dahulu kerana jika parti kuat pastinya rakyat yakin dan percaya bahawa kepimpinan baharu ini boleh membawa kemenangan.

“Buat apa (telah kuat) kita hendak cari gabungan atau bersama parti lain,” katanya kepada FMT, mengulas perkembangan rundingan Umno dengan parti tempatan menjelang PRN Sabah yang dijangka diawalkan tahun ini walaupun penggal DUN hanya akan tamat Oktober 2025.

Pada 14 Dis lalu, Presiden Warisan, Shafie Apdal mendakwa Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin bersetuju dengan pakatan dua parti itu bagi melawan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor pada PRN ke-17.

Tetapi, dakwaan Shafie dinafikan Timbalan Ketua Umno Sabah, Rahman Dahlan yang berkata, mereka belum memutuskan pakatan pilihan raya.

Zahid pula menjelaskan Umno yang mengetuai Barisan Nasional (BN) terbuka kepada pakatan dengan mana-mana parti untuk PRN Sabah, tetapi keputusan hanya akan dibuat selepas DUN dibubarkan.

Ahad lalu, Timbalan Presiden BN Mohamad Hasan berkata keputusan sama ada komponen itu bertanding sendirian atau bekerjasama dengan parti lain akan diputuskan di peringkat pusat walaupun memberikan autonomi kepada Umno negeri berkenaan.

Mengulas kenyataan Mohamad itu, Suhaimi mengakui Umno Sabah perlu mengikut keputusan BN pusat namun menegaskan pilihan akhir sepatutnya di atas tangan mereka.

“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, apapun keputusan menghadapi PRN kelak biarlah yang membawa kemenangan,” katanya.

Walaupun Umno dan GRS berada dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan namun hubungan mereka di Sabah sebaliknya apabila wujud usaha menjatuhkan Hajiji daripada kerusi ketua menteri pada Januari 2023 menerusi Langkah Kinabalu.

Monday, March 18, 2024

Kes VLN: Hakim terkilan peguam Zahid minta tangguh

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
18 Mar 2024, 11:36 AM

Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata beliau tidak ‘mahu berkata apa-apa lagi’ selepas pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu.

Pada 23 Sept 2022, Zahid Hamidi dibebaskan daripada semua 40 pertuduhan berhubung kes rasuah sistem visa luar negara (VLN). (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menyuarakan rasa terkilan apabila peguam Zahid Hamidi memohon penangguhan dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan presiden Umno dalam kes rasuah berkaitan sistem visa luar negara (VLN).

Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata beliau menghabiskan beberapa hari membaca nota prosiding di Mahkamah Tinggi hanya untuk lebih memahami kes itu.

“Ia mencecah lebih 1,000 muka surat. Saya tidak memberi tumpuan kepada kes lain. Memandangkan pihak pendakwaan tidak ada bantahan terhadap penangguhan itu, saya tidak mahu berkata apa-apa lagi,” katanya.

Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan SM Komathy Suppiah, berkata pihak mahkamah memberi penangguhan lebih lama untuk pihak pendakwaan menangani representasi Zahid.

Pendengaran rayuan kini telah ditetapkan pada 9 Sept.

Terdahulu, peguam utama Zahid Hisyam Teh Poh Teik memohon perbicaraan yang dijadualkan hari ini ditangguhkan kerana mereka telah menghantar representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara pada 7 Feb.

“Ia mesti diberi pertimbangan yang adil dan saksama,” katanya.

Representasi pertama dihantar pada Januari tahun lepas.

Wednesday, February 28, 2024

Pas adalah benteng terakhir Melayu, oleh itu Pas harus dipecahkan…

bebasnews,my
By Zaini Hassan
-28/02/2024

"Mereka kini menyerang pula ke arah Pas dari pelbagai sudut -- dengan menggunakan jari-jemari orang Melayu sendiri."
Gambar hiasan - Foto via Google

SEMASA saya menulis buku Cuit: Dilema Melayu Baru pada 2013 saya menyebut Melayu kini sudah menjadi minoriti.

Ia berlaku kerana Melayu (pada ketika itu) sudah berpecah-pecah kepada banyak fraksi.

Kesannya hari ini. Melayu sudah hilang kuasa politik. Perdana Menteri yang ada dan timbalan-timbalannya hanyalah simbolik sahaja.

Selepas ini mungkin kuasa itu akan hilang terus. Jangkaan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, ia akan berlaku sekurang-kurangnya dalam dua PRU lagi.

Formula yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu untuk melihat kejatuhan kuasa Melayu di Malaysia semakin kelihatan. Simulasinya semakin menjadi.

Malangnya, seperti berulang kali diingatkan, Melayu masih malu mahu mengakuinya bahawa orang Melayu sudah mulai menjadi minoriti.

Malah dari rumah kuning kepada para pentadbir — birokrat, orang politik malu-malu mahu mengakuinya. Ada yang hanya berani bercakap di belakang sahaja.

Kelihatan jelas, ada cubaan demi cubaan mahu memecahkan lagi kuasa Melayu ini — sehingga berakhir.

Ada anasir yang mungkin kita tidak sedar dan sangat halus sedang melakukannya.

Mereka kini menyerang pula ke arah Pas dari pelbagai sudut — dengan menggunakan jari-jemari orang Melayu sendiri.

Bagi mereka parti itu harus dipecahkan. Cubaan pertama mereka sudah berjaya dilakukan beberapa tahun lalu apabila diwujudkan serpihan Pas, yang kononnya lebih liberal iaitu Amanah.

Semua orang tahu siapa di belakang Amanah dan yang “menaja” mereka. Itu bukan rahsia lagi.

Apa yang dikhuatiri oleh pihak-pihak itu, Pas kini dilihat semakin mendapat perhatian orang Melayu UMNO yang mencari-cari wadah baharu pasca-Zahid Hamidi.

Ada yang kebingungan ke mana hendak dituju. Ada yang sedang mencari tapak mana yang akan dipangkah dalam PRU akan datang?

Bersatu yang juga serpihan UMNO pula dilihat mereka tidak stabil kerana warisan budaya merebut kuasa yang masih membelenggu para pemimpinnya. Bersatu bukanlah sebuah entiti yang menjadi pilihan, sekiranya budaya begitu masih kekal.

Menurut penganalisis, Pas dengan perjuangannya yang berlandaskan falsafah politik Islam, dianggap sebagai satu-satunya parti Melayu (pada saat ini) yang mempunyai ideologi yang jelas.


Malah, Pas juga sudah mulai terbuka menerima para pemimpin “rocket scientist” berbanding “ilmu tauhid” semata-mata. Inilah yang dilihat oleh orang Melayu.

Oleh itu bagi musuhnya, Pas wajib dimusnahkan. Selagi Pas gagal dimusnahkan maka matlamat berteraskan Malaysian Malaysia akan gagal direalisasikan.

Wang bukan menjadi hal untuk mencapai matlamat itu. Ia boleh ditaja oleh ramai pihak — sama ada dari dalam mahu pun unsur luar. Ia akan digunakan untuk menghalalkan cara. Pas adalah benteng terakhir Melayu yang wajib dilenyapkan.

Malang sekali ada orang Melayu, waima terpelajar sekali pun masih tidak nampak kepada muslihat itu. Ia sedang berlaku secara halus.

Jika sekarang Melayu yang minoriti, akibat selerak-tarak, pun masih boleh memegang tampuk atas pemerintahan, amalan itu juga harus ditamatkan.

Benarlah kata pepatah orang Melayu lama “sudah terantuk, baru tengadah” maka jika itu berlaku ia sudah terlambat.


Lihatlah apa yang terjadi kepada kepulauan Melayu Temasik; milik siapakah sekarang? Lihatlah betapa merempatnya wilayah Melayu di Patani, Singgora (Songkhla), Ligor (Nakhon Si Thammarat) dan Lingga (Surat Thani); dan lihatlah tragedi Nakba (catastrophe) atau “malapetaka” di Palestin, yang menangis air mata darah sekali pun, nasi sudah menjadi bubur…

Sejarah tidak pernah berbohong. Ia boleh berulang, di sini.

BebasNews

Sunday, February 4, 2024

Umno akan kumpul sejuta tandatangan petisyen mohon pengampunan Najib

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli 
- 04 Feb 2024, 7:39pm

Presiden Umno Zahid Hamidi mengarahkan ketua-ketua bahagian mengumpulkan jumlah tandatangan itu sebelum 9 Feb, menurut sumber.
Presiden Umno Zahid Hamidi dilapor mengarahkan ketua-ketua bahagian Umno mengumpul sejuta tandatangan bagi petisyen mendapatkan pengampunan penuh Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Ketua-ketua bahagian Umno telah diarahkan mengumpul sejuta tandatangan bagi petisyen untuk mendapatkan pengampunan penuh bekas perdana menteri Najib Razak.

Arahan itu dikeluarkan oleh Presiden Umno Zahid Hamidi dalam pertemuan tertutup bersama ketua-ketua bahagian hari ini, menurut seorang ketua bahagian yang enggan namanya disiarkan.

“Hari ini, ketua bahagian (Umno) diminta kumpul sejuta tandatangan memorandum daripada ketua cawangan dan ahli Umno untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Ini salah satu arahan dibuat kepada kami, ketua bahagian,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas perjumpaan dengan Zahid di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi.

Ketua bahagian Umno itu berkata, mereka diberi masa sehingga 9 Feb untuk mendapatkan jumlah tandatangan tersebut.

Tambahnya, presiden Umno itu turut melafazkan ikrar akan terus berusaha keras mendapatkan pengampunan penuh buat Najib.

Kelmarin, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. Najib dijangka akan dibebaskan dari penjara pada 2028.

Lembaga itu diketuai Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan serta tiga lagi individu yang dilantik Agong.

Semalam, Zahid mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang diadakan susulan keputusan Lembaga Pengampunan itu..

Selepas mesyuarat itu, Umno mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menghormati keputusan Agong terdahulu mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang medianya hari ini berkata, dalam perjumpaan tertutup dengan ketua bahagian Umno yang berlangsung hampir dua jam petang ini, Zahid menjelaskan keputusan dibuat MKT semalam.

Beliau berkata, semua pimpinan sepakat untuk meneruskan usaha membela Najib.

“Semua (yang hadir) tadi turut menjunjung keputusan Agong dan ini tak boleh dipertikaikan sesiapa,” katanya.

“Kita harap jangan ada suara-suara sumbang di luar sana yang mempertikaikan apa yang telah diputuskan Agong.”

Wednesday, January 31, 2024

‘Ganti Zahid’, jangan hanya tumpang dahan rapuh PH, Umno diberitahu

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar 
- 31 Jan 2024

Ahli Parlimen PKR Hassan Karim berkata Umno perlu diterajui nakhoda baharu untuk mendapatkan semula undi Melayu.
Hassan Karim berkata Umno bawah Zahid Hamidi ‘akan menumpang dahan PH pimpinan Anwar Ibrahim yang tidak kuat mana pun’.

PETALING JAYA:
Hassan Karim daripada PKR berpendapat Umno perlu diterajui muka baharu, tidak hanya “menumpang dahan” Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim yang diakuinya “rapuh” dalam berdepan PRU16.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma penting untuk mendapatkan undi Melayu – kumpulan sokongan paling corot diterima gabungan PH-Barisan Nasional (BN) kini.

Dari segi sokongan orang bukan Melayu, Hassan berkata gabungan PKR, Amanah, serta DAP yang menjadi anggota penting kerajaan perpaduan telah teruji dan bakal terus menikmatinya dengan syarat PH tidak “gila kuasa” sehingga lupa agenda progresif untuk membawa reformasi.

“(Yang) menjadi masalah kepada PH-BN ialah kemerosotan sokongan Melayu yang boleh diatasi jika Umno dapat membawa sokongan Melayu kepada gabungan itu.

“Dalam keadaan sekarang sukar selagi Umno dipimpin presidennya Zahid Hamidi. Selagi Zahid memimpin Umno, orang Melayu sukar kembali menyokong Umno, BN atau PH-BN,” katanya kepada FMT.

“Umno perlu rombakan pemimpin baharu segar, berintegriti, dan karisma untuk membawa balik sokongan Melayu kepada Umno, BN dan kini PH-BN. Jika tidak, Umno bawah Zahid akan menumpang di dahan PH pimpinan Anwar yang tidak kuat mana pun.”

Rabu lalu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mengeluarkan kenyataan sinis “bersetuju” bayangan diberikan Zahid bahawa kerjasama PH-BN akan kekal hingga selepas PRU16, yang didakwanya memudahkan pengundi Melayu membuat pendirian awal.

BN dan PH membentuk kerjasama menubuhkan kerajaan perpaduan bersama beberapa parti lain selepas tiada gabungan mampu menubuhkan kerajaan sendiri selepas PRU15.

Penganalisis berpendapat, berdasarkan keputusan PRN dan PRK pasca PRU15 menunjukkan sokongan Melayu terhadap Umno dikatakan semakin terhakis selepas hanya menang 19 daripada 108 kerusi DUN di enam negeri, Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Hassan berkata melaksanakan dasar pro rakyat seperti subsidi untuk kumpulan bawahan juga boleh menjadi “jalan lain” untuk PH-BN mendapat sokongan Melayu.

Namun, pada masa sama beliau bimbang kemarahan orang Melayu akan tercetus jika dilaksanakan rombakan drastik terhadap perkhidmatan awam seperti penamatan skim pencen untuk kakitangan baharu selain sistem lantikan kontrak yang didakwanya mungkin tidak berperlembagaan.

Minggu lalu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pelantikan kontrak penjawat awam hanya untuk tempoh singkat sebelum Jemaah Menteri meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen, namun mendapat caruman bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Thursday, October 5, 2023

‘Kita ada maklumat dalaman’, Zahid kata ada Adun PN akan bersama BN

freemalaysiatoday.com
Faisal Asyraf 
05 Oct 2023

Presiden Umno memberi maklum balas terhadap dakwaan Muhyiddin Yassin, ada Adun BN akan menyokong PN jika pembangkang menang PRK Pelangai.
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata BN mempunyai ‘maklumat dalaman’ Adun PN akan bersama gabungan itu.

PUTRAJAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi mendakwa beberapa Adun Perikatan Nasional (PN) Pahang akan keluar gabungan itu untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam ucapannya di Felda Chemomoi pada Selasa, mendakwa beberapa Adun BN akan menyokong PN jika gabungan itu menang PRK Pelangai 7 Okt ini.

“Walaupun itu propaganda mereka, kita juga mempunyai maklumat dalaman dan sebenarnya mereka juga (Adun PN) akan bersama dengan kami.

“Jadi, kita berharap empat (Adun) itu datang daripada mereka (PN),” katanya kepada media.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan Muhyiddin, sambil berkata Adun BN menyatakan kesetiaan kepada gabungan dan tidak akan meninggalkan parti untuk menyertai PN.

Beliau berkata, dakwaan Muhyiddin dibuat untuk mengeliru dan menakut-nakutkan rakyat menjelang PRK Pelangai.

Pahang belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti sejak ia dikuatkuasakan di peringkat persekutuan pada Oktober tahun lalu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mempunyai 42 kerusi. BN dan Pakatan Harapan masing-masing memiliki 16 dan lapan kerusi, manakala PN 17.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya daripada Umno yang juga exco Pahang, Johari Harun, yang meninggal dunia dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Tuesday, September 26, 2023

Hentikan kes rasuah Zahid, badan kehakiman cipta rekod dunia: Dr Mahathir

agendaily.com
26/09/2023
Dr Mahathir membidas tindakan kerajaan campuran Anwar yang membebaskan anak muridnya, Zahid Hamidi.

Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan kerajaan campuran menerusi Peguam Negara yang baharu dalam menghentikan kes rasuah dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas perdana menteri dua kali itu menyindir tindakan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membebaskan anak muridnya serta mempertahankan keputusan tersebut sebelum ini dengan menyifatkan ia satu rekod dunia baharu dicipta oleh Malaysia.

“Bagaimanapun, hakim memutuskan untuk tidak membebaskan tertuduh. Jadi keputusan hakim adalah pelepasan tanpa pembebasan. Ini bermakna tertuduh mungkin bersalah. Tetapi dia bebas.

“Ini unik. Mungkin tidak ada kes seperti itu di mana-mana di dunia. Badan kehakiman Malaysia telah mencipta rekod dunia.

“Rakyat Malaysia patut berbangga. Atau patutkah mereka?,” soal beliau dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Dr Mahathir berkata, perbuatan jenayah tetap jenayah dan terpulang kepada hakim untuk menentukan sama ada tertuduh bersalah atau tidak berdasarkan bukti dikemukakan.

Tetapi beliau mendakwa, malangnya hakim dilantik oleh kerajaan dan mereka mungkin mahu bebas namun, orang ramai bimbang tentang kebebasan hakim.

“Tetapi ia bukan hanya hakim. Di Malaysia AGC (Pejabat Peguam Negara) menggunakan banyak kuasa. Ia mempunyai kuasa untuk menghantar kes itu ke mahkamah atau ia mungkin memutuskan untuk tidak.

“Secara berkesan AG boleh membuat penghakiman ke atas kes itu. Hakim tidak akan mendengar kes itu.

“Dalam kes baru-baru ini, Peguam Negara memutuskan bukan sahaja untuk tidak menghantar kes itu ke mahkamah tetapi beliau sebenarnya telah membuktikan bahawa terdapat bukti prima facie bahawa terdapat kes untuk dijawab oleh defendan. Dan hakim bersetuju,” katanya.

Beliau juga mendakwa kerajaan campuran menjadikan pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebagai sasaran untuk membalas dendam dengan memberi tekanan menerusi siasatan dan pendakwaan walaupun tidak ada kes yang kukuh.

Menurutnya, setakat ini individu yang disoal siasat polis semuanya dari pembangkang manakala, penyokong kerajaan yang melanggar peraturan dan bercakap tentang isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) bebas daripada siasat.

“Contohnya, bercakap tentang masalah orang Melayu mengundang soal siasat polis. Tetapi bercakap mengenai tuntutan agar ketiga-tiga kaum itu ditetapkan sebagai orang asli Malaysia tidak menarik soal siasat polis.

“Bercakap tentang berbilang kaum adalah sama seperti bercakap tentang satu kaum. Terdapat diskriminasi yang jelas di sini dan banyak lagi contoh lain.

“Walaupun agama mungkin tidak diperkatakan tetapi kerajaan sendiri sedang memperkenalkan pengajian 40 hadis kepada pihak sekolah. Itu soal agama,” katanya lagi.

Monday, September 4, 2023

Pendakwaan mohon Zahid lepas tanpa bebas 47 tuduhan

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan 
04 Sep 2023

Bagaimanapun, peguam Zahid meminta mahkamah untuk membebaskan presiden Umno itu.
Zahid Hamidi berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Zahid Hamidi memohon timbalan perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan rasuah.

Bagaimanapun, peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik meminta mahkamah untuk membebaskan presiden Umno itu.

Mahkamah sekarang sedang rehat untuk Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan.

Zahid sebelum ini diarah membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

Beliau dituduh melakukan pengubahan wang berjuta-juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Sunday, September 3, 2023

‘Malaysian Malaysia’ beri kesan besar Umno tagih sokongan Melayu

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
03 Sep 2023

Timbalan Ketua Umno Segamat Bastien Onn berkata pengekalan slogan DAP itu menjadikan orang Melayu bersama PN.
Timbalan Ketua Umno Segamat Bastien Onn, berkata pimpinan Umno pusat termasuk Presiden Zahid Hamidi perlu mendesak DAP gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pendirian DAP enggan menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” memberi kesan besar kepada Umno dalam usaha meraih sokongan orang Melayu, kata pemimpin akar umbi.

Timbalan Ketua Umno Segamat, Bastien Onn, berkata apa disuarakan Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini sudah tentu mewakili suara akar umbi bukan sahaja di Parlimen Pulai, malah di Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Katanya, keputusan pada PRN enam negeri 12 Ogos lalu mencerminkan orang Melayu tidak mahu lagi bersama Umno hanya kerana menjalin hubungan politik dengan DAP.

“Ini memberi kesan yang sangat besar kepada Umno untuk menagih dan meraih sokongan daripada orang Melayu. Kita terpaksa menjawab persoalan ini (Malaysian Malaysia) dan saya rasa bahawa apa yang dikatakan oleh Nur Jazlan adalah dapatan daripada kerja dan juga perjumpaan kita dengan akar umbi.

“Mereka (pimpinan Umno pusat) harus tegas, kalau tidak kita menghadapi masalah dengan orang Melayu dan saya melihat pergerakan orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) cukup membimbangkan,” katanya menurut Astro Awani.

Beliau berkata, justeru pimpinan Umno pusat termasuk Presiden Zahid Hamidi perlu tegas terhadap gesaan supaya DAP menggugurkan slogan tersebut.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata tidak perlu digugurkan slogan “Malaysian Malaysia” kerana komitmen parti itu mendukung prinsip Islam agama rasmi, bahasa Melayu, dan Perkara 153 Perlembagaan sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan.

Setiausaha agung DAP itu berkata, perkara itu tidak perlu diungkit lagi atau mencipta polemik yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai.

Katanya, sebelum kerajaan perpaduan dibentuk, semua parti membuat perjanjian dan bersetuju tidak akan menyentuh “prinsip serta perlembagaan parti” masing-masing.

Mengulas gesaan Nur Jazlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Zahid berkata apa diperkatakannya berhubung pengguguran slogan itu sekadar pandangan peribadi, bukan parti.

Beliau berkata, sekalipun timbul permintaan seperti itu, ia perlu mengikut saluran betul melalui mesyuarat atas dasar hormat pada rakan dalam gabungan kerajaan perpaduan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-