Thursday, September 21, 2023

Jika PH-BN yakin Zahid tak bersalah, buktikan di mahkamah!

ismaweb.net
zuhayati

Jika ahli politik boleh buat sesuka hati, mana keadilan dan integriti
BANGI,5 Rabiulawal 1445H, Khamis – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dituntut membuktikan kebenaran di mahkamah sekiranya benar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak bersalah.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, rakyat perlu tahu tindakan menarik balik pendakwaan tersebut adalah keputusan pihak pendakwa raya dan bukannya mahkamah.

“Apabila pendakwa raya menggugurkan pendakwaan, maka mahkamah tiada pilihan selain melepaskan Ahmad Zahid.

“Saya yakin bukan ini negara yang kita idamkan, jika ahli politik boleh berbuat sesuka hati di mana letaknya keadilan dan integriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai itu mendakwa sepanjang tempoh sembilan bulan ini pelbagai siri mensucikan PH – DAP dan UMNO berlaku.

Ini termasuk pembebasan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga merupakan satu kejayaan besar dalam kerjasama politik mereka.

“Tidak mampu selesaikan masalah ekonomi, tidak mampu menjaga rakyat, tidak ada perancangan rapi. Itulah kerajaan PH-BN selepas 10 bulan menjadi kerajaan.

“Tetapi mereka luar biasa. Tak sampai setahun berkuasa, 47 kes mahkamah Zahid Hamidi digugurkan. Saya yakin bukan ini negara yang kita idamkan.

“Jika PH-BN yakin Zahid tidak bersalah, maka buktikan di mahkamah. Itu yang rakyat dan PN tuntut,” katanya.

3 September lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadapnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-