Monday, September 11, 2023

Umno kena solo pilihan raya, ‘pisahkan diri’ dengan DAP, kata Isham

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
11 Sep 2023

Ahli MKT itu berkata strategi itu penting demi meraih semula sokongan akar umbi ‘tanpa memaksa’ mereka terima DAP.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil, berkata Umno-Barisan Nasional boleh kekal sebahagian kerajaan perpaduan, namun tidak pada pilihan raya.

PETALING JAYA: Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menggesa parti itu “berpisah” dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP pada pilihan raya, namun kekal sebahagian kerajaan perpaduan.

Isham Jalil, yang juga bekas ketua penerangan berkata, gesaan Umno bertanding solo sebagai Barisan Nasional (BN) penting dalam strategi mengembalikan semula sokongan akar umbi yang didakwa menolak kerjasama dengan DAP.

Katanya, bertanding solo pada pilihan raya pernah dilakukan Umno ketika membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

“Kita boleh kekal dalam kerajaan perpaduan menjunjung titah SPB YDP Agong, namun kita boleh bertanding pilihan raya sebagai BN. Kita boleh menyumbang dalam hal ehwal dasar dalam kerajaan dan pada masa sama mengekalkan perjuangan asas dan mengembalikan akar umbi kita.

“Dan semasa kita dalam kerajaan PN dahulu, kita telahpun berada bersama dalam kerajaan namun tidak dalam pilihan raya,” katanya dalam Facebook.

Beliau meramalkan Umno mungkin tidak berjaya pada PRK, namun paling penting adalah mengembalikan akar umbi.

“Sekurang-kurangnya kita ada harapan untuk memulihkan parti daripada terus jadi abu,” katanya sambil menambah parti politik tidak boleh hidup tanpa akar umbi.

“Kita perlu kembalikan akar umbi kita dan keyakinan mereka terhadap kita dan bukan dengan cara memaksa mereka, lebih-lebih lagi menyuruh mereka menyimpang dari perjuangan asas.”

Umno akan menyertai PRK Pelangai pada 7 Okt depan susulan kematian penyandangnya, Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, pada 17 Ogos.

Semalam, memetik Berita Harian, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook pada Kongres Kebangsaan DAP berkata, partinya akan menghantar seluruh jentera bagi membantu BN pada PRK itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-