Monday, September 4, 2023

Umno sudah terima agenda ‘Malaysian Malaysia’ DAP?

harakahdailycom
September 3, 2023
KEBERADAAN Umno dalam pakatan campuran PH-BN sebenarnya mempamerkan kegagalan untuk melunakkan agenda besar DAP untuk mewujudkan ‘Malaysian Malaysia’ dan pembentukan Negara Sekular di Malaysia.

Ironinya kenyataan Anthony mempertahankan ideologi songsang DAP itu turut dipertahankan Zahid Hamidi sendiri yang sepatutnya membawa wacana perjuangan Umno mempertahankan negara dan bangsa sejak sekian lama.

Tidak peliklah jika Umno hari ini semakin terhakis citra perjuangannya dek kerana seorang individu tersebut. Apa lagi selepas ini yang Umno akan tanggalkan pakaian perjuangannya selepas hari ini Presidennya sendiri mempertahankan agenda ekstrem DAP tersebut?

Agenda menjadikan Malaysia negara sekular termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan DAP sendiri. Ia dinyatakan dalam Perkara 2 iaitu;

“Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal iaitu sistem undang-undang tertinggi negara…”

Apa guna Anthony mempertahankan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan kalau mereka masih beragenda memisahkan Islam daripada kerangka ‘Perlembagaan Malaysia’?

Calon PH-BN di Parlimen Pulai juga mempertahankan agenda DAP ini sebagai menepati Rukun Negara. Sejak bila Rukun Negara menggugurkan rukun ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ bermaksud menolak secara jelas prinsip sekular yang diperjuangkan parti DAP?

Begitu juga agenda DAP menjadikan Malaysia sebuah negara berasaskan ‘Malaysian Malaysia’. Ia adalah agenda kononnya memperjuangkan hak kesamarataan terhadap sosial, ekonomi dan politik antara kaum, tetapi sebenarnya terselindung di sebaliknya tirai perkauman yang lebih ekstrem.

Agenda ‘Malaysian Malaysia’ secara mudah difahaminya adalah sekadar slogan untuk menafikan hak keistimewaan orang Melayu termasuklah daripada sudut bahasa, budaya dan sejarahnya. Inilah wajah sebenar agenda hak sama rata dalam Malaysian Malaysia.

Perjuangan Malaysian Malaysia ini telah dipelopori oleh Lee Kwan Yew daripada parti People’s Action Party (PAP) yang membawa kepada penyingkiran Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Dorongan agenda Malaysian Malaysia ketika itu telah membibitkan pakatan dalam kalangan parti pembangkang iaitu Malaysian Solidarity Convention pada tahun yang sama.

Meskipun dengan penyingkiran Singapura dan terkeluarnya PAP daripada Malaysia, agenda Malaysian Malaysia kini masih diteruskan oleh parti serpihannya yang sangat dominan dalam pakatan PH-BN pada hari ini iaitu DAP.

Agenda tersebut sememangnya ditentang orang Melayu kerana ibaratnya mengikis identiti Melayu-Islam yang menjadi tunjang dalam negara ini. Malah, tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam negara turut diukir daripada sikap rasis yang dibentuk oleh PAP melalui agenda yang sama.

Justeru, usahlah DAP mempertahankan kedua-dua agenda Negara Sekular mahupun Malaysian Malaysia kononnya tidak merbahaya kepada negara. Sedangkan sejarah adalah guliran fakta yang tidak boleh sesekali dipadamkan.

Rakyat Malaysia menolak agenda ekstrem Negara Sekular dan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP!

DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-