Showing posts with label PH-BN. Show all posts
Showing posts with label PH-BN. Show all posts

Monday, September 4, 2023

Umno sudah terima agenda ‘Malaysian Malaysia’ DAP?

harakahdailycom
September 3, 2023
KEBERADAAN Umno dalam pakatan campuran PH-BN sebenarnya mempamerkan kegagalan untuk melunakkan agenda besar DAP untuk mewujudkan ‘Malaysian Malaysia’ dan pembentukan Negara Sekular di Malaysia.

Ironinya kenyataan Anthony mempertahankan ideologi songsang DAP itu turut dipertahankan Zahid Hamidi sendiri yang sepatutnya membawa wacana perjuangan Umno mempertahankan negara dan bangsa sejak sekian lama.

Tidak peliklah jika Umno hari ini semakin terhakis citra perjuangannya dek kerana seorang individu tersebut. Apa lagi selepas ini yang Umno akan tanggalkan pakaian perjuangannya selepas hari ini Presidennya sendiri mempertahankan agenda ekstrem DAP tersebut?

Agenda menjadikan Malaysia negara sekular termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan DAP sendiri. Ia dinyatakan dalam Perkara 2 iaitu;

“Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal iaitu sistem undang-undang tertinggi negara…”

Apa guna Anthony mempertahankan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan kalau mereka masih beragenda memisahkan Islam daripada kerangka ‘Perlembagaan Malaysia’?

Calon PH-BN di Parlimen Pulai juga mempertahankan agenda DAP ini sebagai menepati Rukun Negara. Sejak bila Rukun Negara menggugurkan rukun ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ bermaksud menolak secara jelas prinsip sekular yang diperjuangkan parti DAP?

Begitu juga agenda DAP menjadikan Malaysia sebuah negara berasaskan ‘Malaysian Malaysia’. Ia adalah agenda kononnya memperjuangkan hak kesamarataan terhadap sosial, ekonomi dan politik antara kaum, tetapi sebenarnya terselindung di sebaliknya tirai perkauman yang lebih ekstrem.

Agenda ‘Malaysian Malaysia’ secara mudah difahaminya adalah sekadar slogan untuk menafikan hak keistimewaan orang Melayu termasuklah daripada sudut bahasa, budaya dan sejarahnya. Inilah wajah sebenar agenda hak sama rata dalam Malaysian Malaysia.

Perjuangan Malaysian Malaysia ini telah dipelopori oleh Lee Kwan Yew daripada parti People’s Action Party (PAP) yang membawa kepada penyingkiran Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Dorongan agenda Malaysian Malaysia ketika itu telah membibitkan pakatan dalam kalangan parti pembangkang iaitu Malaysian Solidarity Convention pada tahun yang sama.

Meskipun dengan penyingkiran Singapura dan terkeluarnya PAP daripada Malaysia, agenda Malaysian Malaysia kini masih diteruskan oleh parti serpihannya yang sangat dominan dalam pakatan PH-BN pada hari ini iaitu DAP.

Agenda tersebut sememangnya ditentang orang Melayu kerana ibaratnya mengikis identiti Melayu-Islam yang menjadi tunjang dalam negara ini. Malah, tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam negara turut diukir daripada sikap rasis yang dibentuk oleh PAP melalui agenda yang sama.

Justeru, usahlah DAP mempertahankan kedua-dua agenda Negara Sekular mahupun Malaysian Malaysia kononnya tidak merbahaya kepada negara. Sedangkan sejarah adalah guliran fakta yang tidak boleh sesekali dipadamkan.

Rakyat Malaysia menolak agenda ekstrem Negara Sekular dan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP!

DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena 

Tuesday, August 29, 2023

Jentera PH-BN serasi di Pulai, Simpang Jeram - Akmal Saleh

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 29, 2023 8:45 AM
Keserasian jentera Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dilihat menyerlah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, kata Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dr Muhamad Akmal berkata keserasian yang dipamerkan jentera PH-BN, khususnya komitmen daripada jentera Pemuda Umno pada PRK Itu lebih mantap, berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, sekali gus menghentikan tomahan yang kononnya BN Johor menolak calon PH khususnya di Pulai iaitu Suhaizan Kaiat.
Beliau berkata Pemuda Umno di semua peringkat cawangan di Pulai, bersolidariti menyokong Suhaizan yang mewakili gabungan PH-BN dan memastikan kerusi itu kekal milik PH.

“Walapun pertama kali BN tidak bertanding di kerusi Pulai, atas semangat perpaduan kita (PH-BN) kita bersama-sama bersolidariti menyokong calon PH.

“Keserasian antara jentera juga saban hari semakin bertambah baik dan momentum ini, akan berterusan sehingga 9 Sept (hari mengundi) ini,” katanya kepada pemberita pada sesi ceramah kelompok yang turut dihadiri Suhaizan di Taman Cempaka, Kempas di Johor Bahru malam tadi.

Dr Muhamad Akmal berkata di peringkat akar umbi BN pula, jentera serta kepimpian parti akan terus memberi penjelasan, agar kefahaman mengenai kerjasama gabungan Kerajaan Perpaduan, dapat diperkukuh dan diterjemahkan dalam bentuk undi memenangkan calon PH.

Pada PRK Parlimen Pulai Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar di dua kerusi jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept diikuti hari pengundian 9 Sept.

- Bernama

Sunday, December 25, 2022

Janji kerajaan PH-BN atasi kos sara hidup hanya tinggal janji: Wan Saiful

agendaily.com
25/12/2022
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Kerajaan gabungan PH-BN yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup walaupun telah memberi jaminan tempoh dua minggu untuk kementerian terbabit menyelesaikannya pada 27 November lalu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata hari ini sudah empat minggu berlalu namun kos sara hidup masih terus naik dan telur masih sukar didapati di pasaran.

“Harga makanan harian makin naik. Tapi tidak ada satu pun langkah konkrit yang kerajaan telah mulakan.

“Nampaknya janji dua minggu ini sama macam janji harga minyak turun dalam 24 jam.

“Sampai hari ini belum habis ‘mencerakinkan’ solusi. Tersengih bertutur bahasa berbunga-bunga untuk tunjuk hebat, tapi hanya wayang untuk menutup kelemahan tak tahu nak buat apa untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 untuk menganalisis kesan subsidi bersasar berbanding dasar subsidi menyeluruh pada masa ini.

Anwar berkata semua kementerian dan agensi berkaitan telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat yang akan dibentangkan kepada kabinet barunya selepas ia dibentuk kelak.

“Saya tidak ada masalah dengan subsidi bagi rakyat, terutama rakyat yang susah. Tetapi dalam perbincangan kita, subsidi ini harus bersasar.

“Jika tidak, seperti harga minyak umpamanya, subsidi itu dimanfaatkan oleh rakyat dan golongan kaya.

“Jadi saya berikan mereka (majlis tindakan) tempoh dua minggu untuk cerakin, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya itu untuk meringankan beban rakyat yang miskin.

“Tentunya golongan yang kaya dan industri tidak harus mengambil manfaat (dengan subsidi),” kata Anwar pada sidang media di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu Malaysia berkata semua ini membuktikan bahawa PH-BN tidak ada idea untuk menyelesaikan isu rakyat, sebaliknya sibuk berlakon wayang sahaja.

“Semua ini membuktikan bahawa PH-BN tak ada idea. Ini adalah kerajaan menyelamatkan diri sendiri dan memenuhi cita-cita peribadi, sebab itu PH-BN tiada idea bagaimana menyelamatkan rakyat.

“Fokus PH-BN ialah kepada perebutan jawatan, perlantikan GLC, dan berlakon wayang sahaja. Nasib rakyat bukan agenda utama PH-BN,” katanya.

 – BeritaBersatu

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-