Wednesday, October 4, 2023

Hakim tarik diri, rayuan Najib tangguh

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Oct 4, 2023 12:02 PM
Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi hari ini telah menarik diri daripada kes rayuan bekas perdana menteri Najib Razak.

Azizah yang mempengerusikan sidang tiga hakim pada mulanya ditetapkan mendengar rayuan Najib untuk mengembalikan semula saman pendakwaan yang salah ke atasnya terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas.

Azizah membuat keputusan untuk menarik diri selepas mendedahkan kepada peguam Najib dan Thomas bahawa suaminya bekas timbalan pendakwa raya Nik Suhaimi Nik Sulaiman, yang bersara daripada bahagian rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) awal tahun ini.

Menurut hakim itu, suaminya pernah berada di bawah Thomas, yang merupakan peguam negara dari 2018 hingga 2020.

"Saya ingin membuat pendedahan. Semasa responden (Thomas) menjadi AG, dalam tempoh itu, suami saya Nik Suhaimi berada di Jabatan Peguam Negara.

"Adakah pihak (plaintif dan defendan) mempunyai sebarang bantahan terhadap saya melakukan perkara itu," dia bertanya kepada peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaludin dan Alan Adrian Gomez, yang masing-masing mewakili Najib dan Thomas.

Firoz kemudian berkata dia perlu menerima arahan daripada Najib, yang sedang duduk di galeri awam mahkamah rayuan sivil melihat, sambil dikelilingi oleh pegawai Penjara Kajang.

(Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk hadir semasa pendengaran rayuannya yang dijadualkan hari ini).

Mahkamah kemudiannya ditangguhkan kira-kira sepuluh minit, sebelum menyambung semula dan Firoz memaklumkan kepada panel hakim - terdiri daripada hakim See Mee Chun dan Lim Chong Fong - bahawa Najib juga mahu Azizah menarik diri daripada mendengar rayuan itu.

Bagaimanapun, Alan memberitahu panel bahawa tidak ada keperluan untuk Azizah menarik diri kerana tidak ada bahaya berat sebelah.

Peguam itu menunjukkan situasi yang sama dengan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang menolak permohonan Najib supaya dia menarik diri daripada mendengar rayuan bekas perdana menteri itu untuk membatalkan sabitan beliau dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, berikutan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku-Maimun pada Ogos tahun lepas menolak rayuannya dalam kes SRC.

Sebagai tindak balas, Azizah mengulangi bahawa dia akan tetap menarik diri kerana suaminya berada di bawah Thomas ketika itu.

Dia kemudian menarik diri, dengan Firoz memberitahunya bahawa pasukan peguam Najib tidak tahu tentang peranan suaminya ketika itu di bawah Thomas dan tidak datang ke mahkamah hari ini untuk mengemukakan sebarang bantahan di bawah pendedahannya yang mengejut.

Mahkamah Rayuan telah menetapkan pengurusan kes perkara itu minggu depan untuk memutuskan siapa yang akan membentuk panel baharu bagi mendengar rayuan Najib.

Najib sebelum ini memohon Mahkamah Rayuan mahu mengembalikan semula samannya RM1.9 juta terhadap Thomas atas dakwaan salah guna jawatan awam yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib terhadapnya yang mendorong Najib memfailkan notis rayuan pada 22 Dis.

Dalam samannya, Najib mendakwa dia dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Thomas merupakan peguam negara dari 4 Jun 2018, hingga 28 Feb 2020.

Dalam saman yang difailkan pada 22 Okt 2021, Najib berkata pertuduhan terhadapnya sebahagian langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan PH yang diterajui perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Dia memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-