Showing posts with label Jabatan Peguam Negara (AGC). Show all posts
Showing posts with label Jabatan Peguam Negara (AGC). Show all posts

Friday, January 24, 2025

PAS desak AGC rayu hukuman pada Iswardy demi wibawa Agong

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 24, 2025 10:15 AM
Membandingkan beberapa kes lain melibatkan Yang di-Pertuan Agong, PAS hari ini menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan berhubung hukuman ke atas seorang pemimpin PKR Sarawak semalam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata rayuan berkenaan penting "demi memelihara wibawa institusi Yang di-Pertuan Agong dan menjamin keadilan untuk semua rakyat".

Katanya berbanding apa yang dikenakan ke atas Iswardy Morni, hukuman ke atas buruh dan suri rumah sebelum ini adalah lebih berat.

Jika tiada rayuan dikemukakan, katanya, kerajaan akan dilihat memperlekehkan institusi diraja.

"Bandingkan kes ini dengan kes buruh dan suri rumah yang masing-masing dihukum penjara enam dan lapan bulan atas kesalahan serupa.

"Perbezaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan serta ketelusan dalam pelaksanaan undang-undang.

"Adakah status politik atau kedudukan sosial menjadi faktor yang mempengaruhi hukuman?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Iswardy yang juga Pengarah Strategi Jabatan Pilihan Raya PKR Sarawak didenda RM5,000 kerana disabitkan bersalah menghina Agong kira-kira empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, M Edwin Paramjothy, berkata Iswardy memang membuat hantaran di Facebook dengan menujukannya kepada Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dia juga menyatakan untuk pesalah kali pertama seperti Iswardy pada umumnya mendapat beberapa tahap mitigasi, kecuali untuk kes melibatkan kesalahan sangat teruk.

Hakim juga antara lain menegaskan tiada bukti menunjukkan bahawa tertuduh melakukan salah laku yang lazim atau berulang.

Iswardy, 48, diarah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal melangsaikan denda tersebut.

Menurut Ahmad Fadhli, jika AGC tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman ke atas Iswardy, persepsi orang ramai bahawa kerajaan tidak serius mempertahankan institusi tertinggi negara akan bertambah tebal.

"Justeru, demi memelihara wibawa institusi Yang di-Pertuan Agong dan menjamin keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira status, kerajaan mesti memastikan rayuan terhadap hukuman ini difailkan.

"Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi raja tetapi juga mengundang ketidakpercayaan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya.

Thursday, March 7, 2024

Pendakwaan rayu pelepasan, pembebasan Isa Samad

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Mar 7, 2024 12:17 PM
Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula sabitan bersalah ke atas bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad berhubung sembilan pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan awal hari ini.

"Kami baru sahaja memfailkan notis (rayuan)," kata Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membenarkan rayuan Isa, 75 yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan terhadap keputusan bersalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.

Bercakap bagi pihak rakan hakim panel Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah, Vazeer Alam memutuskan bahawa hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah salah arah dirinya apabila mensabitkan perayu.

Vazeer Alam berkata apabila terdapat dua versi peristiwa mengenai wang yang didakwa diberikan kepada Isa, maka faedah kesangsian itu sepatutnya diberikan kepada perayu.

[Baca berita penuh]

Wednesday, October 4, 2023

Hakim tarik diri, rayuan Najib tangguh

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Oct 4, 2023 12:02 PM
Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi hari ini telah menarik diri daripada kes rayuan bekas perdana menteri Najib Razak.

Azizah yang mempengerusikan sidang tiga hakim pada mulanya ditetapkan mendengar rayuan Najib untuk mengembalikan semula saman pendakwaan yang salah ke atasnya terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas.

Azizah membuat keputusan untuk menarik diri selepas mendedahkan kepada peguam Najib dan Thomas bahawa suaminya bekas timbalan pendakwa raya Nik Suhaimi Nik Sulaiman, yang bersara daripada bahagian rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) awal tahun ini.

Menurut hakim itu, suaminya pernah berada di bawah Thomas, yang merupakan peguam negara dari 2018 hingga 2020.

"Saya ingin membuat pendedahan. Semasa responden (Thomas) menjadi AG, dalam tempoh itu, suami saya Nik Suhaimi berada di Jabatan Peguam Negara.

"Adakah pihak (plaintif dan defendan) mempunyai sebarang bantahan terhadap saya melakukan perkara itu," dia bertanya kepada peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaludin dan Alan Adrian Gomez, yang masing-masing mewakili Najib dan Thomas.

Firoz kemudian berkata dia perlu menerima arahan daripada Najib, yang sedang duduk di galeri awam mahkamah rayuan sivil melihat, sambil dikelilingi oleh pegawai Penjara Kajang.

(Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk hadir semasa pendengaran rayuannya yang dijadualkan hari ini).

Mahkamah kemudiannya ditangguhkan kira-kira sepuluh minit, sebelum menyambung semula dan Firoz memaklumkan kepada panel hakim - terdiri daripada hakim See Mee Chun dan Lim Chong Fong - bahawa Najib juga mahu Azizah menarik diri daripada mendengar rayuan itu.

Bagaimanapun, Alan memberitahu panel bahawa tidak ada keperluan untuk Azizah menarik diri kerana tidak ada bahaya berat sebelah.

Peguam itu menunjukkan situasi yang sama dengan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang menolak permohonan Najib supaya dia menarik diri daripada mendengar rayuan bekas perdana menteri itu untuk membatalkan sabitan beliau dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, berikutan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku-Maimun pada Ogos tahun lepas menolak rayuannya dalam kes SRC.

Sebagai tindak balas, Azizah mengulangi bahawa dia akan tetap menarik diri kerana suaminya berada di bawah Thomas ketika itu.

Dia kemudian menarik diri, dengan Firoz memberitahunya bahawa pasukan peguam Najib tidak tahu tentang peranan suaminya ketika itu di bawah Thomas dan tidak datang ke mahkamah hari ini untuk mengemukakan sebarang bantahan di bawah pendedahannya yang mengejut.

Mahkamah Rayuan telah menetapkan pengurusan kes perkara itu minggu depan untuk memutuskan siapa yang akan membentuk panel baharu bagi mendengar rayuan Najib.

Najib sebelum ini memohon Mahkamah Rayuan mahu mengembalikan semula samannya RM1.9 juta terhadap Thomas atas dakwaan salah guna jawatan awam yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib terhadapnya yang mendorong Najib memfailkan notis rayuan pada 22 Dis.

Dalam samannya, Najib mendakwa dia dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Thomas merupakan peguam negara dari 4 Jun 2018, hingga 28 Feb 2020.

Dalam saman yang difailkan pada 22 Okt 2021, Najib berkata pertuduhan terhadapnya sebahagian langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan PH yang diterajui perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Dia memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

[Baca berita asal]

Friday, September 8, 2023

DNAA kes Zahid rumitkan keadaan, kata ahli parlimen PH

malaysiakini.com
Hariz Mohd & Isabelle Leong
Diterbitkan: Sep 8, 2023 11:02 AM
Pengguguran pertuduhan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengakibatkan PH berada dalam dilema, kata seorang ahli parlimen kerajaan.

Dia yang enggan namanya didedahkan berkata, tiada ahli dari gabungan itu yang berpuas hati dengan keputusan membebaskan tanpa melepaskan (DNAA) Ahmad Zahid oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Sept.

“Sesetengah ahli parlimen kecewa dengan perkara ini, mereka tidak ada penjelasan mengenainya, jadi mereka mengelak daripada memberikan kenyataan.

“Apa yang boleh saya katakan, tiada tutup mulut dikeluarkan untuk menghalang ahli parlimen PH daripada bercakap mengenai isu ini.

"Ia lebih kepada 'macam mana kita nak respons terhadap perkara ini' saja.

"Jika kamu tanya kepada sesiapa daripada PH, tak ada yang berpuas hati,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Menurut ahli parlimen itu, PH memang menjangkakan sejak awal perkembangan seperti yang berlaku baru-baru ini akan berlaku.

Bahkan, katanya, ia diramal seawal PH bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan pusat selepas PRU ke-15 pada tahun lalu.

"Itu 'harga' yang perlu dibayar," katanya lagi.

Penting untuk majoriti di parlimen

Malaysiakini menghubungi sembilan ahli parlimen dari PKR, DAP dan Amanah untuk mendapatkan komen tetapi hanya dua orang bersetuju untuk mengulas perkara tersebut.

Daripada dua ahli parlimen itu, hanya seorang - Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan - mengizinkan namanya disiarkan.

Sambil menegaskan pilihan raya kecil (PRK) untuk Pulai dan Simpang Jeram sedang berjalan, ahli parlimen PH yang enggan namanya didedahkan itu menyuarakan kebimbangan bahawa keputusan DNAA berkenaan boleh memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi Sabtu ini.

Oleh itu, dia meminta supaya semua pihak berhenti membincangkan dan berdebat berhubung perkara itu bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada PRK berkenaan.

“Ini masa yang sangat penting bagi kerajaan. Lagi banyak kita bercakap tentang isu ini... kita mungkin boleh menjejaskan keputusan (PRK) dan penting untuk kita mengekalkan majoriti dua per tiga (di parlimen).

“Walaupun selepas kita memenangi pilihan raya kecil, siapa tahu sama ada (Ahli Parlimen Muar) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) akan terus menyokong kerajaan atau tidak? Inilah sebabnya mengapa majoriti dua per tiga sangat penting,” katanya.

Pentadbiran Anwar Ibrahim bermula pada Nov lalu dengan 148 ahli parlimen - termasuk Syed Saddiq - bersama kerajaan, iaitu jumlah yang cukup-cukup untuk mencapai majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat.

Keadaan itu - secara teori - membolehkan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, ketika ini kerajaan mempunyai 147 ahli parlimen selepas kerusi Pulai kosong berikutan kematian Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Jika Amanah memenangi semula kerusi Pulai pada Sabtu, ini akan menjadikan kerajaan mempunyai 148 ahli parlimen semula.

Syed Saddiq yang juga presiden Muda sebelum ini mengugut untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Anwar berikutan status DNAA yang diberikan kepada Ahmad Zahid.

Jika Muda meneruskan ugutannya, kerajaan akan kembali memiliki sokongan 147 ahli parlimen.

Sementara itu, Sany turut mengesahkan kepada Malaysiakini, terdapat ahli akar umbi Amanah dan PH yang tidak berpuas hati dengan DNAA itu dan mendakwa terdapat campur tangan kerajaan dalam kes tersebut.

Buat taklimat khas

Bagaimanapun, ahli Jawatankuasa Amanah Nasional itu berkata dia amat percaya pentadbiran Anwar tidak terlibat dalam membuat gesaan sedemikian.

“Pandangan kita yang berbeza, pendapat kita yang berbeza, suara hati kita yang berbeza. Tapi apabila badan kehakiman sudah membuat keputusan berdasarkan jalur undang-undang, perlembagaan, peraturan yang dibenarkan, kita sebagai rakyat kena akur.

"Kalau mereka rasa tak berpuas hati, appeal (rayu) baliklah,” kata Sany ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 5 Sept lalu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan Anwar daripada tindak balas besar terhadap DNAA yang diberikan kepada Zahid.
Sany Hamzan
Saifuddin mengulangi penegasannya bahawa Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada peguam negara untuk mendakwa atau menarik balik sebarang pertuduhan.

Pada hari yang sama, Anwar turut menafikan wujud sebarang campur tangan dalam keputusan AGC, dan menegaskan perkara itu diputuskan oleh bekas Idrus Harun selaku peguam negara ketika itu.

Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi dari Amanah - yang tidak mahu namanya didedahkan - mengulangi pihaknya menggesa Idrus menjelaskan mengapa pihak pendakwa raya membatalkan prosiding mereka terhadap Ahmad Zahid.

Sambil menegaskan bahawa kes itu terlalu teknikal untuk difahami oleh rakyat Malaysia biasa, dia turut menggesa pihak yang berkenaan mengadakan taklimat khas membabitkan Idrus kepada semua anggota kerajaan agar mereka mendapat penjelasan terperinci.

“Oleh itu mungkin taklimat khas kepada semua ahli (kerajaan) perpaduan boleh dibuat dengan meminta bekas AG jelaskan, serta pengukuhan daripada pihak menteri undang-undang (Azalina Othman Said) sebagai penegasan bahawa kerajaan perpaduan tak terlibat keputusan ni, (sebaliknya) AG yang buat,” katanya.

[Baca berita asal]

DNAA Zahid: Badan Peguam anggap penjelasan AGC 'lompong'

malayysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2023 9:50 AM
Badan Peguam Malaysia menganggap penjelasan diberikan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai keputusan mereka menghentikan prosiding mahkamah ke atas Ahmad Zahid Hamidi belum memuaskan

Justeru Badan Peguam Malaysia berpendapat tindakan AGC meletakkan mahkamah tidak memiliki pilihan kecuali memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada timbalan perdana menteri berkenaan.

“Oleh itu, adalah lompong untuk AGC mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes itu kepada mahkamah tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media, dan bukannya memberikan penjelasan terperinci,” kata Presiden Badan Peguam Karen Cheah.

Dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi, keputusan dibuat AGC pada peringkat prosiding mahkamah yang begitu lewat juga mencemarkan kredibiliti agensi terbabit sebagai pihak pendakwa, selain Suruhanjaya Pnecegahan Rasuah (SPRM) sebagai penyiasat.

Cheah menegaskan ketika pihak pendakwaan menghentikan prosiding berkenaan, mahkamah sudah melangsungkan 77 hari perbicaraan, mendengar keterangan 99 saksi, dan pihak pendakwaan mewujudkan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Keadaan itu menunjukkan pihak pendakwaan berjaya mengaitkan kes terbabit dengan tertuduh, yang akan disabitkan dengan pertuduhan melainkan pihak peguam bela berjaya menangkis keterangan tersebut semasa pembelaan mereka.

Dalam kenyataan akhbarnya pada Selasa lalu, AGC berkata keputusan mereka untuk menghentikan prosiding ke atas Ahmad Zahid adalah berdasarkan alasan "konsisten" yang "diberi dan diterima oleh mahkamah".

Bagaimanapun dalam kenyataan tersebut AGC tidak menyatakan sebab-sebab yang dimaksudkan itu.

Ketika memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan DNAA ke atas Ahmad Zahid, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah, ia dibuat atas beberapa alasan termasuk untuk membenarkan SPRM menjalankan siasatan lanjut; untuk melihat kemungkinan terdapat pendakwaan terpilih; dan menunggu Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.

Mengenai kenyataan hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa masa yang berharga dan wang pembayar cukai akan dibazirkan jika pihak pendakwaan tidak meneruskan pertuduhan lanjut selepas ini, Cheah berkata mahkamah perlu menggunakan Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah jika ia memutuskan untuk berbuat demikian.

Langkah itu, katanya, akan membolehkan kes berkenaan disambung semula dan seolah-olah DNAA tidak pernah diberikan.

Badan Peguam juga memperbaharui gesaannya agar peranan peguam negara dan pendakwa raya dipisahkan bagi memastikan pendakwa raya bebas daripada pengaruh eksekutif dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan.

“Kes Ahmad Zahid menunjukkan kepada kita semua bahawa perubahan penting mesti semakin mendesak dilakukan menjelang 2024 supaya sistem keadilan jenayah kita diperkukuh untuk menghapuskan prospek dan/atau penampilan berat sebelah dalam cara ahli politik didakwa, dan dalam cara pertuduhan terhadap mereka ditarik balik,” katanya.

[Baca berita asal]

Tuesday, October 19, 2021

Kenapa AGC tak bantah permohonan Najib dapatkan semula pasport, soal badan antirasuah

FMT Reporters
-October 19, 2021 6:03 PM

Mahkamah Rayuan membenarkan pelepasan sementara pasport Najib Razak bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa, yang akan bersalin di Singapura.

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC), termasuk pasukan pendakwaan perlu menjelaskan mengapa tiada bantahan dibuat terhadap permohonan Najib Razak, mendapatkan pasport antarabangsanya secara sementara, desak Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Dalam kenyataan C4 berkata, adalah mengejutkan bekas Perdana Menteri itu dibenarkan melakukan perjalanan luar negara, selepas mengambil kira beliau sudah dijatuhkan hukuman dalam kes rasuah dan pecah amanah jenayah (CBT).

Semalam, dilaporkan Mahkamah Rayuan membenarkan pelepasan sementara ke atas pasport Najib bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa, yang akan bersalin di Singapura.

Panel tiga Hakim dipengerusikan Kamaludin Md Said, sebulat suara membenarkan permohonan Najib selepas mendengar hujah daripada peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, bagaimanapun tidak menyatakan sebarang bantahan.

“Wujud alasan munasabah membabitkan risiko penerbangan, selepas mengambil kira beliau (Najib) dan sabitannya, termasuk masih berdepan lebih banyak pertuduhan di mahkamah yang semuannya berkaitan 1MDB dan anak syarikatnya. Beliau juga dalam proses merayu berkenaan denda RM1.7 billion yang perlu dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Tambahan pula, skandal 1MDB sekali lagi dinamakan dalam pendedahan Kertas Pandora, dan kaitannya dengan penipuan membabitkan di Rusia dan India, sekali gus memberi petunjuk bahawa beliau adalah sosok utama terbabit dalam penjarahan terbesar kewangan,” katanya.

C4 berkata, pihak pendakwaan perlu menjelaskan mengapa mereka tidak membantah permohonan Najib itu.

“Perlu ditekankan bahawa Jho Low dan Nik Faisal, menjadi sekutu utama kepada Najib, di mana kedua-duanya masih bebas dan Malaysia tidak boleh memberi ruang kepada Najib untuk terlepas, selepas didakwa dengan puluhan tuduhan merangkumi pengubahan wang haram dan rasuah dalam penjarahan kewangan terbesar.

“Kami sekali lagi ingin bertanya apakah pendekatan yang dilaksanakan demi menjamin beliau tidak melepaskan diri,” katanya.

Tuesday, October 9, 2018

AGC bantah permohonan isytihar Anwar tak layak tanding

Diterbitkan 9 Okt 2018, 12:51 tengah hari


Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini membuat bantahan awal terhadap permohonan seorang pengundi Port Dickson yang mempersoalkan kesahihan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bersama-sama dengan Shamsul Bolhassan dari AGC memberitahu pemberita bahawa Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa berbuat demikian.

Sebaliknya, penguni itu, Noraziah Mohd Shariff sepatutnya memfailkan perkara atau kes itu menerusi petisyen pilihan raya yang akan didengar oleh Mahkamah Pilihan Raya.

Bantahan itu dibuat oleh AGC yang bertindak mewakili Lembaga Pengampunan selain permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula bagi menuntut perisytiharan bahawa beliau tidak berhak untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat disebabkan status pengampunannya yang dipertikaikan.

Hakim Datuk Azizah Nawawi kemudian menetapkan 8 November sebagai tarikh untuk mendengar bantahan awal itu dan permohonan mengketepikan saman berkenaan memandangkan peguam Noraziah M Reza Hassan, baru menerima dokumen tersebut semalam.

Semalam, Peguam J Leela yang bertindak bagi pihak Anwar memberitahu Malaysiakini bahawa anak guamnya memohon untuk mengketepikan Noraziah atas alasan dia tidak mempunyai locus standi dan permohonan berkenaan adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Noraziah memfailkan permohonan itu pada 28 Sept lepas melalui firma guaman, Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selaku pemohon dan menamakan Anwar responden pertama dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan responden kedua.

Beliau, yang juga pengundi di Port Dickson turut memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.

Beliau turut memfailkan sijil perakuan segera supaya permohonan itu dapat didengar secepat mungkin oleh mahkamah sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadual 13 Okt ini diadakan memandangkan Anwar akan menjadi calon.

Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi ahli Parlimen berikutan sabitan salah yang dimilikinya.

Selain itu, beliau memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah terbatal memandangkan Lembaga Pengampunan yang menasihati Baginda tidak ditubuhkan selaras dengan Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.

Noraziah mengemukakan permohonan itu dengan alasan Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000 adalah hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.

Pemohon juga berkata, pada 16 Mei lepas, Anwar dilepaskan setelah menjalani hukuman penjara lima tahun berhubung sabitan jenayah kes liwat yang menjadikannya hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen namun atas nasihat responden kedua, Baginda telah memberikan pengampunan kepada Anwar.

Dalam hal ini, pemohon mendakwa, Sultan Muhammad V hanya memberi pengampunan kepada Anwar namun Baginda tidak pernah membatalkan hilang kelayakan responden pertama itu seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 48(1).

Selain itu, dakwanya, responden kedua telah ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikutan ketiadaan Menteri Wilayah dan Peguam Negara pada masa mesyuarat pengampunan dijalankan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-