Wednesday, October 4, 2023

‘Bom jangka’ pencen, apa penyelesaiannya?

freemalaysiatodaycom
Rex Tan
04 Oct 2023

Semua mata tertumpu kepada Anwar Ibrahim berkait langkahnya menangani beban besar mendanai pencen penjawat awam.
Penjawat awam dan pesara kerajaan membentuk jumlah besar ‘bank undi’ yang mana tidak boleh diketepikan Anwar Ibrahim walaupun pembayaran pencen berterusan meningkat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Cadangan bekas menteri supaya skim pencen kerajaan diubah kerana boleh menjadi “bom jangka” untuk perbelanjaan masa depan ditolak penjawat awam, Cuepacs, yang melihat gesaan itu sebagai “mengarut serta tidak wajar dibangkit”.

Cuepacs berkata, kesatuan itu tidak akan menerima apa jua cadangan menjejaskan keistimewaan penjawat awam itu.

FMT melihat isu utama membelenggu skim pencen penjawat awam Malaysia.

Kenapa ‘bom jangka’?

Sistem pencen melibatkan RM30.5 bilion dalam belanjawan negara tahun ini, hampir 8% daripada RM389 bilion dengan pertambahan RM3 bilion berbanding Belanjawan 2021.

Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob meramalkan pembayaran pencen boleh mencapai kira-kira RM46 bilion pada 2030.

Dana sebesar itu mesti ditangani sebelum Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mampu menunaikan ikrar untuk memotong defisit belanjawan kepada 3.5% pada 2025.

Apa penjawat awam dapat?

Akta Pencen 1980 menetapkan formula bagi pengiraan pencen penjawat awam. Penjawat awam berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun layak menikmati minimum pencen 50% daripada gaji bulanan terakhir. Bagi mereka berkhidmat 30 tahun, jumlah itu meningkat kepada 60%.

Berdasarkan formula itu, pekerja kesihatan bersara gred U29 dengan gaji terakhir RM3,476 selepas 25 tahun perkhidmatan layak menerima bayaran pencen RM1,738 sebulan.

Bagaimanapun, pada 2022, garis kemiskinan Malaysia ditetapkan RM2,589, meletakkan sejumlah besar pesara kerajaan hidup di bawah garis kemiskinan dan berada dalam kategori B40 selepas 25 tahun berkhidmat.

Kenapa tiada apa dilakukan?

Reform terhadap pencen akan berisiko ‘menyinggung’ 1.7 juta pengundi (sejuta penjawat awam dan 700,000 pesara), kumpulan yang umumnya dilihat sebagai “bank undi” kepada kerajaan memerintah.

Hak pesara kerajaan juga dilindungi Perlembagaan Persekutuan, yang mana menyatakan kerajaan tidak boleh berkompromi skim pencen yang dianugerahkan kepada penjawat awam.

Dalam erti kata lain, skim pencen tidak boleh dimansuhkan begitu sahaja. Kajian terperinci diperlukan bagi menentukan kaedah terbaik jika kerajaan berhasrat melakukan perubahan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan berkait pindaan tidak berperlembagaan

Pada Jun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah bawahan menolak pindaan terhadap undang-undang kawal selia pencen penjawat awam sebagai tidak berperlembagaan.

Katanya, pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 2013 yang meletakkan bekas penjawat awam dalam situasi “kurang memihak pesara” berhubung hak mereka menikmati kenaikan pencen.

Mahkamah mengarahkan dikembalikan kandungan asal dalam Seksyen 3 akta tersebut.

Ini bermakna, penetapan 2% kenaikan tahunan diterima semua pesara sejak 2013 ditarik balik, dengan pembayaran pencen kembali kepada jumlah diterima sebelum pindaan.

Bagaimanapun, kerajaan berkata pesara terkesan tidak perlu mengembalikan wang telah diterima mereka. Sebagai tambahan, insentif pembayaran khas dijanjikan sehingga Disember tahun ini.

Pesara juga menjangkakan kerajaan mengumumkan diteruskan insentif terbabit bermula Januari depan apabila Belanjawan 2024 dibentang.

Semakan semula pencen dijangka meningkat susulan semakan balik skim gaji penjawat awam yang sedang berjalan dan dijadual lengkap menjelang hujung tahun depan.

Apa penyelesaiannya?

Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin mencadangkan pengambilan penjawat awam masa depan diletakkan dalam skim melibatkan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berbanding diberikan pencen.

Cadangan lain daripada kumpulan pesara penjawat awam, G25, adalah kerajaan mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan pelaksanaan subsidi bersasar bagi menampung dana besar pencen.

Dalam keadaan itu, pastinya pembentangan Belanjawan 2024 oleh Anwar pada 13 Okt dinantikan untuk mendengar penyelesaian kepada isu itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-