Ole M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my
October 29, 2023 @ 10:23am
Zabidi menunjukkan beras yang dihasilkan daripada padi yang diproses menggunakan mesin mudah alih di rumahnya dekat Alor Berhala, Pendang.
PENDANG: Ketika penduduk bandar sukar mendapatkan bekalan beras tempatan, keluarga petani di luar bandar pula mempunyai pilihan bagi memproses padi untuk mendapatkan beras bagi kegunaan keluarga sendiri.
Penduduk Alor Berhala, Mohamad Zabidi Abdullah, 57, berkata tradisi menumbuk padi sememangnya biasa dilakukan di kampung itu, terutama keluarga pesawah suatu masa dahulu.
Namun selari peredaran zaman katanya, tradisi itu tidak lagi dilakukan dan kebanyakan penduduk hanya membeli beras atau menghantar padi ke kilang untuk diproses bagi mendapatkan beras.
"Dahulu setiap keluarga yang mengusahakan sawah mesti ada lesung padi, tapi kebanyakan lesung dan kayu uli sudah 'ghaib' ketika ini. Ketika saya kecil masih ada lagi orang menumbuk padi di kampung, tapi lama kelamaan tidak ada lagi.
"Sekitar 2018 saya bersama abang ipar, Zainol Hassan, 71, mula menanam pokok padi pulut. Jadi untuk proses beras pulut, kami beli mesin memproses beras di Thailand pada harga RM1,700 dan bawa pulang ke kampung," katanya ketika ditemui BH di sini.
Mohamad Zabidi berkata, memproses beras menggunakan mesin tidak sukar dan hanya mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja bagi seguni padi seberat 20 kilogram (kg).
Katanya, bagi setiap 20kg padi, maka hasil beras yang boleh diperoleh adalah kira-kira 14 kg dan selebihnya adalah beras hancur yang boleh diguna untuk membuat ikan pekasam pula.
"Padi yang diproses paling elok adalah yang sudah disimpan selama satu musim atau kira-kira enam bulan di dalam jelapang untuk membolehkannya kering sepenuhnya berbanding padi baharu dituai yang selalunya masih basah.
"Berkemungkinan besar, hanya kami di daerah ini ada mesin memproses padi bagi mendapatkan beras, tapi tujuan kami bukan untuk menjual beras, hanya proses untuk kegunaan keluarga dan diberikan kepada jiran sahaja," katanya.
Bagi Zainol pula, beras yang diproses sendiri mempunyai kualiti sama seperti beras import dari segi saiz, selain rasanya lebih enak berbanding beras diproses di kilang.
"Beras kampung biasanya mempunyai kanji yang banyak, jadi rasa nasi yang dimasak akan lebih manis dan berlemak berbanding beras kilang yang selalunya dibuang kanji ketika proses wap.
"Bagi yang sudah merasai keenakan beras kampung, mereka mesti berasa beras kilang kurang enak dan akan mencari beras kampung. Paling sedap nasi beras kampung dimakan panas-panas bersama ikan lampam pekasam," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.