Saturday, October 21, 2023

Risiko penyakit jantung golongan muda meningkat

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
21 Oct 2023

Golongan muda perlu lebih gigih dalam usaha mengurangkan risiko penyakit jantung.

Golongan muda perlu lebih proaktif dalam penjagaan kesihatan jantung mereka.

Penyakit kardiovaskular adalah penyumbang utama kadar kematian di negara ini. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2022, penyakit jantung iskemik dicatatkan sebagai punca kematian kedua tertinggi, sebanyak 13.7% daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.

Penyakit jantung iskemik atau arteri koronari berlaku apabila saluran darah yang berfungsi untuk menghantar darah ke jantung menjadi keras atau sempit. Keadaan ini boleh mengakibatkan gangguan pada aliran darah, seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung selain mengakibatkan kerosakan berpanjangan pada otot jantung.

Apa yang lebih membimbangkan penyakit jantung bukan sahaja menyerang golongan lebih tua, dewasa muda turut berdepan risiko sama.
Pakar Kardiologi Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Mohd Al-Baqlish Mohd Firdaus.

Pakar Kardiologi Dr Mohd Al-Baqlish Mohd Firdaus dari Hospital Pantai Ayer Keroh berkata, penyakit arteri koronari kebiasaannya dikaitkan dengan individu berumur 40 tahun ke atas. Namun sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan bilangan individu bawah umur 40 tahun didiagnosis dengan penyakit jantung. Trend ini menunjukkan peningkatan tahunan kira-kira 2%.

Selain penyakit jantung arteri koronari, terdapat juga penyakit injap jantung dan aritmia jantung yang paling lazim berlaku di Malaysia.

Punca dan faktor risiko penyakit jantung
Merokok boleh mengundang risiko penyakit jantung, oleh itu penting untuk berhenti merokok.

Menurut Al-Baqlish, tabiat merokok, kekurangan aktiviti fizikal, pengambilan makanan tidak sihat dan obesiti adalah penyumbang utama penyakit jantung dalam kalangan golongan muda.

Beliau turut menekankan faktor lain membawa kepada penyakit jantung, termasuk peningkatan diabetes dalam kalangan orang muda yang menyebabkan masalah metabolik dan hipertensi. Hal ini juga saling berhubung kait dengan perubahan dalam indeks jisim tubuh.

Faktor risiko lain termasuk pendedahan kepada persekitaran dipenuhi dengan penggunaan tembakau, genetik, kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti dan penyalahgunaan bahan terlarang seperti ganja.

Cegah sebelum parah

Simptom lazim dialami oleh individu menghidap penyakit jantung iskemik adalah ketidakselesaan di bahagian tengah dada, kesukaran bernafas semasa melakukan aktiviti fizikal atau senaman. Ketidakselesaan ini kadangkala dirasai di bahagian bahu, lengan, leher, rahang atau belakang badan.

Al-Baqlish menjelaskan, simptom penyakit jantung dalam kalangan golongan muda tidak jauh berbeza dengan orang dewasa yang lebih tua. Namun, golongan muda lebih cenderung untuk mengabaikan gejala dihidapi, menyebabkan keadaan mereka menjadi lebih teruk.

“Golongan muda cenderung untuk mengabaikan gejala ini dan biasanya datang lewat dengan komplikasi. Penemuan angiografi semasa pemeriksaan angiografi koronari mendedahkan, kadar single vessel disease lebih tinggi berbanding three vessel disease antara pesakit golongan muda.

“Golongan muda sering gagal menyedari faktor risiko penyakit jantung. Akibatnya, mereka hanya didiagnosis apabila sudah mengalami penyakit arteri koronari,” katanya.

Antara ujian boleh dilakukan ialah stratifikasi risiko dengan menggunakan CT-calcium score dan CT-coronary angiogram. Di Malaysia, terdapat beberapa hospital dilengkapi dengan mesin CT scan 640-slice yang mampu menghasilkan imej definisi tinggi dengan kadar radiasi rendah dalam masa lebih singkat.

Berdasarkan pemerhatian beliau juga, golongan muda pada umumnya kurang mengambil berat dan kemungkinan tidak membuat rawatan susulan selepas melakukan pemeriksaan.

Mengamalkan gaya hidup sihat boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.

Al-Baqlish berpesan kepada golongan muda supaya mengamalkan gaya hidup sihat, elakkan merokok, amalkan pemakanan sihat dan lebihkan bersenam. Mereka juga dinasihatkan menjaga berat badan kerana dengan pengurangan hanya 1kg berat badan, risiko penyakit jantung turut berkurang.

Untuk maklumat lanjut hubungi 06-3183739.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-