Wednesday, November 15, 2023

Hadi kekal Ahli Parlimen Marang

mediaprima.com.my
Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
ABDUL Hadi. FOTO Arkib NSTP

Putrajaya: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang selepas Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini menolak rayuan akhir bekas calon Barisan Nasional Jasmira Othman atas dakwaan menyogok pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara memutuskan untuk menolak rayuan pilihan raya yang difailkan Jasmira Othman selaku perayu bagi membatalkan kemenangan Abdul Hadi pada PRU15.

"Perayu gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap rayuan. Rayuan ditolak tanpa sebarang kos," kata Hakim Abang Iskandar.

Dua lagi hakim yang turut bersidang adalah Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Dalam prosiding hari ini, Jasmira selaku perayu diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Abdul Hadi selaku responden diwakili peguam Yusfarizal Yussoff.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu mengekalkan Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang selepas menolak petisyen yang difailkan Jasmira bagi membatalkan kemenangan Presiden Pas itu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, antara lain mendakwa Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri.

Perayu mendakwa perkara itu berlaku menerusi program i-pencen, i-Belia dan i-Siswa, pada 15 hingga 17 November 2022, iaitu beberapa hari menjelang PRU15.

Pada PRU15 lalu, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong.

Disiarkan pada: November 15, 2023 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-