Thursday, December 14, 2023

Covid-19: KKM mungkin keluar arahan ambil dos penggalak tak lama lagi

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
- 14 Dec 2023

Pengambilan dos penggalak baharu digalakkan terutamanya bagi golongan rentan.
Dzulkefly Ahmad berkata, kadar pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 ialah 54%, manakala kadar bagi dos ketiga ‘agak rendah’.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mungkin mengeluarkan arahan baharu untuk pengambilan dos penggalak Covid-19 tidak lama lagi, terutama bagi mereka yang lebih rentan terhadap komplikasi jangkitan virus itu.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kadar pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 ialah 54%, manakala kadar untuk dos ketiga “agak rendah”.

“Mungkin sedikit waktu lagi KKM akan keluar arahan untuk (ambil) dos penggalak, terutama mereka daripada kumpulan rentan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KKM pagi ini.

Dilaporkan semalam jumlah kes Covid-19 meningkat 88% kepada 12,757 minggu lepas, berbanding 6,796 pada minggu sebelumnya.

Dzulkefly juga berkata, stok vaksin mencukupi dan belum tamat tempoh.

“Vaksin yang kita ada masih boleh melindungi orang ramai daripada sebarang varian baharu Covid-19 di luar sana.”

Beliau menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka di kawasan sesak dan mengamalkan kuarantin kendiri selama lima hari jika didapati positif Covid-19, terutamanya menjelang musim perayaan.

Dalam kemas kini Covid-19 semalam, Ketua Pengarah kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata, majoriti daripada 12,757 kes yang dilaporkan sepanjang minggu lepas menunjukkan simptom ringan dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital.

Katanya, walaupun jumlah kes meningkat mendadak, ini sejajar dengan trend global pada akhir tahun. Keadaan di Malaysia terkawal dengan kemudahan penjagaan kesihatan beroperasi dalam kemampuan mereka, tambahnya.

Radzi juga berkata, KKM menjangkakan peningkatan kes Covid-19 selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu, selain disebabkan cuti sekolah yang bermula pada Sabtu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-