Thursday, December 14, 2023

Beranikah Kit Siang nyatakan SJKC, SJKT tak wujud dalam Perlembagaan?

ismaweb.net
zuhayati
14/12/2023

Pemimpin Melayu hormat kontrak sosial, kenapa Kit Siang setelah bersara politik dan dapat Tan Sri masih main isu 3R?
BANGI, 1 Jamadilakhir 1445H, Khamis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang ‘memanaskan’ semula isu Perdana Menteri bukan Melayu.

Puad berkata, memang benar Perlembagaan dengan jelas tidak menyebut Perdana Menteri haruslah dilantik dari kalangan orang Melayu.

Namun, beliau berasa hairan dengan tindakan veteran DAP itu yang cuba menaikkan kembali isu tersebut di masa kini.

“…tetapi kenapa Lim Kit Siang panaskan isu itu? Kit Siang sendiri sebelum ini pernah mengaku tidak bermimpi untuk jadi Perdana Menteri.

“Dia juga mengaku tidak yakin 100 tahun lagi orang Cina jadi Perdana Menteri.

“Maka biarlah kematangan politik mengambil tempat secara natural bukan dipaksa, tidak perlu diungkit dan dijadikan isu sensasi,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan kontroversi yang dicetuskan bekas Ahli Parlimen Gelang Patah melalui tulisan yang diterbitkan sewaktu berada di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh Kit Siang itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia.

Puad menegaskan, Kit Siang perlu ingat bahawa dengan kematangan politik Melayu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) masih wujud hingga hari ini.

“Beranikah Lim Kit Siang menafikan SJKC dan SJKT tidak wujud dalam Perlembagaan? Sekolah itu wujud kerana kontrak sosial yang tidak bertulis dan pemimpin Melayu terus menghormatinya.

“Lim Kit Siang tidak marah Lee Kuan Yew menutup Nanyang University yang guna bahasa Cina. Universiti itu digabungkan dengan National University of Singapore yang guna Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, di Malaysia sikap bertolak ansur masih ada dan kerana itu sekolah vernakular kekal wujud.

Namun, bila adanya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Kit Siang antara yang lantang membantah pelaksanaannya.

“Sebab itu SJKC kekal guna Mandarin bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Tidak timbul soal Perlembagaan. Tidak timbul isu kebebasan bersuara. Kenapa setelah bersara politik dan dapat Tan Sri masih main isu 3R? Negara perlu 100 tahun lagi untuk matang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-