malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 11, 2023 2:09 PM
PAS menyelar kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang berhubung isu orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri dan menyifatkan ia sebagai ulangan “propaganda beracun” yang berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, menjadi pengetahuan umum beberapa pimpinan DAP membangkitkan perkara itu sejak puluhan tahun, termasuk pada 2012 oleh mendiang Karpal Singh dan 2017 oleh Lim sendiri.
"Kali ini dengan berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020, Lim dengan sengaja memberikan gambaran yang salah tentang orang Melayu atau citra politik orang Melayu dengan menyebut bahawa kesemua dokumen itu bermatlamatkan 'Impian Malaysia' yang berbilang etnik, agama dan budaya, bukan impian mono etnik.
"Dia juga kelihatan mengambil peluang membangkitkan perkara ini tatkala Umno, sebagai sebuah parti orang Melayu, berada dalam keadaan tersepit sebagai anggota kerajaan Madani sehingga menyebabkan parti tersebut membisu seribu bahasa.
"Menurut Lim kenyataannya itu juga disokong oleh fakta bahawa Perlembagaan memperuntukkan bahawa orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Lim Kit Siang
Terdahulu Lim semasa ceramahnya kepada pelajar Malaysia di United Kingdom berharap tidak lama lagi terdapat bukan Melayu menjadi perdana menteri.
Dia berkata demikian ketika mengulas bagaimana seorang kulit putih dapat menjadi presiden Amerika Syarikat selepas lebih 230 tahun penubuhan negara itu.
Lim bagaimanapun berkata berkata buat masa ini, untuk orang bukan Melayu menjadi perdana menteri Malaysia adalah “kenyataan fakta” tetapi bukan “kenyataan realiti”.
Sumber DAP memberitahu Malaysiakini, Lim akan ke sebuah balai polis di Petaling Jaya pada Rabu ini bagi memberikan keterangan kepada pihak polis.
Dalam kenyataan hari ini, Takiyuddin berkata Lim bertindak seolah-olah jahil undang-undang tanpa melihat konvensyen yang diamalkan sejak kemerdekaan.
Katanya, bukan sahaja tidak ada orang bukan Melayu menjadi perdana menteri, malah tiada juga yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata, Lim tidak dapat menyembunyikan “prejudisnya” terhadap peranan orang Melayu.
Menurutnya dengan perkataan lain, Lim seolah-olah beranggapan hanya dengan mempunyai seorang perdana menteri bukan Melayu barulah Malaysia boleh dianggap mencapai impian sebagai negara yang berjaya.
Takiyuddin menyamakan naratif 'Impian Malaysia' Lim itu tidaklah terlalu berbeza dengan Malaysian Malaysia yang digagaskan oleh bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew, suatu ketika dahulu.
"Helah berselindung di sebalik kata-kata manis baik oleh Lee mahupun Lim tidak dapat menyembunyikan niat sebenar mereka, iaitu mahu menimbulkan polemik serta persoalan tentang kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti yang diperuntukan oleh Perlembagaan," katanya.
Tambahnya, ucapan Lim berkaitan peluang Malaysia menjadi negara hebat di dunia atau “berpecah belah, gagal, dan kleptokratik” tidak langsung berbeza dengan ucapan Lee kepada pelajar Malaysia di London pada 1964.
"Seperti gagasan Malaysian Malaysia yang ditolak kerana kekaburan, niat buruk dan kontradiksi yang terkandung di dalamnya serta tingkah-laku tidak jujur pejuangnya suatu masa dahulu, maka naratif Impian Malaysia ini juga perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia yang insaf sejarah dan menghargai pencapaian serta keharmonian sedia ada dalam kalangan kita.
"Justeru PAS memberi amaran kepada mana-mana pihak yang masih berdegil dalam membangkitkan perkara seumpama ini supaya berhenti mengamalkan perbuatan mengumpan kemarahan orang Melayu dan Bumiputera khasnya kerana ia juga membawa makna mengundang berulangnya ketegangan dalam masyarakat yang pernah mencetuskan peristiwa hitam perbalahan kaum di negara ini lebih 50 tahun yang lampau," tegas Takiyuddin.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.