Showing posts with label DNAA. Show all posts
Showing posts with label DNAA. Show all posts

Friday, March 7, 2025

Zahid: Harap Ismail Sabri dapat keadilan macam saya

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 7, 2025 9:27 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak terlibat dalam siasatan SPRM terhadap bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Zahid berkata Umno menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan politik dan percaya kepada proses undang-undang untuk menentukan kebenaran.

"Kita menghormati SPRM dan kita harap SPRM berlaku adil dan tentunya profesional di dalam melakukan penyiasatan.

"Secara peribadi saya juga pernah mengalami keadaan itu jelas apabila kes saya dibawa ke mahkamah walaupun pelbagai pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan dan sebagainya.
"Akhirnya keadilan telah dapat ditegakkan dan saya harap perkara yang sama akan dapat berlaku di mahkamah dan itulah harapan kita (dalam kes ini)," katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2025 Peringkat Negeri Melaka di Masjid Tanah, Melaka.

Pada 4 Sept 2023, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ini selepas ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar timbalan perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi semua 47 pertuduhan.

Dalam pada itu, Zahid hari ini juga merujuk kenyataan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang menjelaskan pendirian parti berhubung isu siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri.
Asyraf berkata Umno tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja "mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat.”

SPRM telah bercakap dengan doktor Ismail Sabri hari untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan bekas perdana menteri itu dan memastikan dia sihat untuk memberi kenyataan pada tarikh baru itu, iaitu sehari selepas tempoh yang dinyatakan dalam MC berkenaan.

SPRM telah pun menyoal Ismail Sabri selama lima jam pada 18 Feb, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap perbelanjaan untuk kempen promosi Keluarga Malaysia ketika pentadbiran perdana menteri kesembilan itu.

SPRM juga telah merampas RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16kg emas dari premis yang dikaitkan dengan bekas pembantu Ismail Sabri.
Beberapa hari selepas sesi soal siasat pertama, Ismail Sabri dilaporkan rebah di rumahnya dan dimasukkan ke hospital.

Sehari kemudian pada 23 Feb, anak perempuannya Nina Sabrina berkata bapanya "stabil dan semakin sihat", manakala setiausaha akhbarnya Azran Fitri Rahim dipetik berkata tekanan darah Ismail Sabri meningkat sedikit.

Wednesday, February 26, 2025

Anwar kena jawab 1MDB gugur saman terhadap Riza - aktivis

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 8:43 PM
Perdana menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, perlu memberi penjelasan mengenai keputusan 1MDB untuk menggugurkan saman sivil terhadap anak tiri Najib Razak, Riza Aziz dan syarikat Red Granite, kata peguam Charles Hector.

Memandangkan 1MDB dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), Hector menuntut Anwar menjelaskan keputusan itu dan melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan.

"Tanggungjawab terletak pada menteri kewangan, perdana menteri dan kabinet kerana ini syarikat milik kerajaan, bukan sekadar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerajaan hanya memiliki sebahagian saham.

"Anwar Ibrahim mungkin seorang perdana menteri yang ‘paling pemaaf’, dan dia boleh memaafkan tindakan orang lain yang hanya menjejaskan dirinya secara peribadi – seperti dia memaafkan bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor, kerana memberinya ‘mata lebam’.
"Tetapi jenayah Najib, isterinya Rosmah Mansor, anak tirinya Riza dan timbalan perdana menteri sekarang, Ahmad Zahid Hamidi, adalah jenayah terhadap rakyat Malaysia. Jadi, Anwar, walaupun seorang ‘sahabat baik’, harus bertindak untuk Malaysia – dan rakyat Malaysia masih belum memaafkan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dia turut mencadangkan supaya jawatankuasa pilihan khas parlimen menyiasat keputusan 1MDB untuk menggugurkan saman terhadap Riza.
Untuk rekod, Riza dan Zahid sebelum ini telah dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) dalam kes jenayah terhadap mereka.

Dalam kes Riza, DNAA itu merupakan sebahagian daripada perjanjian pada tahun 2020 yang memerlukan dia memulangkan berjuta-juta ringgit.

Bagaimanapun, Najib dan Rosmah masih berdepan beberapa kes mahkamah yang sedang dibicarakan.


Sementara itu, Hector berpendapat penjenayah tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja hanya kerana mereka memulangkan hasil jenayah mereka. Ini, katanya, hanya boleh dianggap sebagai faktor mitigasi bagi mahkamah dalam mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan.

Dia juga menyoal jika wang yang didakwa diseleweng oleh Riza benar-benar telah dikembalikan.

Kes Riza Aziz dan Red Granite

Pada tahun 2019, Riza didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram kerana didakwa menerima dana yang diselewengkan daripada 1MDB melalui akaun bank Red Granite.

Red Granite syarikat penerbitan Hollywood yang diasaskannya, yang menerbitkan filem "The Wolf of Wall Street" dan "Dumb and Dumber Too".

Bagaimanapun, kesnya digugurkan pada tahun berikutnya dengan syarat dia mengembalikan dana tersebut. Jika gagal, pihak pendakwaan berhak untuk mendakwanya semula.

Namun, pada tahun 2021, 1MDB dan anak syarikatnya sekali lagi memfailkan saman sivil terhadap Riza, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited.

Mereka mendakwa Riza dan dua syarikatnya menerima dana sebanyak AS$248 juta (sekitar RM1.09 bilion) yang disalahgunakan untuk keuntungan peribadi, termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah mewah.

Bagaimanapun, saman tersebut ditarik balik pada Isnin tanpa sebarang alasan diberikan di mahkamah terbuka.

Penarikan saman itu dibuat seminggu selepas Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zamri Zainul Abidin, memberi keterangan bahawa Riza dan peguamnya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mencapai penyelesaian global untuk mendapatkan semula dana AS$248 juta.

[Baca berita asal]

Thursday, January 30, 2025

'Najib bos saya, sahabat seperti adik beradik' - Zahid

bharian.com.my
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Januari 30, 2025 @ 7:14pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Datuk Seri Najib Razak.

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai bos atau orang atasan selain sahabat yang dianggap seperti adik-beradik.

Ahmad Zahid berkata, rasa hormat beliau kepada Najib tidak pernah luntur biarpun sahabatnya itu menjalani hukuman penjara sementara beliau sendiri yang sebelum ini turut terpalit kes mahkamah, kini dibebas tanpa dilepaskan (DNAA).

"Kalau ikutkan, ada orang politik yang berhajat untuk Datuk Seri Najib dan saya masuk penjara sama-sama... di atas kertas memang saya patut berada di (Penjara) Kajang atau Sungai Buloh tetapi Allah SWT mengkehendaki sesuatu maka jadilah ia.

"Apa yang jadi pada Datuk Seri Najib tak berlaku pada saya. Namun tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat saya dan kasih saya kepada Datuk Seri Najib iaitu bos saya, sahabat saya seperti adik-beradik," katanya ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra dan Taklimat Projek Pembinaan Bangunan Sekolah Menengah (SM) Imtiyaz Tuminah Hamidi, di sini hari ini.

Presiden UMNO itu berkata, beliau mengakui terpaksa berdepan malu apabila difitnah serta dikenakan 87 pertuduhan di mahkamah selain menyebabkan sebahagian wangnya.

"Ketika itu saya difitnah, saya dimalukan dengan pelbagai... tidak mengapa, Allah SWT sudah menyelamatkan saya dan saya rasa Alhamdulillah kerana Allah menyelamatkan saya kerana kerja-kerja saya adalah kerja-kerja agama.

"Insya-Allah kalau kita jaga agama Allah SWT, maka Dia akan jaga kita. Itu pasti, pasti dan pasti," katanya.

Mengenai SM Imtiyaz Tuminah, Ahmad Zahid berkata pembinaannya adalah wakaf peribadi beliau atas nama arwah ibu bapanya dengan hasrat bahawa sekolah tahfiz itu sebagai antara institusi pendidikan yang akan menjadikan Bagan Datuk berkembang sebagai pusat tumpuan pendidikan.

"Sekarang yang ada adalah bangunan setingkat, (namun) yang kita akan lihat nanti di belakangnya adalah bangunan tiga tingkat yang mengandungi asrama, dewan, dan sekolah (ruang belajar).

"Wang untuk membina perkara ini sudah dibekukan (sebelum ini) apabila saya difitnah dan dikenakan 87 pertuduhan. Tetapi Allah SWT memperlihatkan Dia sebagai Tuhan Yang Maha Besar, Maha Penyayang, Maha Pengasih," katanya.

Pada Januari 2024, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, dana Yayasan Akalbudi yang dibekukan susulan kesnya di mahkamah dijangka dicairkan semula serta dipulangkan kepada beliau sebagai pemegang amanah dalam tempoh terdekat dan akan diguna bagi membiayai perbelanjaan Maahad Tahfiz.

Mahkamah Tinggi pada 4 September 2023 melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, selepas pihak pendakwaan memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid itu.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.

Tuesday, October 8, 2024

Perangi rasuah, tiada pengecualian untuk Zahid, tegas Anwar

freemalaysiatoday.com
Mikha Chan
07 Oct 2024, 11:32 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keputusan lepas Zahid Hamidi daripada tuduhan berkait dana Yayasan Akalbudi dibuat oleh peguam negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, rasuah ditangani dengan undang-undang dan fakta, bukannya persepsi. (Gambar Zeteo.com)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak memberikan sebarang pengecualian kepada timbalannya, Zahid Hamidi, dalam usaha memerangi rasuah.

Ditemubual wartawan terkenal, Mehdi Hasan, baru-baru ini, Anwar berkata, presiden Umno itu tidak disabit kesalahan sebelum ini, dan keputusan melepaskan Zahid daripada tuduhan berkait dana Yayasan Akalbudi dibuat oleh peguam negara.

Ia keputusan yang dibuat secara bebas oleh peguam negara. Saya tidak menggugurkan kes itu, katanya.

Apabila ditanya tentang persepsi yang timbul apabila timbalannya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), Anwar berkata, rasuah ditangani dengan undang-undang dan fakta, bukannya persepsi.

Katanya, Jabatan Peguam Negara juga pernah menggugurkan kes pemimpin pembangkang.

Mengapa itu tidak menjadi isu? soalnya.

Dalam temubual itu, Anwar turut ditanya tentang tuduhan beliau mengamalkan politik dendam, menurut laporan Bloomberg.

Sumber dipetik Bloomberg mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki memberitahu pegawai agensinya bahawa arahan menyiasat Daim, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, datang daripada Anwar.

Perdana menteri menyifatkan dakwaan dalam laporan itu sebagai sangat semberono.

Saya tidak mengarahkan siasatan, katanya.

Beliau menambah, jika anda menggunakan jawatan untuk mengumpul berbilion-bilion dolar, saya tidak boleh menghentikan siasatan hanya kerana anda pembangkang atau kerajaan.

Wednesday, September 4, 2024

KATA MP | Perdana menteri kesembilan yang luar biasa

malaysiakini.com
Hassan Abdul Karim
Diterbitkan: Sep 4, 2024
Ismail Sabri Yaakob perdana menteri kesembilan bukan perdana menteri yang biasa-biasa.

Anggota parlimen Bera kelahiran Temerloh di Kampung Lubuk Kawah, Pahang dibesarkan dalam suasana sejarah perjuangan bangsa dan tanah air.

Penglibatan Sabri, nama panggilan saya kepadanya dalam politik bermula sebagai ahli dan Pemuda Umno di Pahang bawah kepimpinan Sabarudin Chik, ketua Umno Temerloh, mantan menteri persekutuan dan setiausaha agung Umno.

Saya cuba mengajak Sabri menjadi anggota Parti Rakyat (PRM). Tetapi dengan hormat Sabri menolak. Hatinya telah terpikat kepada Umno.

Inilah perjalanan hidup. Jika beliau menjadi anggota Parti Rakyat mungkin Sabri tidak menjadi perdana menteri kesembilan.

Semasa Sabri menjadi perdana menteri dalam beberapa belas bulan bermula berakhir zaman pandemik Covid-19 hingga Pilihan Raya Umum 2022, banyak pencapaian yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan pimpinannya.

Di zaman kepimpinan Sabri, suasana politik Malaysia tenteram. Seperti Sabri yang tenang maka begitulah cuaca politik Malaysia ketika itu.

Dua pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan sebulat suara berjaya dilakukan oleh parlimen di bawah teraju Sabri.

Pertama adalah pindaan kepada Perkara 1(2) mengenai status wilayah Sabah dan Sarawak.

Kedua ialah mengenai Perkara 49(A) berkaitan apa yang dipanggil Akta Antilompat Parti.

Bawah kepimpinan Sabri dengan dibantu oleh de facto Menteri Undang-Undang Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (sekarang gabenor Sarawak) maka pindaan-pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dapat dilakukan dalam suasana aman damai tanpa kecoh-kecoh dan hiruk pikuk.

Semasa Sabri menjadi perdana menteri, sistem kehakiman berjalan bebas dan penuh berwibawa.

Tiada tokoh-tokoh besar politik yang diberi hadiah pelepasan secara DNAA.

PM kesembilan ini dilihat lemah dan longlai.


Namun kita dapat saksikan, jika mahkamah memutuskan orang yang dituduh itu bersalah dan dihukum penjara, maka keputusan mahkamah itu dilaksanakan.

Ini berlaku walaupun tertuduh itu seorang bekas perdana menteri dan mantan presiden parti yang ada anggota lebih tiga juta orang.

Di sinilah kekuatan anak bungsu Pak Yaacob yang saya kenali.

Inilah juga kekuatan adik lelaki Kamarazaman Yaacob yang masih bersekolah ketika abangnya Kamarazaman, mantan presiden Mahasiswa Universiti Malaya ditangkap dan disumbat ke Kamunting, Perak bawah ISA bersama-sama Anwar dalam kes kebangkitan mahasiswa dalam Peristiwa Baling 1974.

Sekarang ketika karangan ini ditulis, kita sibuk di media sosial dan media perdana tentang isu peruntukan kepada ahli-ahli parlimen pembangkang.

Timbul soal draf MOU dan sebagainya. Tetapi ketika Ismail Sabri Yaakob memimpin kerajaan tidak jadi isu besar soal itu.

Sabri dengan mudah memberikan peruntukan yang adil kepada ahli-ahli parlimen pembangkang.

Wataknya sebagai seorang yang dilatih sebagai peguam yang sentiasa ingin menegakkan keadilan tercermin dalam pelaksanaan peruntukan kepada ahli-ahli parlimen yang telah dipilih rakyat tanpa mengira mereka di pihak kerajaan ataupun pembangkang.

Di parlimen ketika Sabri sebagai berdiri berucap di blok kerajaan, manakala saya sebagai ahli parlimen pembangkang duduk memandang perdana menteri kesembilan itu dengan rasa penuh bangga dan syukur.

Walaupun kami berbeza parti politik tetapi saya berbangga kerana Ismail Sabri itu adalah bekas pelajar saya ketika saya menjadi guru dan pengetua di sebuah Kolej di Kuala Lumpur.

Malah isterinya Muhaini yang saya panggil Nani juga murid saya.

Semoga Sabri terus memimpin.

Saya bukan berkempen tetapi saya rasa Umno dan BN memerlukan pemimpin baik sepertinya.

HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Wednesday, July 24, 2024

Badan Peguam bawa kes DNAA Zahid ke Mahkamah Rayuan

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jul 24, 2024 12:26 PM
Badan Peguam Malaysia berpaling kepada Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan Peguam Negara yang menarik balik kes rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Badan profesion undang-undang itu memfailkan notis rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Menurut salinan notis rayuan yang dilihat oleh Malaysiakini, Badan Peguam tidak berpuas hati dengan keputusan hakim Amarjeet Singh yang disampaikan pada 27 Jun lalu.
Badan profesion undang-undang itu mahu Mahkamah Tinggi mendengar merit tindakannya yang menyentuh pembebasan Zahid yang tidak berjumlah kepada pembebasan (DNAA) berhubung kes rasuah yang dikaitkan dengan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Keperluan undang-undang untuk kebenaran semakan adalah untuk menghapuskan permohonan remeh atau sia-sia pada peringkat awal dan untuk memastikan bahawa perkara itu hanya diteruskan ke pendengaran substantif jika terdapat kes untuk dipertimbangkan.

Pada 27 Jun, Amarjeet memutuskan bahawa isu kuasa peguam negara untuk memulakan atau menghentikan prosiding jenayah secara umumnya bukan perkara yang boleh diputuskan oleh mahkamah.

Hakim menyatakan bahawa kuasa perlembagaan peguam negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dianggap sah dan Badan Peguam tidak dapat mempertikaikan keabsahan tersebut.

Mahkamah juga menolak permohonan Badan Peguam agar mahkamah tinggi meneliti beberapa isu perlembagaan yang berkaitan dengan kuasa peguam negara untuk menarik balik kes jenayah terhadap Ahmad Zahid.
Pada 4 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, selepas pendakwaan memberitahu Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding.

Pada 2 Disember tahun lalu, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.

[Baca berita penuh]
View Synonyms and Definitions

Tuesday, February 27, 2024

Bersih kemuka tiga tuntutan Reformasi 100 Peratus

bebasnews.my
By Editor
-27/02/2024
KUALA LUMPUR — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengemukakan tiga tuntutan Reformasi 100 Peratus untuk mendesak kerajaan memenuhi tiga perkara utama yang dijadikan manifesto kempen pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Tiga tuntutan itu adalah berkaitan kaedah pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditambah baik dengan melibatkan Jawatankuasa Parlimen, supaya semua pihak boleh membahaskannya secara demokratik dan inklusif, reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya, dan reformasi Parlimen.

Bersih turut menuntut tiada lagi keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) oleh mahkamah terhadap mana-mana ahli politik yang sedang dibicarakan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Tuntutan ketiga Bersih adalah menolak undang-undang dua darjat membabitkan kes-kes perbicaraan berprofil tinggi membabitkan ahli politik yang diutamakan.
Memorandum berkenaan masing-masing diserahkan kepada empat ahli Parlimen PH iaitu Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Selain itu, dua ahli Parlimen pembangkang iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Al-Sagoff dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Terdahulu, kira-kira 60 peserta Himpunan Tuntut Reformasi 100 peratus anjuran Bersih berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tuntutan mereka.

Peserta himpunan mula berkumpul berhampiran Plaza Tugu Negara di sini, seawal pukul 7 pagi sebelum berarak sehingga ke laluan persimpangan masuk ke bangunan Parlimen kira-kira pukul 8.30 pagi.

Mereka berarak secara aman dengan diiringi kira-kira 100 anggota polis yang melakukan tugas kawalan keselamatan dan aliran trafik.

Sementara itu dalam kenyataannya, Bersih menegaskan ini adalah aksi pertama untuk mengingatkan Kerajaan Madani, dan juga Ahli-Ahli Parlimen yang berkempen atas manifesto untuk mereformasikan negara.

“Bahawa rakyat tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak supaya agenda reformasi pilihan raya dan reformasi institusi dilaksanakan.

Bersih menegaskan Parlimen adalah institusi keramat yang menjadi nadi kepada usaha reformasi khususnya dalam membawa agenda tatakelola yang baik dalam negara,” kata kenyataan itu.

Bersih juga menggesa agar tuntutan ini dipandang serius oleh Kerajaan Madani dan Ahli-Ahli Parlimen terutamanya backbencher untuk terus mendesak pelaksanaan reformasi dalam negara.

“Kita perlu mencipta dan mencari ruang terbaik kepada pelaksanaan agenda Reformasi 100 Peratus ini yang perlu melibatkan semua pihak, demi mengukuhkan institusi awam dan demokrasi berparlimen dalam fasa transisi demokrasi negara,” kata kenyataan itu.

— BebasNews

Friday, February 2, 2024

Sistem keadilan kita sudah nazak, kata bekas pengarah SPRM

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 2, 2024 8:00 PM
Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Bahri Mohammad Zin menyifatkan keputusan lembaga pengampunan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak menunjukkan sistem keadilan di negara ini ‘sudah nazak’.

Katanya, keputusan lembaga pengampunan mengurangkan separuh hukuman terhadap Najib menunjukkan perbezaan layanan antara golongan kaya dan yang memiliki kuasa dengan rakyat kebanyakan.

"Kita dah menganut sistem keadilan jahiliah di mana si miskin wajib dihukum mengikut undang-undang manakala si kaya dan yang ada kedudukan akan ada sistem lain yang lebih selesa dan tak perlu ikut hukum 100 peratus.

"Sukar untuk kita ramalkan apa persepsi seluruh rakyat Malaysia ke atas sistem keadilan kita sekarang.

"Ia dilihat berada dalam keadaan nazak bila ada kes yang sedang dibicara dan dalam status dipanggil membela diri pun telah di-DNAA (Dibebas tanpa dilepaskan).


"Kini ditambah lagi dengan kes terbesar di abad ini yang juga belum selesai menjalani hukuman serta menunggu lagi empat kes perbicaraan jenayah boleh diputuskan sedemikian rupa," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara ke atas Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun berkait kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Dengan pengurangan separuh hukuman tersebut, bekas perdana menteri itu dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Najib juga hanya perlu membayar denda sebanyak RM50 juta, berbanding jumlah asal yang diputuskan mahkamah iaitu RM210 juta.

Untuk rekod Bahri ialah individu yang memainkan peranan penting dalam siasatan terhadap kes SRC International membabitkan Najib.

Pada 2015, siasatan SPRM terhadap kes SRC diganggu apabila polis menyerbu pejabat mereka dan menangkap beberapa pegawai dalam pasukan Bahri, manakala timbalan pendakwa raya SPRM pula ditahan reman.

Bahri dan seorang lagi pegawai kanan SPRM, Rohaizad Yaakob, kemudian dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Bahri kemudian bersara awal pada 2017 ekoran kekecewaan berhubung kes itu namun kembali bertugas pada Mei 2018 selepas PH mengambil alih pentadbiran persekutuan.

Pada 2022, Bahri mendedahkan bahawa pasukannya berada dalam tekanan ketika menyiasat kes itu dengan fitnah, ugutan dan tawaran habuan agar menghentikan siasatan.

"Apakah Najib akan diampunkan lagi?

Kata Bahri dia amat terkejut dengan keputusan lembaga pengampunan memandangkan Najib sedang menghadapi empat lagi pertuduhan jenayah di mahkamah.

"Adakah selepas ini tertuduh akan diampunkan lagi andainya dia didapati bersalah?

"Apakah akan jadi kepada pesalah-pesalah lain yang menyakau duit kerajaan dan duit orang ramai yang jauh lebih rendah nilainya daripada yang dilakukan oleh tertuduh, apakah mereka tidak punyai hak yang sama seperti tertuduh?" soalnya.

Pada 2022 Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).

Selain kes SRC, Najib juga menghadapi pendakwaan di mahkamah membabitkan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB dan kes salah guna kuasa untuk meminda laporan audit 1MDB.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta.

Monday, December 4, 2023

Badan Peguam fail semakan kehakiman cabar DNAA Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 4, 2023

Badan Peguam Malaysia telah memulakan cabaran undang-undang terhadap keputusan Peguam Negara untuk mendapatkan pembebasan tanpa pelepasan (DNAA) kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan rasuah.

Badan berkanun profesion undang-undang itu mengumumkan pemfailan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi kenyataan media yang disiarkan di portal web rasminya petang ini.

Badan Peguam berkata bahawa ia cuba mencabar keputusan Peguam Negara untuk mendapatkan DNAA pada 4 Sept (yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) sebagai sebahagian daripada kewajipan berkanunnya untuk menegakkan keadilan, dan tidak dipengaruhi oleh rasa takut atau pilih kasih.

“Tidak boleh dipertikaikan bahawa perbicaraan Zahid Hamidi bermula lebih empat tahun lalu pada 18 Nov 2019, di mana kes wujud prima facie — dengan 77 hari perbicaraan telah dijalankan, saksi ke-15 Zahid Hamidi memberi keterangan, dan perkara itu berada di dalam di peringkat pembelaan pada 4 September 2023 — apabila dakwaan dibuat oleh Peguam Negara bahawa siasatan lanjut oleh SPRM diperlukan berdasarkan beberapa representasi yang dibuat oleh Zahid Hamidi pada Disember 2022, tiga tahun selepas kes itu bermula.

“Badan Peguam Malaysia berpandangan bahawa kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak mutlak dan harus dihadkan dalam skop dan hadnya, dilaksanakan dengan cara yang wajar seperti yang ditentukan oleh mahkamah di bawah kuasa penyemakan dan bidang kuasa yang wujud mengikut undang-undang,” kata Badan Peguam.

Menerusi kenyataan media itu, Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah berkata kes Zahid mempunyai kepentingan negara dan awam kerana ia melibatkan tuduhan serius berhubung pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadap individu yang berkuasa semasa pertuduhan.

Dia berkata semakan kehakiman itu menuntut beberapa pelepasan, antaranya perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Peguam Negara dalam memohon DNAA dalam kes Zahid, dan pengisytiharan bahawa keputusan Peguam Negara adalah batal dan tidak sah dan/atau dibuat melebihi bidang kuasa dan/atau kuasa di bawah Perkara 145(3) FC dan seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Cheah berkata tindakan undang-undang itu juga menuntut perintah mandamus untuk mengarahkan Peguam Negara untuk memberikan Badan Peguam Malaysia semua maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butiran yang boleh dipercayai dalam membuat keputusan untuk mendapatkan DNAA, termasuk (tetapi tidak terhad kepada) surat representasi yang dikeluarkan oleh pasukan guaman Zahid.

Dia menjelaskan bahawa salinan permohonan semakan kehakiman dan afidavit sokongan telah diserahkan kepada AG awal hari ini.

“Majlis Peguam Malaysia menekankan kepentingan proses semakan kehakiman — yang direka khusus untuk mencabar keputusan, tindakan atau peninggalan badan awam sekiranya semakan dan imbang terhadap Eksekutif dan Perundangan diperlukan, dan/atau di mana struktur asas perlembagaan kita dipersoalkan untuk tafsiran yang betul - demi kepentingan demokrasi kami," kata Cheah.

Thursday, October 5, 2023

BERSIH lancar petisyen gesa tindakan PM terhadap 4 tuntutan

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@bh.com.my
Oktober 5, 2023 @ 1:14pm

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), hari ini melancarkan petisyen dalam talian dengan menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak terhadap empat tuntutan bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik.

Ia termasuk melaksanakan moratorium terhadap sebarang permohonan Peguam Negara bagi tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) atau pembebasan untuk semua kes berprofil tinggi membabitkan ahli politik sehingga pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan.

Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, mendakwa gesaan bersama 48 lagi pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan itu, dibuat susulan keputusan DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melalui kuasa budi bicara Peguam Negara, yang juga Pendakwa Raya di bawah undang-undang semasa.

Beliau mendakwa, disebabkan Peguam Negara adalah lantikan Perdana Menteri dan mempunyai kuasa untuk menarik semula kes jenayah seperti dalam kes Ahmad Zahid, pihaknya bimbang perjalanan tiga lagi kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Najib Razak mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai pendapatan, serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan pengubahan wang haram dan pengelakkan cukai akan berakhir dengan cara sama.

"Biar mahkamah melakukan tugasnya dengan menentukan berdasarkan fakta dan bukti, sama ada mereka bersalah atau tidak. Jika mereka bersalah, mereka diberi peluang untuk membuat rayuan seperti rakyat Malaysia yang lain.

"Jika ia berlaku seperti kes Ahmad Zahid, saya percaya ini adalah garis merah yang Perdana Menteri tidak boleh langkaui kerana ini akan menjadi satu tentangan kepada aspirasi rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih dan menegakkan kedaulatan undang-undang serta kestabilan politik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Keputusan DNAA kes Zahid, Dr Mahathir kata pendedahan sebelum ini terbukti benar

agendaily.com
05/10/2023
Dr Mahathir sebelum ini mendedahkan Zahid Hamidi memintanya campur tangan dalam kes mahkamah dihadapinya.

Keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi membuktikan dakwaannya sebelum ini adalah benar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir membangkitkan pendedahan sebelum ini yang mendakwa Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes mahkamah dihadapinya dan keputusan DNAA dibuat Peguam Negara menjawab segala persoalan tersebut.

Untuk rekod, Dr Mahathir juga disaman Zahid selepas membuat pendedahan tersebut dan perbicaraan dijangka bermula pada 6 November ini.

Berikut kenyataan penuh Dr Mahathir berhubung DNAA kes rasuah Zahid:

1. Semasa perbicaraan Zahid Hamidi dia mendakwa bahawa saya menggugut dia akan didakwa atas jenayahnya melainkan dia membubarkan UMNO.

2. Saya tidak mengulas kerana saya fikir saya tidak patut mengulas mengenai perbicaraan itu melainkan saya dipanggil untuk menjadi saksi.

3. Tetapi saya tidak dipanggil. Sebaliknya AG (Peguam Negara) memutuskan untuk menawarkan DNAA kepadanya yang bermakna mahkamah tidak dibenarkan memutuskan dakwaannya. Tetapi sebenarnya dakwaan itu tidak sepenuhnya benar.

4. Zahid datang berjumpa saya selepas UMNO (Barisan Nasional) kalah dalam Pilihan Raya Ke-14. Ketika itu beberapa ahli UMNO termasuk Hamzah Zainudin telah meletak jawatan dalam parti dan telah menyertai Bersatu. Saya menjangkakan Zahid akan melakukan perkara yang sama. Tetapi dia kelihatan bertekad untuk menghidupkan semula UMNO.

5. Saya memberitahunya bahawa UMNO tidak boleh dihidupkan semula. Saya nasihatkan dia bubarkan UMNO.

6. Setakat itu dakwaan Zahid betul. Tetapi saya tidak menggugut untuk mendakwanya kerana menyeleweng dana Yayasan Akal Budi (YAB).

7. Saya tidak melakukannya semata-mata kerana saya tidak tahu banyak tentang kejahatannya. Itu adalah sesuatu yang AG (Tommy Thomas) akan teliti.

8. Zahid datang berjumpa saya semula. Dia membawa fail tebal. Dia mendakwa bahawa dia tidak bersalah dan fail akan membuktikannya.

9. Saya cuma suruh dia tunjukkan fail kepada hakim. Saya memberitahunya saya tidak mempunyai kuasa untuk melakukan apa-apa untuknya.

10. Dia menarik balik fail. Saya percaya AG lebih suka pertuduhan terhadapnya dan dia terpaksa menjawab di mahkamah.

11. Peguam Negara berhak untuk mendakwa sesiapa sahaja jika dia yakin bahawa terdapat kes. Pendapat PM tidak diperlukan.

12. Saya harap saya dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan sama ada dakwaan yang dibuat oleh Zahid itu benar atau tidak. Tetapi saya tidak dipanggil. Namun saya perlu menjelaskan bahawa saya tidak pernah menggugut Zahid.

Tuesday, September 26, 2023

Hentikan kes rasuah Zahid, badan kehakiman cipta rekod dunia: Dr Mahathir

agendaily.com
26/09/2023
Dr Mahathir membidas tindakan kerajaan campuran Anwar yang membebaskan anak muridnya, Zahid Hamidi.

Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan kerajaan campuran menerusi Peguam Negara yang baharu dalam menghentikan kes rasuah dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas perdana menteri dua kali itu menyindir tindakan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membebaskan anak muridnya serta mempertahankan keputusan tersebut sebelum ini dengan menyifatkan ia satu rekod dunia baharu dicipta oleh Malaysia.

“Bagaimanapun, hakim memutuskan untuk tidak membebaskan tertuduh. Jadi keputusan hakim adalah pelepasan tanpa pembebasan. Ini bermakna tertuduh mungkin bersalah. Tetapi dia bebas.

“Ini unik. Mungkin tidak ada kes seperti itu di mana-mana di dunia. Badan kehakiman Malaysia telah mencipta rekod dunia.

“Rakyat Malaysia patut berbangga. Atau patutkah mereka?,” soal beliau dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Dr Mahathir berkata, perbuatan jenayah tetap jenayah dan terpulang kepada hakim untuk menentukan sama ada tertuduh bersalah atau tidak berdasarkan bukti dikemukakan.

Tetapi beliau mendakwa, malangnya hakim dilantik oleh kerajaan dan mereka mungkin mahu bebas namun, orang ramai bimbang tentang kebebasan hakim.

“Tetapi ia bukan hanya hakim. Di Malaysia AGC (Pejabat Peguam Negara) menggunakan banyak kuasa. Ia mempunyai kuasa untuk menghantar kes itu ke mahkamah atau ia mungkin memutuskan untuk tidak.

“Secara berkesan AG boleh membuat penghakiman ke atas kes itu. Hakim tidak akan mendengar kes itu.

“Dalam kes baru-baru ini, Peguam Negara memutuskan bukan sahaja untuk tidak menghantar kes itu ke mahkamah tetapi beliau sebenarnya telah membuktikan bahawa terdapat bukti prima facie bahawa terdapat kes untuk dijawab oleh defendan. Dan hakim bersetuju,” katanya.

Beliau juga mendakwa kerajaan campuran menjadikan pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebagai sasaran untuk membalas dendam dengan memberi tekanan menerusi siasatan dan pendakwaan walaupun tidak ada kes yang kukuh.

Menurutnya, setakat ini individu yang disoal siasat polis semuanya dari pembangkang manakala, penyokong kerajaan yang melanggar peraturan dan bercakap tentang isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) bebas daripada siasat.

“Contohnya, bercakap tentang masalah orang Melayu mengundang soal siasat polis. Tetapi bercakap mengenai tuntutan agar ketiga-tiga kaum itu ditetapkan sebagai orang asli Malaysia tidak menarik soal siasat polis.

“Bercakap tentang berbilang kaum adalah sama seperti bercakap tentang satu kaum. Terdapat diskriminasi yang jelas di sini dan banyak lagi contoh lain.

“Walaupun agama mungkin tidak diperkatakan tetapi kerajaan sendiri sedang memperkenalkan pengajian 40 hadis kepada pihak sekolah. Itu soal agama,” katanya lagi.

Thursday, September 21, 2023

Jangan ‘bakar jambatan’ dengan Muda, Hassan beritahu kerajaan perpaduan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
- 21 Sep 2023

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim perlu tahu membezakan pembangkang yang konstruktif dan destruktif.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, perdana menteri, PH dan kerajaan madani semestinya tidak perlu diajar tentang bagaimana menangani pertentangan.

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PKR meminta kerajaan tidak memutuskan hubungan dengan Muda yang diperlukannya bagi mendapatkan sokongan dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, termasuk berhubung pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim perlu tahu membezakan pembangkang yang konstruktif dan destruktif, apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tegas menyokong usaha Putrajaya melakukan perubahan berkenaan.

“Muda bukannya parti pembangkang kini bersifat destruktif yang membangkang hanya kerana mahu membangkang. Kerana itu PH khususnya jangan membakar jambatan dengan Muda,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Syed Saddiq juga tidak mengikut Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang keluar Dewan beramai-ramai ketika ucapan penggulungan perdana menteri mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) walaupun peruntukannya sebagai Ahli Parlimen Muar ditarik.

“Perdana menteri, PH dan kerajaan madani tentu tidak perlu diajar tentang bagaimana untuk menangani kontradiksi atau pertentangan.

“Kontradiksi antara PH dengan Muda adalah kontradiksi yang bersifat air dicincang tidak akan putus; atau carik-carik bulu ayam, lambat laun bercantum juga.

“Kontradiksi ini adalah kontradiksi non-antagonistik,” katanya.

Pada 10 Sept, Syed Saddiq secara rasmi keluar daripada blok kerajaan untuk “kuasa ketiga” sebagai protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi, yang juga timbalan perdana menteri

Wednesday, September 20, 2023

Apa selepas 25 tahun Anwar ditangkap?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 20, 2023 
Pada 20 September 1998 pasukan elit polis siap dengan balaclava menyerbu rumah Anwar Ibrahim di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Lapan hari kemudian, dia dipecat sebagai timbalan perdana menteri.

Mengenang insiden genap 25 tahun lalu itu, S Arutchelvan berkata Anwar kemudian menganjurkan perhimpunan besar di ibu negara yang menggoncang Putrajaya.

“Ia bukan perhimpunan agama yang boleh mengumpulkan orang dengan mudah.

“Ia adalah perhimpunan untuk mendesak perubahan institusi dan melawan rasuah serta kronisme. Gerakan itu adalah reformasi,” katanya memperingatkan orang ramai.
S Arutchelvan
Dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu berkata “pengasas” gerakan reformasi itu kini dihantui oleh tuduhan sama yang dilontarkan kepada musuh politiknya, terutama Mahathir Mohamad sebelum ini.

Arutchelvan merujuk kepada keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Katanya, penjelasan Anwar tidak menyakinkan dan tidak mempunya sebarang maklumat baru kecuali penafiannya campur tangan dalam kes itu.

Katanya, Anwar patut memikul tanggungjawab itu memandangkan kuasa peguam negara dan pendakwa negara masih belum dipisahkan.

Saturday, September 16, 2023

Laporan polis terhadap pembebasan Zahid, dakwa wujud salahguna kuasa

agendaily.com
16/09/2023
Gerakan Selamatkan Himpunan Malaysia buat laporan polis terhadap kerajaan campuran.

Gerakan Selamatkan Malaysia membuat laporan polis hari ini bagi mendesak siasatan berhubung kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh kerajaan campuran sebelum ini.

Laporan itu dibuat Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bertujuan bagi menyiasat kerajaan campuran diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa campur tangan dalam membebaskan anak muridnya yang berdepan 47 kes rasuah di mahkamah.

Menurutnya, asasnya bagi melihat kronologi kes Zahid dari awal pendakwaannya sehingga pelantikan Peguam Negara baharu.

“Banyak perkara meragukan, kita sebagai rakyat rasa ini adalah satu perbuatan yang ada berlaku manipulasi dari segi perundangan eksekutif dan lain-lain.

“Sebab itu kita buat laporan polis untuk perkara ini disiasat, siapa dari awal yang terlibat, bukan sahaja Zahid, tetapi termasuklah Peguam Negara lama dan baharu serta timbalan pendakwa raya kanan yang dilucutkan daripada kes ini serta sesiapa sahaja yang dirasakan polis perlu siasat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Sabtu.

Katanya, ini adalah konsep yang besar membabitkan banyak perjuangan rakyat dan untuk membetulkan keadaan dalam negara dari segi pentadbiran, tata kelola serta penyalahgunaan kuasa.

“Himpunan ini ada tiga tuntutan iaitu pertama mendakwa Zahid.

“Kedua, kita mahu bebaskan SPRM dan juga Jabatan Peguam Negara daripada kuasa eksekutif dan yang ketiga ialah keadilan kepada semua orang,” ujarnya.

Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Beliau diberikan penghakiman DNAA pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.

Keputusan itu menimbulkan kemarahan yang meluas, dengan Jabatan Peguam Negara berkata hakim memutuskan berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakannya kepada mahkamah.

Thursday, September 14, 2023

PMX digesa beri penjelasan kes rasuah anak murid dihentikan: Hassan

agendaily.com
14/09/2023
Zahid sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, kata Ahli Parlimen (PH/PKR) Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini (16 Januari 2023).

Penjelasan berhubung pembebasan kes rasuah melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dibuat sendiri oleh cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang Ahli Parlimen (MP) PKR, Hassan Abdul Karim berkata lebih baik Perdana Menteri menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

“Dari segi undang-undang, apa yang dilaporkan dalam akhbar (media massa) itu (statusnya) adalah dengar cakap, namun saya percaya apa yang beliau cakap (katakan) kerana ia perbualan antara sahabat dalam parti, perbualan antara pemimpin dengan ahli parti.

“Saya percaya apa yang beliau (Perdana Menteri) cakap, saya tidak akan mencampakkan beliau di bawah ‘bas’ dan akan pertahankan beliau di dewan ini.

“Namun untuk berlaku adil supaya sahabat di blok pembangkang jelas (perkara ini), kami hendak dengar sendiri dari Perdana Menteri supaya isu DNAA dinoktah di dewan ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Hari ini giliran Hassan membahas usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat.

Hassan yang juga bekas Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor berkata, beliau kurang berpuashati dan mahu Peguam Negara memikul tanggungjawab dalam isu berkenaan.

Katanya, beliau setuju supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi memanggil Peguam Negara yang lalu dan kini untuk menjawab isu berkenaan.

“Peguam Negara mesti datang untuk menjawab, dan jangan beri alasan untuk tidak datang… ini kerana jawatankuasa dan Parlimen ada integriti,” katanya.

Pada 4 September lalu, Zahid terlepas bagi semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Ekoran tindakan tersebut, Majlis Peguam menyifatkan kenyataan AGC mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Zahid sebagai tidak mempunyai justifikasi sewajarnya.

Presidennya, Karen Cheah, dilaporkan berkata adalah tidak wajar bagi Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes Zahid itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media daripada memberikan penjelasan terperinci.

Terdahulu di Dewan Rakyat, MP Perikatan Nasional (PN) juga mengemukakan usul meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat bagi memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan melepaskan Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah berkait Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar dibawa MP Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Isnin.

Wednesday, September 13, 2023

Kerajaan Anwar sekat kebebasan bersuara rakyat, BERSIH kecewa janji tak ditunaikan

agendadaily.com
13/09/2023

BERSIH membidas kerajaan campuran dipimpin Anwar dan anak muridnya, Zahid.

Langkah kerajaan campuran menyekat kebebasan bersuara rakyat adalah amat mengecewakan, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan janji yang sebelum ini dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menyemak dan menghapuskan akta yang disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara.

“Janji mereka kepada rakyat semasa PRU15 bahawa mereka mendapat undi daripada rakyat berdasarkan janji dan iltizam untuk menyemak dan menghapuskan akta-akta yang mendekam suara dan disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara.

“Penjajaran gabungan politik tidak seharusnya mengetepikan janji berkenaan kepada rakyat serta kami menggesa mereka menunaikan dan menegakkan janji ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, berikutan itu pihaknya menggesa kerajaan untuk menunaikan serta menegakkan janji mereka sebelum ini.

Dalam pada itu, BERSIH menempelak tindakan pihak berkuasa yang cuba menghalang perhimpunan aman diadakan, seterusnya menafikan hak rakyat dalam Perlembagaan kerana perkara itu adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang berfungsi.

“Polis bertanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan membantu perhimpunan aman dengan memastikan keselamatan peserta dan kawalan trafik.

“Kami kecewa dengan tindakan berlebihan pihak polis yang menghalang himpunan untuk menghantar memorandum oleh sekumpulan petani dan aktivis di luar Parlimen semalam.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana himpunan aman untuk menghantar memorandum kepada ahli Parlimen adalah norma demokratik yang perlu dibantu, bukannya dihalang oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa penganjur perlu memohon permit lima hari sebelum tarikh perhimpunan juga adalah tidak tepat.

Katanya, menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perhimpunan itu hanya perlu memberikan notis kepada pihak berkuasa dan bukannya memohon permit atau keizinan polis seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Sebelum ini sudah banyak perhimpunan aman diadakan termasuk BERSIH 4 dan BERSIH 5 dan ia berlangsung secara aman walaupun dengan bantuan minimum daripada pihak polis.

“Kami menggesa pihak polis untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada penganjur himpunan supaya dapat melunaskan hak demokrasi mereka,” katanya.

Semalam, Ayob berkata pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan permit bagi penganjuran perhimpunan aman ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur yang dijadualkan diadakan sempena Hari Malaysia, Sabtu ini.

Ayob berkata, mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu memohon permit sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh ia diadakan.

“Perlu lima hari sebelum tarikh perhimpunan itu diadakan dan kalau diikutkan, hari ini adalah hari terakhir permohonan permit perlu dibuat,” katanya seperti dilaporkan semalam.

Sebelum ini media melaporkan perhimpunan aman bagi memulakan kempen ‘Gerakan Selamatkan Malaysia” itu akan dianjurkan oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) bermula jam 2 petang, Sabtu ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, dilapor berkata perhimpunan itu diadakan susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi sebelum ini.

Tuesday, September 12, 2023

‘Serangan pertama’ Syed Saddiq, gelar Ahli Parlimen kerajaan hipokrit

bebasnews.my
By Editor
-12/09/2023

Ahli Parlimen Muar itu bangun menyerang Ahli Parlimen kerajaan dengan mengingatkan pendirian mereka ketika menjadi pembangkang.
Ahli Parlimen Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata mahu kes Zahid Hamidi dilepas tanpa bebas (DNAA) dibawa ke Parlimen. (Gambar Bernama) - FMT

PETALING JAYA — Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Ahli Parlimen blok kerajaan sebagai hipokrit selepas isu Presiden Umno Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) tidak dapat dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Syed Saddiq berkata, keadaan tersebut berbeza ketika Ahli Parlimen kerajaan berada di blok pembangkang sebelum ini yang telah membangkitkan isu 1MDB dan serangan terhadap peguam negara, pada 2015.

“Pada tahun 2015, (seramai) 70 Ahli Parlimen di dalam dewan ini sendiri di blok pembangkang ingin bicarakan soal keputusan hakim di mahkamah, sebelum itu keputusan 1MDB, serangan ke atas peguam negara semua boleh mereka bangkitkan.

“Kini bila berada di kedudukan kerajaan…hipokrit,” katanya di Dewan Rakyat.

Menurut Syed Saddiq, sekiranya suara Ahli Parlimen dibisukan serta tidak boleh mengkritik kerajaan tanpa “sangka jahat”, beliau mempersoalkan bagaimana mereka hendak membangkitkan isu rakyat.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ketika mempengerusikan mesyuarat khas mengumumkan usul Wan Fayhsal Wan Kamal (PN-Machang) untuk mendapatkan penjelasan peguam negara ditolak, namun beliau akan diberi ruang bercakap mengenainya selepas usul kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 dikemukakan. – FMT

Sumber asal — https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/09/12/syed-saddiq-gelar-ahli-parlimen-kerajaan-hipokrit/

— BebasNews

Sunday, September 10, 2023

Syed Saddiq keluar kerajaan, kata sumber Muda

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
10 Sep 2023

Tindakan presiden Muda itu susulan ketidakpuasan hati terhadap keputusan perbicaraan rasuah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi baru-baru ini.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka membuat pengumuman rasmi lewat hari ini.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar daripada kerajaan perpaduan, menurut sumber.

Tindakan presiden Muda susulan ketidakpuasan hati terhadap keputusan mahkamah 4 Sept lalu, melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Seorang pemimpin Muda yang enggan dikenali memberitahu FMT, parti itu tidak akan mengadakan rundingan lagi dan akan keluar daripada gabungan pemerintah.

“Muda tidak akan berunding lagi dengan kerajaan. Syed Saddiq akan mengumumkan perkara itu lewat hari ini,” katanya.

Parlimen akan bersidang esok untuk membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12.

Selasa lalu, Syed Saddiq berkata tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan Muda dalam kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, keputusan kes Zahid “melanggar garis merah” dan menggesa tuntutan dibuat Muda diambil tindakan segera oleh kerajaan.

Tuntutan itu adalah penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara, memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, dan mahu Zahid didakwa segera.

Sumber itu menambah, keputusan untuk menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan sudah diputuskan lebih awal, namun mendapat tentangan sebahagian ahli majlis pimpinan pusat.

“Sebab itu pengumuman (keluar blok kerajaan) tangguh,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung, DAP Loke Siew Fook, mengingatkan Syed Saddiq kemenangan satu-satunya kerusi Parlimen Muda adalah kerana ihsan Pakatan Harapan, yang sanggup memberikan enam kerusinya kepada parti itu pada PRU15.

Friday, September 8, 2023

‘Zahid lepas tapi pencuri RM22 berdepan penjara 10 tahun’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2023 
Biro undang-undang Bersatu mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim pilih kasih.

Timbalan ketuanya Sasha Lyna Abdul Latif berkata demikian ketika membandingkan kes Zahid Hamidi dengan kes curi tabung masjid sebanyak RM22 di Kuala Terengganu.

Katanya, terdapat perbezaan ketara apabila pihak pendakwaan memohon Zahid dilepaskan sedangkan tertuduh kes kecil berdepan penjara 10 tahun.
Sasha Lyna Abdul Latif
“Kenapa ada beza antara layanan terhadap rakyat biasa yang menganggur dengan timbalan perdana menteri,” soalnya.

Dia menegaskan bahawa Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang sama di sisi undang-undang.

Isnin lalu, pihak pendakwaan memohon menghentikan prosiding walaupun mahkamah telah memerintahkan tertuduh membela diri selepas kes prima facie dibuktikan.

Pihak pendakwaan antaranya memberi alasan bagi membenarkan SPRM menjalankan siasatan lanjut, melihat kemungkinan terdapat pendakwaan terpilih; dan menunggu suruhanjaya siasatan diraja mengenai memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur justeru melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid Hamidi
Sementara dalam kes curi di Kuala Terengganu itu, penganggur 45 tahun Suhaidi Abdul Hamid mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmod.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung Masjid Pulau Sekati, Kuala Terengganu pada 27 Jun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

[Baca berita asal]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-