Friday, February 2, 2024

Keluarga kecewa Najib tak bebas serta-merta

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 2, 2024 
Keluarga Najib Razak menghargai pengurangan hukuman penjara daripada 12 kepada enam tahun yang diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

Mereka bagaimanapun kecewa Najib tidak diberikan pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta.

“Datuk Seri Najib Razak dan keluarga kekal dengan pendirian dan yakin beliau tidak bersalah,” kata anaknya Nooryana.

Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib Razak
Dia akan dibebaskan awal pada 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun hukumannya akan ditambah lagi setahun jika gagal membayar denda.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Isnin lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Ia dipercayai mesyuarat terakhir baginda sebelum menamatkan tempoh pemerintahan sebelum digantikan oleh Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Nooryana berkata mereka yang mengikuti kes secara dekat sudah tentu setuju dengan penghakiman hakim besar Sabah dan Sarawak tahun lalu bahawa berlaku ketidakadilan besar terhadap Najib.

Justeru, kata Nooryana di media sosialnya, keputusan yang betul ialah beliau wajar dilepas dan dibebaskan.

Najib sudah menjalani hukuman kira-kira tiga setengah tahun atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-