February 28, 2024
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dalam persidangan berlangsung pada sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja telah digemparkan dengan pendedahan panas hingga mengundang pertikaman lidah kedua belah pihak, sebentar tadi.
Menurut beliau, perkara tersebut dihadapinya susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pendakwaan di mahkamah setelah berjaya memenangi kerusi sekarang pada PRU15 yang lalu.
Sedangkan menurut pimpinan BERSATU itu, beliau merupakan antara puluhan ribu rakyat yang mengidolakan Tambun iaitu Perdana Menteri kini dahulunya dan sanggup berhujan berpanas menyertai banyak demonstrasi.
“Mereka menghubungi saya melalui telefon, sehingga akhirnya saya ambil keputusan tak apalah, jom kita jumpa. Pertemuan pertama pada 17 Januari 2024 di The Westin Bukit Bintang. Nak sebut fasal langkah, ‘Langkah Westin’.
“Kemudian di JW Mariot pindah tempat, ‘Langkah Mariot’ pula. Selepas itu saya diam, selepas perjumpaan itu. Sebab salah seorang yang bertemu itu, rupa-rupanya kawan saya, saya tak nak calarkan nama dia. Jadi saya diam. Saya tak buat apa-apa.
“Sehinggalah pada istiadat pembukaan Parlimen, hari Isnin lepas. Saya di dekati lagi. Kali ni pada hari Isnin petang. Saya diajak jumpa di Hotel Jalan Ampang. Apa ‘Langkah Jalan Ampang’ nak panggil?” dedah beliau semasa perbahasan itu.
Kemudian menurutnya, pada tengah malam Isnin, ketika Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional mengadakan pra-perbincangan, beliau sekali lagi dihubungi dan diminta datang ke Saujana, Subang.
“Saya terpaksa entertain perjumpaan-perjumpaan ni sebab saya bimbang mereka ada kuasa. Saya tak tahu apa yang di luar jangka yang boleh dilakukan kepada saya. Saya ada rekod mengenai semua-semua ni,” ujarnya.
Wan Saiful berkata, beliau akan mendedahkan satu-persatu operandi tersebut, namun ucapannya segera dipintas dan diganggu secara emosi oleh beberapa wakil pihak kerajaan hingga Yang di-Pertua, Tan Sri Johari Abdul terpaksa membuat ketetapan.
Antara didedahkan adalah pertemuan diadakan secara tertutup di dalam bilik hotel di mana individu-individu ditemui diyakininya tidak memakai nama sebenar hingga sesama mereka apabila berbual tertukar atau terlupa nama sesama sendiri.
Namun beritahu beliau, antara nama paling kerap disebut adalah ‘Farhan’ yang seolah-olah merupakan ‘punca kuasa’ kepada semua tindakan atau operasi untuk mengatur pertemuan berbaur ugutan tersebut.
“Dalam semua pertemuan, mesej yang ada adalah saya mesti sokong Yang Amat Berhormat Tambun sebagai Perdana Menteri dan sebagai balasan, ada habuan yang akan diberikan kepada saya,” dedahnya.
Namun, beliau sekali lagi terhalang meneruskan ucapan apabila diganggu oleh Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji Rayer (PH-Jelutong) yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat di mana Tan Sri Johari turut bersetuju dengan perkara itu.
Wan Saiful dinyatakan telah membuat sangkaan tidak baik kepada Perdana Menteri dan suara-suara daripada wakil kerajaan turut mencabar beliau untuk membuat laporan rasmi kepada SPRM terhadap semua dinyatakannya itu.
“Peruntukan projek mesra rakyat yang katanya boleh diagihkan kepada kroni-kroni saya. Mereka tahu saya susah sekarang Tan Sri, sebab saya isteri saya kanser,” ujarnya dan terus lagi diganggu dan dicabar.
Beliau juga berusaha mendedahkan isu itu cuba dikaitkan dengan Yang di-Pertua sendiri, namun Johari segera menggesa Wan Saiful tidak berbuat demikian kerana semua tersebut dikatakannya adalah dakwaan dari luar.
“Saya nak sebut dengan jelas bahawa saya tidak akan dibeli dengan tawaran rasuah. Cukup. Kalau nak mengharapkan saya membelot perjuangan ini tidak sama sekali dengan rasuah-rasuah yang ditawarkan,” tegasnya selepas itu.
Wan Saiful sebelum mengakhiri ucapannya sekali lagi menggamatkan Dewan dengan ucapannya, “Saya juga nak memperingatkan kepada semua dalam dewan ini. This is of government that we have today.
“Kita kena ingat dalam ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, yang saya sokong dalam dalam pembukaan Parlimen dan sebelum itu lagi Tuanku ada sebut bahawa baginda akan memburu semua orang yang korup.
“Korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa. Ampun Tuanku, orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu, akan mengadap Tuanku setiap minggu sebelum Mesyuarat Kabinet,” katanya menyebabkan kemarahan pihak penyokong kerajaan.
Beliau akhirnya terpaksa menarik balik kata-kata itu setelah didesak Yang di-Pertua, selain ada suara mendesak beliau menyatakan perkara itu di luar dewan termasuk mengajaknya bergaduh di luar dewan.
– HARAKAHDAILY 28/2/2024
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.