Showing posts with label Wan Saiful Wan Jan. Show all posts
Showing posts with label Wan Saiful Wan Jan. Show all posts

Monday, March 25, 2024

'Tawaran' sokong PM: Wan Saiful yang minta, kata Zulkafperi

malaysiakini.com
Zarrah Morden & Shakira Buang
Diterbitkan: Mar 25, 2024 3:06 PM
Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanafi hari ini menepis dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan bahawa dia menerima beberapa tawaran agar mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Zulkafperi mendakwa tawaran tersebut sebenarnya permintaan daripada Wan Saiful.

"Jika kita perhatikan, semua tawaran ini adalah permintaannya sebagai syarat untuk Tasek Gelugor (Wan Saiful) menyokong Anwar," katanya.

Enam tawaran tersebut adalah:

Peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan

Peruntukan projek sebanyak RM2 juta

Bayaran untuk rawatan kemoterapi isteri Wan Saiful

Bayaran guaman untuk kes mahkamahnya

"Token" dengan had yang tak dinyatakan untuk kegunaan peribadi

Pengguguran kes mahkamah


Wan Saiful berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM5.59 juta dan dua pertuduhan rasuah berkaitan program Jana Wibawa.
Zulkafperi Hanafi
Pada Jumaat lalu, Zulkafperi memfailkan usul untuk merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya di Parlimen sehari sebelumnya.

Zulkafperi berkata kenyataan itu menimbulkan sangkaan jahat dan cuba mengelirukan dewan.

Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berperanan sebagai ejen untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen pembangkang terhadap Anwar.

'Berniat jahat dan berunsur fitnah'

Hari ini, Zulkafperi menyatakan yang kegagalan dirinya dan Azizi untuk membantu Wan Saiful atau menjadi "ejen" yang lebih baik menjadi punca dia membuat dakwaan itu.

"Jadi, kenyataannya di Parlimen jelas berniat jahat, fitnah, mengelirukan dewan dan memutarbelitkan fakta dan menuduh saya tanpa apa-apa bukti jelas dan saksi, sementara cuba mengheret saya ke dalam agenda peribadinya," kata Zulkafperi.
Azizi Abu Naim
Dia berkata tindakan seumpama itu melanggar Peraturan 36(6) dan 36(12) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pada masa sama, Azizi menyatakan dia tidak pernah berjumpa Wan Saiful sejak menjadi ahli parlimen, kecuali semasa program PN.

Dia mendakwa Wan Saiful dan seorang individu yang tidak dikenali mendekatinya ketika dia berada di kafe di sebuah hotel.

Namun katanya perbualan mereka hanya berkenaan peruntukan yang diterima Azizi sebagai ahli parlimen, di mana dia mengesahkan menerima jumlah yang sama dengan ahli parlimen kerajaan.

Dia juga berkata pertemuan itu tidak dirancang.

Pada 28 Februari lalu, Wan Saiful mendakwa dia ditawarkan habuan untuk menyokong Anwar.

Susulan itu, SPRM memintanya untuk membuat laporan serta memanggilnya untuk memberi keterangan.

Namun, Wan Saiful berkata dia tidak dapat hadir ke ibu pejabat SPRM ekoran tarikh yang tidak sesuai, selain membangkitkan soal kekebalan anggota parlimen dalam Dewan Rakyat.

Tuesday, March 5, 2024

Zahid tarik usul ‘gantung’ lepas Wan Saiful mohon maaf pada Agong, PM

malaysiakini.com
Hariz Mohd & Raveena Nagotra
Diterbitkan: Mar 5, 2024 1:02 PM
PARLIMEN l Kerajaan hari ini membatalkan usul untuk menggantung ahli parlimen pembangkang Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) daripada sidang Dewan Rakyat kerana mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasa.

Ini susulan permohonan maaf yang dibuat oleh pemimpin Bersatu itu ketika diberi kesempatan mencelah oleh speaker Johari Abdul kepada perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Ayat itu memang saya tujukan pada YAB Tambun (Anwar). Seperti apa saya lakukan 28 Feberuari lalu dan saya ulangi dalam dewan pada 29 Februari lalu, saya menarik balik ayat tersebut saya menarik balik kenyataan saya.

“Saya juga mohon maaf atas kenyataan tersebut dan dengan rendah diri juga, sebab dalam usul ada sebut mengenai Yang di-Pertuan Agong atas kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, saya juga mohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

“Harap boleh dipertimbangkan dengan baik oleh Yang di-Pertua,” kata Wan Saiful.

Johari kemudiannya mengalu-alukan permohonan maaf pembangkang itu.
Johari Abdul
“Ini bermaksud telah mohon maaf pada Tambun dan menarik balik kenyataan itu. Yang kedua, YB juga telah memohon keampunan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kerana telah menyebut untuk itu saya terima.

“Dan menteri, saya anggap kita boleh selesaikan masalah ini dan permohonan maaf telah dibuat secara terbuka dan saya harap menteri juga boleh menerima keadaan ini,” kata Johari.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), yang memfailkan usul itu di Dewan Rakyat, berkata dia bersetuju menarik balik usul tersebut.

[Baca berita penuh]

Wednesday, February 28, 2024

Wan Saiful dedah diajak, diugut supaya sokong PM

harakahdaily.com
February 28, 2024
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dalam persidangan berlangsung pada sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja telah digemparkan dengan pendedahan panas hingga mengundang pertikaman lidah kedua belah pihak, sebentar tadi.

Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) dalam ucapannya itu telah memberitahu bahawa beliau diajak malahan diugut bertubi-tubi supaya menyokong Perdana Menteri menerusi peranan agen-agen tertentu.

Menurut beliau, perkara tersebut dihadapinya susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pendakwaan di mahkamah setelah berjaya memenangi kerusi sekarang pada PRU15 yang lalu.

Sedangkan menurut pimpinan BERSATU itu, beliau merupakan antara puluhan ribu rakyat yang mengidolakan Tambun iaitu Perdana Menteri kini dahulunya dan sanggup berhujan berpanas menyertai banyak demonstrasi.

“Mereka menghubungi saya melalui telefon, sehingga akhirnya saya ambil keputusan tak apalah, jom kita jumpa. Pertemuan pertama pada 17 Januari 2024 di The Westin Bukit Bintang. Nak sebut fasal langkah, ‘Langkah Westin’.

“Kemudian di JW Mariot pindah tempat, ‘Langkah Mariot’ pula. Selepas itu saya diam, selepas perjumpaan itu. Sebab salah seorang yang bertemu itu, rupa-rupanya kawan saya, saya tak nak calarkan nama dia. Jadi saya diam. Saya tak buat apa-apa.

“Sehinggalah pada istiadat pembukaan Parlimen, hari Isnin lepas. Saya di dekati lagi. Kali ni pada hari Isnin petang. Saya diajak jumpa di Hotel Jalan Ampang. Apa ‘Langkah Jalan Ampang’ nak panggil?” dedah beliau semasa perbahasan itu.

Kemudian menurutnya, pada tengah malam Isnin, ketika Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional mengadakan pra-perbincangan, beliau sekali lagi dihubungi dan diminta datang ke Saujana, Subang.

“Saya terpaksa entertain perjumpaan-perjumpaan ni sebab saya bimbang mereka ada kuasa. Saya tak tahu apa yang di luar jangka yang boleh dilakukan kepada saya. Saya ada rekod mengenai semua-semua ni,” ujarnya.

Wan Saiful berkata, beliau akan mendedahkan satu-persatu operandi tersebut, namun ucapannya segera dipintas dan diganggu secara emosi oleh beberapa wakil pihak kerajaan hingga Yang di-Pertua, Tan Sri Johari Abdul terpaksa membuat ketetapan.

Antara didedahkan adalah pertemuan diadakan secara tertutup di dalam bilik hotel di mana individu-individu ditemui diyakininya tidak memakai nama sebenar hingga sesama mereka apabila berbual tertukar atau terlupa nama sesama sendiri.

Namun beritahu beliau, antara nama paling kerap disebut adalah ‘Farhan’ yang seolah-olah merupakan ‘punca kuasa’ kepada semua tindakan atau operasi untuk mengatur pertemuan berbaur ugutan tersebut.

“Dalam semua pertemuan, mesej yang ada adalah saya mesti sokong Yang Amat Berhormat Tambun sebagai Perdana Menteri dan sebagai balasan, ada habuan yang akan diberikan kepada saya,” dedahnya.

Namun, beliau sekali lagi terhalang meneruskan ucapan apabila diganggu oleh Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji Rayer (PH-Jelutong) yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat di mana Tan Sri Johari turut bersetuju dengan perkara itu.

Wan Saiful dinyatakan telah membuat sangkaan tidak baik kepada Perdana Menteri dan suara-suara daripada wakil kerajaan turut mencabar beliau untuk membuat laporan rasmi kepada SPRM terhadap semua dinyatakannya itu.

“Peruntukan projek mesra rakyat yang katanya boleh diagihkan kepada kroni-kroni saya. Mereka tahu saya susah sekarang Tan Sri, sebab saya isteri saya kanser,” ujarnya dan terus lagi diganggu dan dicabar.

Beliau juga berusaha mendedahkan isu itu cuba dikaitkan dengan Yang di-Pertua sendiri, namun Johari segera menggesa Wan Saiful tidak berbuat demikian kerana semua tersebut dikatakannya adalah dakwaan dari luar.

“Saya nak sebut dengan jelas bahawa saya tidak akan dibeli dengan tawaran rasuah. Cukup. Kalau nak mengharapkan saya membelot perjuangan ini tidak sama sekali dengan rasuah-rasuah yang ditawarkan,” tegasnya selepas itu.

Wan Saiful sebelum mengakhiri ucapannya sekali lagi menggamatkan Dewan dengan ucapannya, “Saya juga nak memperingatkan kepada semua dalam dewan ini. This is of government that we have today.

“Kita kena ingat dalam ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, yang saya sokong dalam dalam pembukaan Parlimen dan sebelum itu lagi Tuanku ada sebut bahawa baginda akan memburu semua orang yang korup.

“Korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa. Ampun Tuanku, orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu, akan mengadap Tuanku setiap minggu sebelum Mesyuarat Kabinet,” katanya menyebabkan kemarahan pihak penyokong kerajaan.

Beliau akhirnya terpaksa menarik balik kata-kata itu setelah didesak Yang di-Pertua, selain ada suara mendesak beliau menyatakan perkara itu di luar dewan termasuk mengajaknya bergaduh di luar dewan. 

Tuesday, February 21, 2023

Wan Saiful tiba di Mahkamah Kuala Lumpur

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Feb 21, 2023 9:23 AM
Ketua Penerangan Bersatu merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hadir sama adalah seorang individu dipercayai peguam yang akan mewakilinya.

Pemimpin PN itu dijangka dikenakan pertuduhan berkaitan Projek Inisiatif Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Jenayah pagi ini.

Dia tiba pada jam 8.45 pagi tadi dengan berpakaian sut hitam tetapi tanpa bertali leher.

Wan Saiful sempat memberikan senyuman ke arah pengamal media dan juga sebilangan penyokongnya yang berkumpul di pekarangan mahkamah.

Hadir sama adalah bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dan naib presidennya, Radzi Jidin.

[Berita penuh menyusul]

Projek Jana Wibawa - Wan Saiful bakal didakwa pagi ini

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri & Hariz Mohd
Diterbitkan: Feb 20, 2023 11:14 PM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan mendakwa Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan esok ketika agensi itu sedang menyiasat kewangan parti berkenaan.

Sumber SPRM mengesahkan ahli parlimen Tasek Gelugor itu telah ditahan dan akan didakwa di mahkamah esok berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Beberapa sumber Bersatu pula mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Wan Saiful telah pergi ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini untuk membantu siasatan.

Satu sumber berkata dia telah pergi ke pejabat SPRM pada jam 8 malam dan tidak dapat dihubungi sejak itu.

Sementara itu, jemputan akhbar daripada SPRM menyatakan dua individu akan didakwa di mahkamah Kuala Lumpur berhubung kes Jana Wibawa pagi esok.

Kedua-dua individu itu tidak dinamakan, seperti amalan biasa dengan jemputan sedemikian.

Penangkapan itu dibuat ketika siasatan terhadap akaun Bersatu dan inisiatif kerajaan semasa era presiden parti Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

SPRM telah pun membekukan akaun bank Bersatu, dan menyoal Muhyiddin pada 16 Feb selama beberapa jam berhubung Jana Wibawa.
Kemudian menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang kini menteri perdagangan antarabangsa dan industri, juga dikatakan akan dipanggil SPRM.

Program Jana Wibawa, atau ‘Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa’ diperkenalkan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dan memacu pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

Ia juga bertujuan meningkatkan kemampuan kontraktor Bumiputera untuk membantu mereka menjadi lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata Jana Wibawa melibatkan 56 projek yang telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST), dengan nilai keseluruhan projek RM6.3 bilion.
"Walau bagaimanapun, terdapat beberapa senarai SST yang telah dikeluarkan yang mana melibatkan ahli keluarga pemimpin utama parti politik tertentu.

"Setakat ini, SPRM belum dapat mengenal pasti nilai sebenar projek tersebut," katanya pada jawapan bertulis parlimen hari ini.

Ini sebahagian daripada siasatan lebih luas mengenai projek yang telah diberikan melalui rundingan terus, katanya.

Azalina menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, yang bertanyakan berapa banyak projek yang terlibat dalam salah guna kuasa dan apakah nilai projek tersebut.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-