Wednesday, March 6, 2024

Isa Samad lepas, bebas tuduhan rasuah RM3 juta

utusantv.com
Oleh Auzaee Athallah
-March 6, 2024

Isa Samad lepas, bebas tuduhan rasuah RM3 juta
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kelihatan gembira selepas dilepas dan dibebaskan atas kesalahan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak selepas dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera secara sebulat suara bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang turut dan Datuk S.M. Komathy.

Dalam keputusan yang dibacakan oleh Vazeer Alam Mydin, beliau berkata bahawa terdapat dua versi dan percanggahan dalam kes pendakwaan berhubung tujuan sebenar suapan itu.

Katanya, mahkamah mendapati bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan terdapat kes prima facie terhadap Mohd Isa sebelum ini berdasarkan keterangan-keterangan bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) yang juga saksi pendakwaan ke-16 (SP16),Ikhwan Zaidel.

“Hakim bicara membuat dapatan bahawa suapan itu diberi secara rasuah oleh SP16 kerana bimbang sekiranya pembayaran tidak dibuat, maka perayu boleh menjejaskan kontrak penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) dan hasil jualan boleh dibatalkan kerana pengaruh perayu sebagai Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB)

Susulan kebimbangan terhadap pengaruh Mohd. Isa sebagai pengerusi FICSB berkaitan penyiapan kontrak MPHS itu, ia telah menjadi punca bekas Ahli Lembaga GAPSB berkenaan memberikan suapan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sekiranya ketakutan dan kebimbangan itu mempengaruhi pembayaran suapan kepada SP-16, maka pertuduhan-pertuduhan itu adalah defektif kerana perkara itu tidak dinyatakan di dalam kesemua sembilan pertuduhan.

“Pertuduhan itu sendiri menetapkan bahawa suapan itu sebagai ganjaran atas bantuan Mohd Isa dalam mendapatkan kelulusan FICSB untuk pembelian MPHS.
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilepas dan dibebaskan atas kesalahan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak selepas dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Oleh itu, kami mendapati bahawa keseluruhan sabitan ke atas sembilan pertuduhan itu adalah tidak selamat.

“Kami mendapati bahawa terdapat merit dalam rayuan itu dan wajar ada campur tangan.

“Rayuan terhadap sabitan dan hukuman terhadap semua pertuduhan dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu dilepas serta dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Isa ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu selesai berkata beliau menzahirkan kesyukuran dan perasaan lega selepas keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepadanya.

“Saya berasa lega dan keputusan ini akan memudahkan urusan saya serta keluarga menjalankan kehidupan seperti biasa.

“Terima kasih khususnya kepada peguam dan rakan-rakannya kerana telah menjalankan tugas dengan baik selain turut bersusah dan bersabar selama enam tahun,” katanya.

Sebelum ini Mohd. Isa disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari 2021, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Susulan sabitan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara 6 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu ke atas Mohd. Isa.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun apabila mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilepas dan dibebaskan atas kesalahan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak selepas dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hakim Mohd. Nazlan dalam penghakimannya berpandangan pembelaan Mohd. Isa adalah perkara yang difikirkan kemudian tidak konsisten dan hanyalah satu penafian tanpa sokongan berasas atau boleh dipercayai.

Ekoran itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan pada 4 Februari 2021.

Dalam prosiding rayuan pada 16 Oktober tahun lalu, peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mewakili Mohd. Isa berhujah bahawa anak guamnya itu perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd. Isa menerima wang berkenaan.

Hujahnya lagi, Mahkamah Tinggi sbeelum ini menggunakan prinsip undang-undang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan yang tidak dinilai secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, berhujah bahawa Mohd. Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel, dalam mana-mana urus niaga yang membabitkan jumlah berkenaan.

Suapan berkenaan dikatakan diterima oleh Mohd Isa melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-