Diterbitkan: Mar 10, 2024 10:07 AM
Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy membidas Akmal Saleh dengan menyatakan Ketua Pemuda Umno itu keliru berhubung isu polarisasi kaum di negara ini.
Dalam kenyataan hari ini, Ramasamy mempersoalkan apakah Akmal ingin menghapuskan sekolah vernakular susulan gesaannya agar sistem pendidikan itu dikaji secara menyeluruh.
"Dia seolah-olah keliru kerana menganggap bahawa sekolah vernakular adalah punca polarisasi kaum yang menyebabkan ketidakseragaman di negara ini.
"Ini sebabnya dia mencadangkan kerajaan untuk mengkaji semula sekolah vernakular dengan tujuan memperkukuhkan bahasa Melayu.
"Adakah dia mencadangkan agar sekolah vernakular di negara ini dihapuskan?
"Adakah dia mengaitkan sekolah vernakular dengan polarisasi etnik dan agama di negara ini," kata bekas pemimpin DAP itu yang kini memimpin parti India, Urimai.
‘Sekolah vernakular bukan punca perpecahan’
Ramasamy berkata hanya disebabkan sekolah kebangsaan dibiayai kerajaan, tidak menjadikan institusi itu cemerlang.
"Sekolah-sekolah ini masih banyak kekurangan dalam mempromosikan perpaduan nasional di negara ini.
"Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah ini, sama ada vernakular atau kebangsaan, bukanlah punca utama perpaduan nasional.
"Ia hanya mencerminkan politik perpecahan etnik di negara ini. Sekolah-sekolah ini adalah manifestasi yang jelas ketidakseragaman kaum dan agama di negara ini," katanya.
Semalam, Akmal menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular, dengan menerapkan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Pemuda Umno juga mencadangkan peta jalan jangka sederhana dan panjang ke arah model integrasi pendidikan di atas pasak kebersamaan nilai dan semangat kekitaan di antara rakyat berbilang bangsa, tanpa menyisihkan hak kaum-kaum di Malaysia.
Pada Rabu lalu, Akmal berkata sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran di negara ini.
Ramasamy mendakwa peminggiran kaum bukan Melayu dalam sektor awam dan diskriminasi dalam kemasukan ke universiti dan program pra-universiti telah menyuburkan kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
Dia menambah Akmal sebagai ahli politik Umno sepatutnya tahu bahawa partinya telah memainkan peranan dalam membentuk sistem politik dengan politik hegemoni kaum Melayu selama beberapa dekad selepas negara merdeka.
"Daripada memberi tumpuan kepada sekolah vernakular atau kebangsaan, Akmal seharusnya mencari tahu apa sebenarnya yang melanda sistem politik di negara ini pada hari ini.
"Hanya apabila ahli politik menjauhkan diri dari politik yang memecahbelahkan, tidak ada cara sistem persekolahan akan dapat diperbaiki.
"Apa gunanya menyalahkan sekolah vernakular, jika punca sebenar polarisasi etnik dan agama terletak pada cara politik diatur di negara ini," kata Ramasamy.
[Baca berita penuh]
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.