Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts

Monday, February 17, 2025

Rayer yang patut minta maaf, tak faham bahasa Melayu - Asri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 17, 2025 6:29 PM
Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan kenyataannya terhadap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan menafikan ia sebagai satu bentuk penghinaan kepada penganut agama Hindu di negara ini.

Menyifatkan Rayer sebagai "tidak faham bahasa", Mohd Asri mempersoalkan di mana kenyataannya yang didakwa menghina penganut agama lain.

"Setelah hampir dua minggu kenyataan saya, barulah dengan tiba-tiba ahli parlimen Jelutong itu rasa terhina. Saya hairan bagaimana dalam negara ini yang bahasa Melayu adalah bahasa utama boleh ada ahli parlimen yang tidak faham bahasa seperti beliau.

"Di mana ayat saya yang menghina agama beliau? Ayat saya itu untuk beliau faham betapa semua pihak jangan masuk campur urusan agama pihak lain. Bahkan rakan-rakan saya yang beragama Hindu juga ada yang menyokong kenyataan saya dan menganggap beliau sudah melampaui batas.

"Beliaulah yang patut minta maaf atas banyak kenyataan beliau yang membabitkan umat Islam di negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya petang ini.

Mohd Asri juga meminta kerajaan supaya tidak memberikan apa-apa jawatan kepada Rayer dengan mendakwa pemimpin DAP itu sering menimbulkan provokasi dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Jika diberikan juga, bererti sensitiviti majoriti rakyat negara ini tidak dijaga," tambahnya.

Pada 6 Feb lalu, Mohd Asri menyatakan kesediaannya “bertempur” dengan seorang anggota parlimen DAP yang didakwanya lantang mempersoalkan program keagamaan anjurannya.

Ini susulan penganjuran Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 pada 24 hingga 27 Januari lalu yang menampilkan 18 penceramah antarabangsa terkenal termasuk penceramah kontroversi, Zakir Naik.

Rayer sebelum ini mempertikaikan kemunculan semula Zakir, yang kini diburu pihak berkuasa India dan dilarang berceramah di negara ini.
Dalam video di saluran YouTube rasminya, Mohd Asri berkata Rayer tidak sepatutnya mempersoalkan siapa yang dijemput untuk ke majlis anjurannya.

“Seperti mana saya tidak bertanya apa bahan digunakan untuk menyapu dahinya dan kenapa dia menyapu dahinya, demikian dia tidak perlu bertanya saya siapa yang ingin saya jemput," katanya.

Susulan itu, Rayer dalam satu sidang media di parlimen hari ini berkata kenyataan Mohd Asri merupakan penghinaan kepada penganut agama Hindu.

Menurutnya, dalam sidang medianya sebelum ini, dia hanya membangkitkan isu kebenaran untuk Zakir Naik berceramah di Perlis dan tidak sama sekali menghina Mufti Perlis mahupun penceramah kontroversi itu.

Rayer juga mempersoalkan apakah Mohd Asri akan memohon maaf setelah mengeluarkan kenyataan menghina itu seperti mana tindakan diambil seorang penjual jagung di Kota Warisan, Selangor.

Rayer merujuk tindakan peniaga berkenaan yang memohon maaf selepas menampal notis berbaur perkauman terhadap masyarakat India di gerainya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, apa yang diungkapkannya sebelum ini bukanlah penghinaan, namun Rayer sendiri gagal memahami bahasa Melayu.

"Untuk mudah faham, jika kita bertemu dengan seseorang dan berkata kepadanya: "Awak jangan bertanya saya orang mana, seperti mana saya tidak pernah bertanya siapa nama ayah awak", tiba-tiba dia rasa kita menghinanya, memanglah pelik orang itu.

"Sama ada dia merasakan ayahnya itu hina padahal kita tidak menghina, atau dia gagal faham bahasa, atau kita sebut 'jenis tidak faham bahasa'.

"Kedua-dua keadaan itu menunjukkan kualiti yang bukan pilihan masyarakat yang cerdik," katanya lagi.

Saturday, October 12, 2024

Masih ada yang ‘degil’ pasang papan tanda bukan Bahasa Melayu

kosmo online
Oleh AZMI NORDIN
12 Oktober 2024
Antara lima premis ysng diambil tindakan susulan memasang Papan tanda menggunakan selain Bahasa Melayu di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir peniaga memasang papan tanda menggunakan selain Bahasa Melayu diambil tindakan di sekitar Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, tindakan itu diambil susulan video tular kedai yang tidak ‘menghiraukan’ peraturan itu.

Katanya, sebanyak lima premis dikesan atas kesalahan papan tanda dan tindakan kompaun serta arahan menurunkan papan tanda dikeluarkan.

“Hasil siasatan di Jalan Imbi, lima premis didapati melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan Bahasa Malaysia di papan iklan mereka.

“Kompaun dan notis penguatkuasaan dikeluarkan yang mana memberikan tempoh 14 hari untuk menurunkan iklan tersebut,” katanya dalam hantaran tersebut.

Kata hantaran itu, tindakan yang diambil diharap dapat memberikan kesan dan ingatan agar kesalahan sama tidak berulang.

“DBKL akan terus pantau dan pastikan premis-premis lain tak ‘terlupa’ pula di masa akan datang.

“Jika anda ada nampak mana-mana papan iklan yang ‘gagal faham’ peraturan, terus lapor kepada kami di https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya. 

– KOSMO! ONLINE.

Thursday, April 25, 2024

Wajibkan fasih BM untuk dapat warganegara - Pemuda Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 25, 2024 4:37 PM
Pemuda Umno menggesa kerajaan mahupun pembangkang mengadakan usul ke Parlimen bagi menggubal undang-undang untuk mewajibkan penguasaan bahasa Melayu sebagai satu syarat sebelum memperoleh kerakyatan atau kewarganegaraan Malaysia.

Ketua Pemudanya, Akmal Saleh berkata pihaknya akan menggunakan pelbagai saluran untuk memastikan usul itu dapat dibawa ke parlimen.

"Jika warga Bangladesh yang datang ke Malaysia boleh bertutur dalam bahasa Melayu, apa ertinya kita yang mengaku warganegara tetapi tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu.

"Pemuda Umno akan menggunakan pelbagai saluran untuk memastikan usul ini dapat dibawa seterusnya dijadikan satu undang-undang di negara kita," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran di laman Facebook mengenai kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata Pegawai imigresen tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan pasport hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Menurutnya, walaupun pegawai-pegawai Imigresen akan melakukan semakan rawak bagi mengesahkan maklumat tetapi proses itu perlu dilakukan secara profesional dan berhemah.

Ruslin juga memaklumkan pelanggan berkenaan telah dapat memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada Isnin lepas.

Puji keberanian pegawai imigresen

Sebaliknya, Akmal memuji tindakan pegawai Imigresen berkenaan dan menyifatkan tindakan 'berani' itu adalah gambaran realiti sebenar yang berlaku di Malaysia.

Katanya, adalah wajar untuk pihak Imigresen bertindak demikian bagi memastikan hanya individu yang layak boleh membuat atau memperbaharui pasport.

"Walaupun tiada peruntukan undang-undang mewajibkan mana-mana warganegara perlu bertutur dalam bahasa Melayu sebagai syarat membuat pasport tetapi tindakan pegawai Imigresen itu perlu dipuji.

"Tambahan pula dengan kebanjiran warganegara asing ke negara kita, mereka perlu memastikan kesahihan iaitu hanya warganegara Malaysia sahaja yang benar-benar layak untuk membuat pasport," katanya.

Sunday, March 10, 2024

Ketua Pemuda Umno keliru mengenai sekolah vernakular - Ramasamy

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 10, 2024 10:07 AM
Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy membidas Akmal Saleh dengan menyatakan Ketua Pemuda Umno itu keliru berhubung isu polarisasi kaum di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ramasamy mempersoalkan apakah Akmal ingin menghapuskan sekolah vernakular susulan gesaannya agar sistem pendidikan itu dikaji secara menyeluruh.

"Dia seolah-olah keliru kerana menganggap bahawa sekolah vernakular adalah punca polarisasi kaum yang menyebabkan ketidakseragaman di negara ini.

"Ini sebabnya dia mencadangkan kerajaan untuk mengkaji semula sekolah vernakular dengan tujuan memperkukuhkan bahasa Melayu.

"Adakah dia mencadangkan agar sekolah vernakular di negara ini dihapuskan?

"Adakah dia mengaitkan sekolah vernakular dengan polarisasi etnik dan agama di negara ini," kata bekas pemimpin DAP itu yang kini memimpin parti India, Urimai.

‘Sekolah vernakular bukan punca perpecahan’

Ramasamy berkata hanya disebabkan sekolah kebangsaan dibiayai kerajaan, tidak menjadikan institusi itu cemerlang.
"Sekolah-sekolah ini masih banyak kekurangan dalam mempromosikan perpaduan nasional di negara ini.

"Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah ini, sama ada vernakular atau kebangsaan, bukanlah punca utama perpaduan nasional.

"Ia hanya mencerminkan politik perpecahan etnik di negara ini. Sekolah-sekolah ini adalah manifestasi yang jelas ketidakseragaman kaum dan agama di negara ini," katanya.

Semalam, Akmal menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular, dengan menerapkan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Pemuda Umno juga mencadangkan peta jalan jangka sederhana dan panjang ke arah model integrasi pendidikan di atas pasak kebersamaan nilai dan semangat kekitaan di antara rakyat berbilang bangsa, tanpa menyisihkan hak kaum-kaum di Malaysia.

Pada Rabu lalu, Akmal berkata sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran di negara ini.

Ramasamy mendakwa peminggiran kaum bukan Melayu dalam sektor awam dan diskriminasi dalam kemasukan ke universiti dan program pra-universiti telah menyuburkan kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Dia menambah Akmal sebagai ahli politik Umno sepatutnya tahu bahawa partinya telah memainkan peranan dalam membentuk sistem politik dengan politik hegemoni kaum Melayu selama beberapa dekad selepas negara merdeka.

"Daripada memberi tumpuan kepada sekolah vernakular atau kebangsaan, Akmal seharusnya mencari tahu apa sebenarnya yang melanda sistem politik di negara ini pada hari ini.

"Hanya apabila ahli politik menjauhkan diri dari politik yang memecahbelahkan, tidak ada cara sistem persekolahan akan dapat diperbaiki.

"Apa gunanya menyalahkan sekolah vernakular, jika punca sebenar polarisasi etnik dan agama terletak pada cara politik diatur di negara ini," kata Ramasamy.

[Baca berita penuh]

Monday, November 8, 2021

‘Saya boleh cakap Melayu’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 8, 2021 1:40 PM

Dikemaskini: 4:19 PM

Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying menafikan video tular memaparkannya tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan.

Melalui klip video berbeza, Leong memohon orang ramai agar tidak mudah percaya dengan dakwaan itu.

Dia sebaliknya berharap terus diberikan sokongan.

“Helo semua. Semalam saya dapat video tular di media sosial bahawa saya tak boleh cakap bahasa Melayu. Tapi tak mengapa, ramai orang tahu saya boleh cakap bahasa Melayu.

“Video tular tu mungkin boleh membawa masalah. Jangan mudah salah faham mengenai perkara begini, saya harap diberikan sokongan. Terima kasih,” katanya.

Video penjelasan itu dikongsi dalam kumpulan Whatsapp semalam.

‘Soalan pun tak faham’

Terdahulu, berlegar di Twitter rakaman video berdurasi 58 saat memaparkan Leong diwawancara petugas media.

Ketika itu, dia antaranya diajukan beberapa soalan berkaitan kredibilitinya untuk membawa kestabilan politik di Melaka.

Bagaimanapun, soalan itu tidak dapat dijawab oleh Leong.

Turut mengiringi video dimuat naik @Gang_Utara itu kapsyen berbunyi: “Tak reti cakap bahasa kebangsaan. Soalan pun tak faham.”

Pada soalan berikutnya pula, Leong hanya memberikan jawapan ringkas.

“I will try my best (saya akan cuba yang terbaik),” responnya ketika ditanya soalan bagaimana ingin bersaing dengan senior dalam politik.

Thursday, November 12, 2020

Persoal dana vernakular, DAP ancam kesetiaan pada negara

ismaweb.net

Tidak letakkan kesatuan serta perpaduan kaum sebagai keutamaan


Oleh Fazleen Safina

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – DAP sedang mengancam perasaan setia kepada negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selepas mengkritik tindakan kerajaan tidak menyalurkan bantuan kepada sekolah vernakular dalam Belanjawan 2021.

Tindakan itu juga mempamerkan sisi tamak parti rasis serta cauvinis berkenaan, ekoran tidak meletakkan kesatuan dan perpaduan kaum sebagai keutamaan.

Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat menyifatkan, tindakan berkenaan sebagai memperjudikan masa depan pendidikan negara.

Beliau juga kecewa apabila isu pendidikan terus dijadikan sebagai modal politik golongan tidak bertanggungjawab semata-mata mahu meraih undi.

“Isu vernalular terus menjadi gula-gula politik oleh parti kaum Cina.

“Parti-parti Cina tamak berlumba mengejar peruntukan khas untuk sekolah vernakular demi survival politik masing-masing,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, ADUN DAP, V Ganabatirau mahu kerajaan mempertimbangkan semula peruntukan khas kepada sekolah vernakular.

“Sebelum ini sejak 2013, tiap-tiap tahun SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dapat peruntukan khas RM50 juta masing-masing.

“Kali ini, PN umum RM800 juta secara am untuk semua sekolah. Jadi, kemungkinan sekolah vernakular tidak akan ada keutamaan.

“Kerajaan PN perlu pertimbangkan semula peruntukan khas dalam RM800 juta ini,” dakwanya.

Penafian: 
Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, January 19, 2020

Biadab! Mujahid patut tegur Dong Zong tak cakap Melayu

Tolong haramkan, mereka pertubuhan ekstremis dan antinasional
19/01/2020

BANGI, 23 Jamadilawal 1441H, Ahad – Datuk Mujahid Yusof Rawa sepatutnya menegur pertubuhan radikal Cina, Dong Zong serta Presidennya, Tan Tai Kim kerana tidak bertutur dalam bahasa kebangsaan – bahasa Melayu – dalam satu sidang media baru-baru ini.

Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, tindakan Tai Kim yang tidak bertutur dalam bahasa Melayu dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, adalah satu penghinaan kepada kerajaan dan warganegara Malaysia.

“Ini menunjukkan sikap antibahasa Melayu oleh presiden dan Dong Zong. Tindakan presiden itu ada satu kebiadaban. Haramkan Dong Zong. Mereka pertubuhan ekstremis dan antinasional.

“Saya telah suarakan ini ketika ditemubual oleh panel menilai dam maklum balas UEC Kementerian Pendidikan tahun lalu.

“Saya juga telah mengatakan sifat ekstremis Dong Zong dalam beberapa penulisan Saya. Sekolahkan presiden dan ahli Dong Zong ke budaya arus perdana bahasa dan budaya kebangsaan atau lucutkan kewarganegaraan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Dong Zong bersama 11 NGO lain mengadakan pertemuan dengan Mujahid di Putrajaya bagi membincangkan isu tulisan jawi dalam pembelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Dalam sidang media pada 16 Januari itu, Tai Kim tidak menggunakan bahasa Melayu untuk berucap sebaliknya beliau bertutur dalam bahasa Mandarin sebelum diterjemahkan oleh jurucakap ke dalam bahasa kebangsaan.

Lantaran itu, Ahmad Murad mengharapkan akhbar Melayu dapat menegur Mujahid kerana tidak menegur Dong Zong dan presidennya kerana tidak bertutur dalam bahasa Melayu.

“Ini perlu dilakukan melalui lidah pengarang Berita Harian dan Sinar Harian serta stesen-stesen radio dan televisyen Melayu.

“Jika tidak, apa guna kebebasan akhbar yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC),” soalnya.

Wednesday, January 8, 2020

Pelajaran Jawi: Borang persetujuan ibu bapa diedar di sekolah vernakular


BERITA

Sekolah dibuka semula pada tahun baru ini dan salah satu perubahan sukatan pelajaran yang paling banyak dibicarakan adalah buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 untuk sekolah vernakular yang kini sedang digunakan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menetapkan garis panduan yang menyerahkan kepada ibu bapa untuk menentukan tentang pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Operasinya dikendalikan dengan mengedarkan borang pilihan persetujuan kepada ibu bapa pada awal tahun sekolah. 

Jika lebih daripada separuh ibu bapa bersetuju dengannya, halaman tiga muka surat tersebut akan dimasukkan ke dalam pelajaran.

Setelah menerima pendapat daripada ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan memutuskan perkara tersebut dan menyerahkan respons kolektif kepada jabatan pendidikan daerah masing-masing. Sekiranya tiada PIBG, Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) akan mengambil langkah untuk membuat keputusan.

Borang tersebut yang dilihat oleh Malaysiakini bertajuk "Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Dalam Kurikulum Mata Pelajaran Bahasa Melayu Untuk Murid Tahun 4 Di Sekolah Jenis Kebangsaan Mulai Tahun 2020".

Ibu Bapa atau penjaga boleh tandakan "setuju" atau "tidak setuju" dengan pelaksanaan pelajaran untuk anak mereka.
Diperiksa dengan beberapa sekolah Tamil mendapati bahawa kesemua mereka telah menerima borang sebelum sekolah bermula pada 2 Januari dan sejak itu diedarkan salinannya kepada ibu bapa murid Tahun 4.

Ibu bapa diberi masa 14 hari untuk menyerah semula borang tersebut di sekolahnya.

Antara sekolah Tamil dihubungi oleh Malaysiakini adalah SJKT St Teresa Convent (Taiping), SJKT Serdang, SJKT Jalan Lobak (Seremban), SJKT Highlands (Klang) and SJKT Jalan Fletcher (Kuala Lumpur).

"Kami menerima borangnya beberapa hari sebelum sekolah bermula dan bila sekolah dibuka kami mengedarkan. Kami telah pun memberi kepada kesemua ibu bapa," kata Timbalan Pengerusi PIBG SJKT St Teresa Convent R Subramaniam.

Beberapa SJKC masih tidak terima borang

Pemeriksaan dengan empat buah sekolah rendah Cina, bagaimanapun mendapati dua daripadanya masih menunggu borang pilihan persetujuan daripada kementerian manakala lagi satu sekolah baru menerimanya.

Bila dihubungi, AJK PIBG SJKC Kheow Bin (Kuala Lumpur) Michael Koid berkata beliau masih belum melihat borang itu.

"Kami belum menerima borang itu. Jika, kami terima borang, kami akan edarkan," katanya kepada Malaysiakini.

Seperti juga, AJK PIBG SJKC Mun Choong, Ong U Chin memberitahu bahawa dia tidak berpengetahuan dengan borang diberikan kepada ibu bapa murid Tahun 4.
Seorang guru dari tahun ketiga sekolah rendah Cina di Lembah Klang, yang enggan memperkenalkan diri kerana jawatan sebagai penjawat awam memberitahu Malaysiakini bahawa sekolah itu hanya menerima borang tersebut pada hari Selasa (7 Jan) dan akan mengagihkannya kepada ibu bapa esok (8 Jan).

Sementara itu, Pengerusi PIBG SJKC Hwa Lien 3 (Taiping) Ooi Cheng Cheng memberitahu Malaysiakini bahawa sekolahnya telah mengedarkan borang kepada ibu bapa pada hari Isnin minggu ini.

"Kami meminta ibu bapa Tahun 4 untuk menghadiri dan kami (mengagihkan) borang di dewan sekolah. Sebelum ini, kami telah pun memberitahu mereka tujuan perhimpunan pada Isnin ini.

"Beberapa daripada mereka telah memberi balik borang itu," kata Ooi.

Pelajar selain darjah 4 turut diagihkan borang

Di beberapa sekolah Tamil, wakil PIBG mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa borang tersebut juga diagihkan kepada ibu bapa di mana anaknya bukan daripada Tahun 4.

Subramaniam, anaknya belajar di SJKT St Teresa dan SJKT Kamunting (Perak) tetapi tiada siapa yang belajar dalam Tahun 4, masih diminta mengisi borang itu.

"Mereka (kementerian) berkata bahawa borang hanya kepada murid Tahun 4, tapi beberapa sekolah mengedarkan borang itu kepada murid Tahun 1,2 dan 3.

"Mereka memberi kepada semua [...} dan meminta ibu bapanya untuk mengisi borang itu," katanya.

Seorang bapa kepada murid Tahun 1 di SJKT Jalan Fletcher (Kuala Lumpur) memberitahu bahawa beliau juga diminta untuk mengisi borang persetujuan.

Sementara itu, R Kannan merupakan AJK Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat), sebuah badan yang sebelum ini berkempen menentang pengenalan tulisan Jawi, mempersoalkan kekeliruan yang terdapat dalam pengedaran borang itu.

"Penulisan Jawi hanya sepatutnya diperkenalkan kepada pelajar pada Tahun 4.

"Jadi kenapa kementerian mengedarkan borang persetujuan kepada pelajar pada Tahun 6 (dan tahun-tahun lain)?" tanya beliau.

Malaysiakini telah menghubungi KPM untuk mendapatkan penjelasan.

Monday, August 12, 2019

'Dulu Jawi ditukar ke Rumi sebab ambil kira bukan Melayu'

News | Diterbitkan Hari ini 6:40 petang


Antara sebab kenapa tulisan rasmi Bahasa Melayu ditukar daripada Jawi kepada Rumi pada masa lalu adalah kerana mengambil kira keperluan masyarakat bukan Melayu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Justeru beliau mempersoal mengapa masyarakat kini bertelagah dalam soal tiga halaman pembelajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Darjah 4 yang ingin dilaksanakan kerajaan.

"Saya tua, masih ingat masa nak capai merdeka.

"Oleh kerana orang bukan Melayu susah nak belajar Jawi, kita buat keputusan untuk guna tulisan Rumi, sebab nak bagi mudah orang bukan Melayu.

"Orang Melayu (masih) kena (belajar) Jawi kerana kena baca Al-Quran. Apa kita nak kelahi? Kita sudah bagi pertimbangan khusus untuk kepentingan (masyarakat) bukan Melayu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Langkawi hari ini.

Mahathir yang juga anggota parlimen kawasan itu menjawab soalan berkenaan bantahan berterusan terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam sukatan mata pelajaran di sebalik kompromi oleh Kementerian Pendidikan.

Antara perubahan yang dibuat, seperti pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 3 Ogos lalu, ialah pelaksanaan pembelajaran ialah secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Terdahulu, Mahathir juga mengecam pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai "rasis".

Mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi", Dong Zong dua hari lalu melancarkan petisyen bagi menggesa kerajaan membatalkan pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Isu itu mencetuskan bantahan sejumlah masyarakat bukan Melayu.

Sesetengah pemimpin DAP - antaranya pemimpin veterannya Lim Kit Siang - dibidas anggota parti itu kerana dilihat bersetuju dengan perkara itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet Rabu ini.

Saturday, August 3, 2019

'DAP jangan tunjuk sikap anti-Melayu'

Faisal Asyraf 
Diterbitkan Hari ini 4:17 petang


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii mempersoalkan bantahan DAP terhadap cadangan memperkenalkan pengajaran tulisan khat dalam kurikulum Bahasa Melayu bagi tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan.

Razlan berkata bantahan tersebut tidak wajar kerana kaligrafi jawi telah wujud sejak sekian lama dan telah digunakan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

"Banyak juga plak-plak kenamaan dan perjanjian kenamaan dari dahulunya guna tulisan Jawi. Jadi ia bukan ada kaitan sangat dengan agama Islam," katanya kepada Malaysiakini.

Baru-baru ini, seramai 11 Adun, 14 pemimpin akar umbi dan pemimpin DAP serta 138 cawangan dan jawatankuasa parti itu di peringkat parlimen membantah cadangan yang dillhamkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik minggu lepas.

Bagaimanapun, Adun Keranji Chong Zhemin dan Adun Jelapang, Cheah Pou Hian menarik balik desakan mereka agar DAP dan kementerian mengkaji semula isu itu.
'Seperti isytihar perang terhadap Melayu'

Razlan berkata langkah mengumpul sokongan persatuan-persatuan Cina untuk menentang cadangan itu seperti "mengisytiharkan perang terhadap Melayu.".

"Jadi sepatutnya perkara ini tak berlaku, sebab kementerian pendidikan yang kita difahami sudah melaksanakan bengkel untuk memberi penerangan kepada Adun-Adun dan MP, dan ia sudah dapat persetujuan secara kolektif. Ada yang tak setuju, tapi majoritinya okey dan boleh move on.

"Jadi DAP jangan tunjuk sikap mereka yang anti-Melayu dan budaya Melayu," katanya.

Razlan berkata DAP sepatutnya lebih faham dan membantu kerajaan dengan mengembangkan penggunaan tulisan Jawi dalam bahasa Melayu serta bukan "menjadi penghalang".

Dalam satu kenyataan pada 2 Ogos, pemimpin akar umbi DAP berkata pelajar sekolah vernakular telah dibebankan oleh "tiga bahasa dan tiga sistem tulisan" pada masa ini.

"Kami bukan tak setuju bahawa 'khat' mempunyai nilai artistik, tetapi orang ramai harus digalakkan untuk menghargainya sendiri dan bukan dibuat dasar," kata mereka.

Kumpulan itu mendakwa pengajaran seni khat adalah satu usaha untuk menginstitusi dan mempolitikkan tulisan Jawi.

Kementerian Pendidikan bagaimanapun dalam satu kenyataan Khamis lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Kementerian itu menegaskan perkara tersebut tidak berkaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Daripada 162 muka surat dalam buku teks Bahasa Melayu, enam muka surat dikhususkan untuk tulisan khat.

Tuesday, January 15, 2019

DBP bukan untuk Melayu sahaja, kata KP

Bernama
-January 15, 2019 7:26 AM

DBP akan menterjemahkan karya dalam Bahasa Melayu kepada bahasa lain.

KUALA LUMPUR:  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menjadikan institusi itu inklusif kepada semua kaum di negara ini dalam usaha memartabat dan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata pada masa ini DBP dilihat terlalu eksklusif untuk orang Melayu dan seolah-olah menutup pintu kepada orang bukan Melayu.

“Oleh itu, kami cuba jadikan institusi ini sebagai hak milik masyarakat iaitu insklusif atau menyeluruh untuk orang India, Cina dan sebagainya.

“Jadi sekarang kami mahu memperhebatkan penglibatan bukan Melayu untuk sama-sama memartabatkan dan terlibat sama dalam usaha mengembangkan persuratan kita ini. Antara kaedah yang akan dibuat ialah menterjemahkan karya dalam Bahasa Melayu kepada bahasa lain,” katanya semasa menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, malam tadi.

Sementara itu, Abang Sallehudin menyifatkan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai kota buku dunia 2020 adalah penghormatan tinggi dalam tamadun sesuatu bangsa.

“Pengiktirafan itu dapat menyuntik semangat masyarakat agar terus memperkasakan budaya membaca di negara ini,” katanya.

Pada 12 Nov lepas, Kuala Lumpur diiktiraf sebagai ibu kota buku dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi 2020.

Pengiktirafan tersebut diberikan kepada bandar raya yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap aktiviti berkaitan buku, kesusasteraan, kesenian dan gerakan membaca dalam kalangan warga kotanya.

Thursday, November 22, 2018

UMNO Junjung Kasih Ketegasan Sultan Selangor Angkat Bahasa Kebangsaan – Noh Omar

Azlina Rosdy
22 November 2018

KUALA LUMPUR, 22 Nov – UMNO menjunjung kasih kepada ketegasan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang begitu prihatin berkaitan perlaksanaan bahasa Kebangsaan di papan tanda, kata Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Dua hari lalu, Baginda telah menitahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Ujar Noh, bukan sahaja hanya bahasa kebangsaan harus digunakan di papan tanda tetapi juga untuk nama taman-taman perumahan.

“Semasa saya menjadi Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dahulu, kita pernah membincangkan hal berkaitan nama taman perumahan agar menggunakan bahasa kebangsaan… tidak perlu guna nama barat yang seolah-olah negara ini tidak ada nama yang boleh dibanggakan budaya dan bahasa kebangsaan sendiri.
“Saya tahu ini dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jadi saya harap perkara ini akan dipertimbangkan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila papan tanda dual bahasa dinaikkan di sekitar Shah Alam.

Ekoran daripada itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah bertitah dan menetapkan bahawa semua papan tanda yang mempunyai dual bahasa di Shah Alam mesti dikeluarkan dan digantikan dengan bahasa yang hanya menampilkan bahasa kebangsaan.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani berkata demikian dalam satu surat kepada kerajaan Negeri Selangor yang bertarikh 19 November.

Surat itu menyatakan bahawa semua papan tanda bahasa Cina di Shah Alam mesti dikeluarkan dan digantikan dengan hanya satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu.

“Operasi untuk mengubah papan tanda jalan mesti dilakukan dengan serta-merta dan disiapkan paling lambat sebelum Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-73 pada 11 Disember,” kata Mohamad Munir dalam satu kenyataan baru-baru ini.

 – MediaUMNO

Monday, November 19, 2018

Sultan Selangor arah tanggal papan tanda tulisan Cina di Shah Alam

Diterbitkan 19 Nov 2018, 5:04 petang


Sultan Selangor menitahkan supaya semua papan tanda yang menggunakan dua bahasa di Shah Alam diturunkan dan digantikan dengan bahasa Melayu secepat mungkin.

Menurut satu kenyataan setiausaha sulitnya, Mohamad Munir Bani, penukaran tersebut diharapkan dilaksanakan sebelum sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Sultan Selangor telah menitahkan supaya semula papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

"Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Disember 2018," menurut kenyataan tersebut.

Isu papan tanda itu timbul ekoran kenyataan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) Dr Saleeh Rahamad semalam.

Menurut Saleeh mana-mana papan tanda nama jalan yang sebelum ini disediakan dalam bahasa Melayu dan jawi oleh pihak berkuasa tempatan perlu dikekalkan.

Katanya tidak wajar mana-mana pihak menukarnya ke tulisan bahasa lain.

Terdahulu, seorang penduduk Shah Alam di akaun Twitternya mempersoalkan keperluan papan tanda nama di jalan kawasannya bertulisan Cina.

Sementara itu, setiausaha politik menteri besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata pihaknya mengambil maklum berhubung titah baginda.

"Menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Arahan telah dikeluarkan untuk menurunkan papan tanda serta merta," katanya.

Monday, July 23, 2018

Polemik UEC dan teras bangsa

DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH
23 JULAI 2018

Dr Iskandar Hasan

UEC adalah Sijil Peperiksaan Bersepadu yang dikeluarkan oleh aliran pendidikan sekolah swasta Cina di Malaysia. Polemik UEC bermula dengan tuntutan daripada Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (UCSCA) dan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Bersatu (UCSTA) pada Oktober 1995.

Dalam buku The Struggle for Survival in Chinese School in Peninsular Malaysia tulisan Lee Ting Hui menghuraikan kronologi polemik UEC. Polemik ini bermula susulan daripada persetujuan kedua-dua persatuan ini untuk menuntut kerajaan meninggalkan objektif utama menjadikan bahasa Malaysia sebagai medium pengantar dalam subjek pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Dalam tuntutan tersebut menyatakan bahawa pengiktirafan UEC yang dikendalikan oleh sekolah persendirian Cina untuk kemasukan pelajar ke universiti awam.

Ekoran tuntutan tersebut, kerajaan pada dasarnya hanya bersetuju untuk mengekalkan SJKC dan SJKT mengikut Akta Pendidikan 1961. Begitu juga dengan silibus pendidikan aliran SJKC dan SJKT telah mewajibkan bahasa Malaysia sebagai pengantar dan bukannya bahasa ibunda aliran tersebut.

Kerajaan turut bersetuju supaya bahasa Mandarin dan Tamil dijadikan subjek wajib dalam masa pembelajaran dan pengajaran di semua sekolah aliran SJKC dan SJKT. Malahan lesen persekolahan pendidikan swasta Cina perlu mematuhi Akta Pendidikan 1961 untuk meneruskan pemberian lesen daripada Kementerian Pendidikan.

Tetapi masih terdapat polemik yang berlaku. Dalam seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1961 telah mewajibkan bahasa Malaysia sebagai pengantar dan wajib lulus untuk melayakkan seseorang pelajar diterima masuk ke dalam universiti awam. Bahasa Malaysia juga dijadikan bahasa utama dalam semua subjek pengajaran dan pembelajaran kurikulum semua jenis aliran sekolah.

Ini menyebabkan rasa tidak puas hati oleh UCSCA dan UCSTA. Kemelut ini ditambah pula dengan seksyen 26(A) yang memberikan kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk membubarkan mana-mana Lembaga Sekolah terutama sekolah persendirian yang tidak mematuhi syarat wajib pengajaran bahasa Malaysia sebagai pengantar.

Polemik ini bertambah panas apabila kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PPSMI pada tahun 2002. Pertikaian ini timbul apabila kerajaan meluluskan bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Persoalan utama adalah jika bahasa Inggeris boleh dibenarkan. Maka bahasa ibunda turut boleh dibenarkan. Sedangkan dalam Akta Pendidikan 1996 telah menggariskan bahawa semua sekolah dari peringkat rendah sehinggalah peringkat pengajian tinggi perlu menjadikan bahasa Malaysia sebagai pengantar utama dalam semua subjek kurikulum. Ini bersesuaian untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmiah.

Tetapi apa yang berlaku adalah terdapat dalam subjek tertentu di peringkat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Malaysia. Contohnya dalam bidang pengajian undang-undang. Ini menjadikan UCSTA dan UCSCA mempunyai alasan kukuh untuk mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.

Perjuangan UEC ini turut disokong oleh Dong Jiao Zong. Akhirnya menyebabkan satu Gerakan Pendidikan Cina yang dinamakan Gerakan Hua Tuan Suqiu. Gerakan ini mencadangkan satu dokumen yang dinamakan Mu Yu Jiao Yu Xuan Yan. Manifesto dokumen ini menuntut supaya bahasa ibunda bagi aliran SJKC dan SJKT dikembalikan sebagai pengantar dalam semua subjek kurikulum termasuklah sekolah persendirian. Tetapi tuntutan ini ditolak walaupun pada masa itu berlangsung PRU tahun 1999.

Gerakan Pendidikan Cina tidak berhenti setakat itu. Tetapi digiatkan dengan Gerakan Reformasi Pembaharuan Pendidikan Sekolah Swasta Cina. Matlamat gerakan tersebut adalah untuk memperbaiki tahap kualiti dan kemudahan sekolah persendirian Cina.

Usaha mendapatkan pendanaan daripada komuniti Cina turut dipergiatkan. Tetapi usaha ini kurang berjaya. Walaupun begitu, kerajaan turut memberikan dana kepada sekolah persendirian termasuklah menambah bilangan sekolah aliran SJKC dan SJKT.

Walaupun kerajaan menolak permohonan tersebut, kerajaan sebenarnya telah meluluskan penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman sebagai satu alternatif kepada pelajar-pelajar UEC untuk melanjutkan pengajian tinggi. Kerajaan juga melonggarkan syarat untuk menyambung pendidikan tinggi di beberapa universiti di Taiwan dan China.

Tuntutan Gerakan Pendidikan Cina akhirnya diterjemah ke dalam politik terutama pada PRU 2008. Pada 28 Februari 2008, terdapat sejumlah tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan. Antaranya pengiktirafan UEC, menaik taraf Kolej New Era dan Kolej Southern sebagai kolej universiti.

Tetapi dalam Dasar Pembangunan Pendidikan 2006 hingga 2010 tidak memenuhi tuntutan tersebut. Lanjutan itu, Dasar Pembangunan Pendidikan 2010 hingga 2015 juga tidak menggariskan tuntutan tersebut.

Kini tuntutan tersebut telah beralih kepada kerajaan negeri. Situasi ini boleh difahami apabila Sarawak mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti awam. Seterusnya berlaku di Melaka.

Persoalan yang timbul dalam polemik UEC adalah pembentukan teras negara bangsa. Teras negara bangsa Malaysia adalah berdasarkan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terikat dengan Akta Pendidikan 1996. Malangnya sudah enam dekad lebih negara kita merdeka tetapi masing-masing masih tidur bantal berasingan dan mimpi berasingan.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

Friday, July 13, 2018

Jangan abai bahasa Melayu dalam iktiraf UEC: Anwar

MOHD HAFIZ ISMAIL
13 JULAI 2018

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahasa Melayu tidak boleh diabaikan dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Menurutnya, ketetapan bahasa Melayu sebagai tunjang dalam dasar pendidikan dan tiada tolak ansur dalam apa jua keadaan.

“Kita boleh pertimbangkan apa jua pun seperti mana wujudnya sekolah Arab yang boleh diiktiraf tetapi kita tidak boleh abaikan bahasa Melayu dan penguasaan bahasa itu dalam mana sistem pun,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyatakan kerajaan akan meneruskan rancangan untuk mengiktiraf UEC selaras manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan membuat ‘pusingan u’ atau dilihat flip-flop dalam perkara itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rancangan iktiraf UEC akan diteruskan]

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau percaya Dr Maszlee cukup berwibawa untuk menyelaraskan segala isu-isu yang berbangkit berhubung isu tersebut.

Katanya lagi, dalam perbincangan bersama tokoh pendidikan Cina, mereka turut memberi jaminan isu bahasa Melayu bukan satu masalah bagi mereka.

“Kalau begitu, menteri boleh menetapkan ini boleh dimeterai dalam satu peraturan dan undang-undang yang jelas supaya tidak ada tanggapan bahawa dasar pendidikan dikorbankan kerana semata-mata pertimbangan politik baharu,” katanya - Astro Awani.

Thursday, July 12, 2018

Dituduh tak fasih bahasa Melayu, Peguam Negara bukti kemampuan

FMT Reporters | July 12, 2018

Tommy Thomas membuat ucapan dalam bahasa Melayu dipercayai dibuat ketika majlis Sambutan Hari Raya Aidilfiri di Jabatan Peguam Negara baru-baru ini.

VIDEO INSIDE
Tommy Thomas berjanji memperbaiki penguasaan bahasa Melayunya.

PETALING JAYA: Peguam Negara Tommy Thomas tampil memberikan ucapan dalam bahasa kebangsaan selepas dikritik tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Ucapan yang tular di media sosial itu dipercayai dibuat ketika majlis Sambutan Hari Raya Aidilfiri di Jabatan Peguam Negara baru-baru ini.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas usaha menganjurkan majlis hari raya.

“Saya berharap hubungan erat di antara pegawai dapat dikuatkan dengan semangat setia kawan akan memberi manfaat kepada semua,” kata Tommy.

Terdahulu, Tommy berjanji memperbaiki penguasaan bahasa Melayunya, selepas mengakui tidak kerap menggunakan bahasa kebangsaan sewaktu berkhidmat di sektor swasta.

“Saya perlu menguasainya… Saya benar-benar mesti menguasainya. Saya berjanji untuk menguasainya,” katanya sebelum ini.

Minggu lalu, Tommy yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, meminta perbicaraan di Mahkamah Tinggi dilakukan dalam bahasa Inggeris.

Kefasihan Tommy dalam bahasa Melayu antara isu yang dibangkitkan pengkritiknya ketika beliau dinamakan sebagai pengganti Tan Sri Mohamed Apandi Ali, awal bulan lalu.

Sunday, July 1, 2018

Najib: Saya pernah beri amaran Melayu ‘bangsat’ di bawah PH

FMT Reporters | June 30, 2018

Bekas presiden Umno itu berkata, kerajaan PH mendapat sokongan daripada orang bukan Melayu.
Datuk Seri Najib Razak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan satu siri serangan ke atas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan mendakwa ia mengetepikan agama Islam dan bahasa Melayu.

Dalam gesaan kepada ahli Umno untuk bersatu susulan pemilihan parti yang menyaksikan bekas timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memenangi jawatan tertinggi parti, Najib berkata, orang Melayu tidak boleh mengharapkan kerajaan baru yang “kekuatannya datang daripada sokongan orang bukan Melayu”.

“Setakat ini, kerajaan PH mengizinkan pencabulan Bahasa Melayu, agenda Islam dan Bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam pentadbiran mereka.

“Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika Umno hilang kuasa. Kita sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi ujian Allah,” tulisnya dalam Facebooknya malam ini.

Beliau merujuk ucapannya dalam Perhimpunan Agung Umno Disember tahun lalu, di mana beliau berkata, orang Melayu akan kehilangan hak istimewa mereka jika pembangkang berkuasa.

Pertandingan jawatan presiden Umno hari ini menyaksikan Zahid mendapat kemenangan selesa, meninggalkan pencabar terdekatnya, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula diumumkan sebagai timbalan presiden Umno, mengalahkan bekas ketua penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula memenangi jawatan naib presiden, manakala 25 calon menganggotai Majlis Tertinggi Umno.

Monday, June 25, 2018

Guan Eng janji Bahasa Melayu terus diutamakan dalam urusan kementerian

Firdaus Azil,
Astro Awani | Jun 25, 2018 18:09 MYT

GUAN ENG: -Saya akan terus memperbaiki apa-apa kelemahan dalam tata urus komunikasi saya dengan rakyat Malaysia." - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Sebarang kenyataan rasmi Kementerian Kewangan akan sentiasa mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang rasmi, bukan Bahasa Mandarin seperti mana didakwa sesetengah pihak sebelum ini, tegas menterinya Lim Guan Eng.

Beliau, dalam satu kenyataan media hari ini berkata, kenyataan rasmi Bahasa Melayu akan diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris untuk kegunaan sesetengah media, dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin jika ada keperluan.

“Saya tidak faham mengapa terjemahan kenyataan rasmi Bahasa Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris ataupun sekali-sekala dalam Bahasa Mandarin boleh diputarbelitkan untuk menyatakan bahawa bahasa rasmi Kementerian Kewangan telah ditukar ke bahasa Bahasa Mandarin.

“Jika adapun, terjemahan ke dalam Bahasa Mandarin dibuat apabila ada keperluan, terutamanya apabila isu tersebut melibatkan terma-terma teknikal. Terjemahan ini kemudiannya dihantar terus kepada media berbahasa Cina atau media sosial dan tidak digunapakai dalam laman rasmi Kementerian Kewangan,” katanya lagi.

Difahamkan, pada 21 Jun lepas, beliau ada mengeluarkan kenyataan mengenai TRX City Sdn Bhd dalam tiga versi iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin untuk kegunaan media.

Namun terdapat sesetengah pihak sengaja membuat ‘printscreen’ kenyataan Bahasa Mandarin, dan disebarkan, hingga menimbulkan persepsi hanya versi itu yang dibuat Kementerian Kewangan.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat ‘post’ dari akaun Facebook Lim yang seolah-olah menggambarkan tidak ada salahnya menggunakan Bahasa Mandarin sebagai sebagai bahasa perantara bagi setiap kenyataan Menteri Kewangan.

Namun Lim, dalam kenyataan hari ini, menegaskan Bahasa Melayu akan terus diberi keutamaan dalam setiap kenyataan berkaitan urusan rasmi kementerian, selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai Bahasa Rasmi Kebangsaan.

Namun beliau berkata, bahasa lain akan terus digunakan dalam akaun media sosial rasminya, manakala Bahasa Mandarin akan digunakan dalam sebarang komunikasi bersama akhbar Cina.



Lim Guan Eng
✔@guanenglim

Ini twitter n fb saya sebagai Setiausaha Agong DAP. Saya cuba komunikasi dgn pengguna dlm bahasa mereka kirimkan kpd saya.Perhatikan sebahagian besar dlm BM dan Inggeris.Hanya sekali sekala dlm Mandarin. Untuk fb rasmi Kementerian Kew. pasti BM tetap ada.

5:56 AM - Jun 25, 2018
1,344
494 people are talking about this

Twitter Ads info and privacy

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana prihatin tentang perkara ini dan saya mengambil maklum kritikan dan teguran berkenaan dengan status yang dimuatnaik dalam laman sosial saya pada 24 Jun 2018.

“Saya akan terus memperbaiki apa-apa kelemahan dalam tata urus komunikasi saya dengan rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Isu bahasa: MP PKR, AMANAH pertahan Lim

Anne Muhammad | Diterbitkan 25 Jun 2018, 7:03 petang


Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mempertahankan tindakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan media dalam tiga bahasa.

Beliau berkata, lazimnya kenyataan media akan dikeluarkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, namun dalam keadaan tertentu - misalnya jika melibatkan terma yang sukar difahami - ia perlu diterjemahkan kepada bahasa Cina.

"Semua kenyataan berkenaan tugasnya sebagai menteri kewangan ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi memandangkan beberapa terma teknikal telah diterjemah secara salah dalam laporan bahasa Cina (maka terjemahan itu diperlukan).

"Bagi perkara melibatkan terma teknikal dan kewangan, mungkin perlu diterjemah ke bahasa lain seperti bahasa Cina dan Tamil," katanya kepada Malaysiakini.

Fahmi menceritakan pengalamannya sebagai pengarah komunikasi PKR yang kerap dihubungi wartawan media bahasa Cina bagi memastikan terjemahan mereka terhadap kenyataan yang dikeluarkan betul.

"Misalnya istilah ketua umum tak diterjemah secara terus dalam bahasa Cina, media berbeza boleh gunakan takrifan berbeza untuk jawatan sama," katanya lagi.
Tindakan Lim mengeluarkan kenyataan berhubung isu Tun Razak Exchange pada 21 Jun lalu dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina - dikritik laman Facebook "Friends of BN".

Lim bagaimanapun mempertahankan tindakan itu melalui satu kenyataan semalam namun ia hanya dibuat dalam bahasa Cina, menambahkan lagi kritikan terhadapnya.

Tanya sebelum kecam

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata beliau tetap mengutamakan bahasa Melayu tetapi akan turut menggunakan bahasa lain di media sosial dan bahasa Cina untuk berkomunikasi dengan akhbar Cina.
Beliau juga menjelaskan kenyataan berbahasa Cina yang menjadi pertikaian itu dibuat "tanpa kepala surat rasmi Kementerian Kewangan”.

Sementara itu, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata Lim mungkin bertujuan memberikan kefahaman terperinci kepada pembaca berbahasa Cina yang kurang faham dengan kenyataan pertama isu TRX.

"Kenyataan pertama mungkin kurang memberi penjelasan dan kenyataan kedua...mungkin bagi menjelaskan kekeliruan daripada kenyataan pertama," kata pengarah komunikasi AMANAH itu.

Beliau berkata semua pihak perlu melihat sebab tindakan Lim terlebih dulu sebelum mengkritiknya.

"Saya pun tak tahu (tetapi) janganlah semua benda kita nak kecam tanpa mengambil kira penjelasannya sendiri berhubung perkara ini. Tanya dulu sebelum kecam," katanya lagi.

Negara ini ada identitinya: Maza

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
25 JUN 2018

Mohd Asri Zainul Abidin

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur kerajaan dalam isu memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Jelasnya, Malaysia mempunyai identitinya, dan seandainya identiti itu tidak dimartabatkan ia bakal mengundang masalah pada suatu hari nanti.

"Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Tiada masalah dengan Bahasa Kebangsaan itu sejak sekian lama. Ia bukan punca pertelingkahan bahkan ia antara sebab perpaduan di negara kita. Di Indonesia, Bahasa Indonesia diangkat.

"Semua kaum di sana fasih berbahasa negara mereka. Ingatan untuk kerajaan baharu bahawa jika awal-awal lagi identiti yang menyatukan rakyat itu hendak dicemari, maka ialah tanda satu petanda bahawa keadaan yang tidak damai dan tenteram akan melanda negara ini," katanya yang lebih dikenali sebagai Maza, dalam satu perkongsian di Facebooknya hari ini.

Meskipun tidak menyebut secara khusus, difahamkan teguran Maza itu merujuk kepada kenyataan akhbar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng baru-baru ini mengeluarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dalam Bahasa Mandarin.

Meskipun kenyataan rasmi dalam Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris turut juga dikeluarkan, ramai mempersoalkan apa rasionalnya kenyataan Bahasa Mandarin dikeluarkan juga.

Sementera itu, Guan Eng dalam kenyataannya mempertahankan mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa, yang menekankan kepelbagaian bahasa di negara

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-