Showing posts with label sekolah vernakular. Show all posts
Showing posts with label sekolah vernakular. Show all posts

Tuesday, March 12, 2024

SJKC halang perpaduan nasional: Kok Seong beri keterangan polis

bebasnews,my
By Abdul Hafiz Ahmad
-12/03/2024
PROF. Emeritus Datuk Teo Kok Seong hari ini dipanggil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur ekoran kenyataannya yang mendakwa, sekolah vernakular (jenis kebangsaan) menjadi penghalang perpaduan nasional.

Kertas siasatan terhadap tokoh akademik itu dilaporkan sebuah portal media, telah dibuka di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Siasatan berkenaan dikatakan atas gesaan Teresa Kok Suh Sim yang menuduh Kok Seong rasis terhadap kaum Cina namun seorang peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla berpendapat, tindakan Ahli Parlimen Seputeh daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu salah dan tidak berpandukan undang-undang.

“Prof. Kok Seong memberi pendapat sebagai seorang pakar dalam bidang pengajian,” katanya, dipetik daripada laman sosial Bertindak yang menyuarakan sokongan kepada tokoh akademik itu.

Laman berkenaan mengalu-alukan Kok Seong yang tidak patah semangat untuk bersuara demi menyatukan rakyat melalui satu aliran sekolah kebangsaan dengan hanya menggunakan bahasa Melayu dalam pendidikan untuk semua rakyat Malaysia.

Kenyataan beliau yang disiarkan sebuah portal dalam talian menyebut, 95 peratus pelajar Cina yang dihantar ke sekolah vernakular (SJKC) tidak mahu bercampur gaul dengan pelajar Melayu yang merupakan kaum majoriti penduduk Malaysia.

 – BebasNews

Sunday, March 10, 2024

Ketua Pemuda Umno keliru mengenai sekolah vernakular - Ramasamy

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 10, 2024 10:07 AM
Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy membidas Akmal Saleh dengan menyatakan Ketua Pemuda Umno itu keliru berhubung isu polarisasi kaum di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ramasamy mempersoalkan apakah Akmal ingin menghapuskan sekolah vernakular susulan gesaannya agar sistem pendidikan itu dikaji secara menyeluruh.

"Dia seolah-olah keliru kerana menganggap bahawa sekolah vernakular adalah punca polarisasi kaum yang menyebabkan ketidakseragaman di negara ini.

"Ini sebabnya dia mencadangkan kerajaan untuk mengkaji semula sekolah vernakular dengan tujuan memperkukuhkan bahasa Melayu.

"Adakah dia mencadangkan agar sekolah vernakular di negara ini dihapuskan?

"Adakah dia mengaitkan sekolah vernakular dengan polarisasi etnik dan agama di negara ini," kata bekas pemimpin DAP itu yang kini memimpin parti India, Urimai.

‘Sekolah vernakular bukan punca perpecahan’

Ramasamy berkata hanya disebabkan sekolah kebangsaan dibiayai kerajaan, tidak menjadikan institusi itu cemerlang.
"Sekolah-sekolah ini masih banyak kekurangan dalam mempromosikan perpaduan nasional di negara ini.

"Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah ini, sama ada vernakular atau kebangsaan, bukanlah punca utama perpaduan nasional.

"Ia hanya mencerminkan politik perpecahan etnik di negara ini. Sekolah-sekolah ini adalah manifestasi yang jelas ketidakseragaman kaum dan agama di negara ini," katanya.

Semalam, Akmal menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular, dengan menerapkan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Pemuda Umno juga mencadangkan peta jalan jangka sederhana dan panjang ke arah model integrasi pendidikan di atas pasak kebersamaan nilai dan semangat kekitaan di antara rakyat berbilang bangsa, tanpa menyisihkan hak kaum-kaum di Malaysia.

Pada Rabu lalu, Akmal berkata sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran di negara ini.

Ramasamy mendakwa peminggiran kaum bukan Melayu dalam sektor awam dan diskriminasi dalam kemasukan ke universiti dan program pra-universiti telah menyuburkan kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Dia menambah Akmal sebagai ahli politik Umno sepatutnya tahu bahawa partinya telah memainkan peranan dalam membentuk sistem politik dengan politik hegemoni kaum Melayu selama beberapa dekad selepas negara merdeka.

"Daripada memberi tumpuan kepada sekolah vernakular atau kebangsaan, Akmal seharusnya mencari tahu apa sebenarnya yang melanda sistem politik di negara ini pada hari ini.

"Hanya apabila ahli politik menjauhkan diri dari politik yang memecahbelahkan, tidak ada cara sistem persekolahan akan dapat diperbaiki.

"Apa gunanya menyalahkan sekolah vernakular, jika punca sebenar polarisasi etnik dan agama terletak pada cara politik diatur di negara ini," kata Ramasamy.

[Baca berita penuh]

Monday, October 17, 2022

Manifesto BN patut perkasa SK bukan kekal vernakular

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

Zahid dakwa konon vernakular hak masyarakat majmuk

BANGI, 20 Rabiulawal 1444H, Isnin – Pendirian Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan sekolah vernakular sekiranya gabungan itu diberikan mandat semula dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sudah dijangka.

Bagi parti BERJASA, BN atau UMNO sepatutnya lebih prihatin untuk memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) berbanding vernakular di dalam manifesto mereka.

Timbalan Presiden BERJASA, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, UMNO harus memfokuskan pemerkasaan sekolah kebangsaan supaya boleh menarik lebih ramai pelajar bersekolah di bawah sistem pendidikan sealiran.

“Sepatutnya UMNO-BN lebih prihatin untuk memperkasakan sekolah kebangsaan supaya lebih menarik dan ramai pelajar serta anak-anak kita bersekolah di sana.

“…terutama dari segi kualiti, silibusnya, fasiliti, kemudahan yang ditawarkan dan pengembangan anak itu pada masa hadapan.

“Dengan itu lebih ramai rakyat negara kita akan pergi ke sekolah kebangsaan, justeru dapat membawa kepada perpaduan yang lebih besar di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas jaminan BN untuk mengekalkan sekolah-sekolah vernakular di negara ini sekiranya parti itu diberikan mandat semula dalam PRU15.

Jaminan itu dinyatakan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dan menyifatkan kononnya sekolah vernakular adalah hak masyarakat majmuk di Malaysia.

“Saya yakin jika BN menjadi kerajaan semula soal sekolah India, Cina dan vernakular akan terus dikekalkan dalam sistem pendidikan negara ini,” kata Ahmad Zahid berucap ketika Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia (MIC) ke-76, baru-baru ini.

Sekolah vernakular didakwa menjadi halangan perpaduan, sehingga menyebabkan sikap prejudis sesama kaum masih menebal.

Sebelum ini terdapat beberapa pertubuhan NGO termasuk gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Thursday, November 12, 2020

Persoal dana vernakular, DAP ancam kesetiaan pada negara

ismaweb.net

Tidak letakkan kesatuan serta perpaduan kaum sebagai keutamaan


Oleh Fazleen Safina

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – DAP sedang mengancam perasaan setia kepada negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selepas mengkritik tindakan kerajaan tidak menyalurkan bantuan kepada sekolah vernakular dalam Belanjawan 2021.

Tindakan itu juga mempamerkan sisi tamak parti rasis serta cauvinis berkenaan, ekoran tidak meletakkan kesatuan dan perpaduan kaum sebagai keutamaan.

Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat menyifatkan, tindakan berkenaan sebagai memperjudikan masa depan pendidikan negara.

Beliau juga kecewa apabila isu pendidikan terus dijadikan sebagai modal politik golongan tidak bertanggungjawab semata-mata mahu meraih undi.

“Isu vernalular terus menjadi gula-gula politik oleh parti kaum Cina.

“Parti-parti Cina tamak berlumba mengejar peruntukan khas untuk sekolah vernakular demi survival politik masing-masing,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, ADUN DAP, V Ganabatirau mahu kerajaan mempertimbangkan semula peruntukan khas kepada sekolah vernakular.

“Sebelum ini sejak 2013, tiap-tiap tahun SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dapat peruntukan khas RM50 juta masing-masing.

“Kali ini, PN umum RM800 juta secara am untuk semua sekolah. Jadi, kemungkinan sekolah vernakular tidak akan ada keutamaan.

“Kerajaan PN perlu pertimbangkan semula peruntukan khas dalam RM800 juta ini,” dakwanya.

Penafian: 
Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Apa istimewanya sekolah vernakular mahu peruntukan khas? – Prof Teo Kok Seong

mykmu.net
November 12, 2020

Mereka bimbang hilang peluang agih dana pada masyarakat?

Prof Datuk Dr Teo Kok Seong

BANGI, 23 Rabiulawal 1442H, Isnin – Tindakan kerajaan tidak mengumumkan jumlah peruntukan mengikut kategori kepada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Belanjawan 2021 dilihat adil dan tidak memihak.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kaedah berkenaan lebih baik bagi memastikan tiada sekolah yang terkurang mahupun terlebih mendapat dana per tahun.

“Sebelum ini diagihkan mengikut kategori, jadi mungkin dengan pengagihan sebegitu ada sekolah yang dapat lebih ada yang mendapat kurang dana.

“Apabila kerajaan memberi belanjawan secara umum begini, maka ia lebih menyeluruh.

“Sekolah-sekolah yang sememangnya memerlukan bantuan akan dapat bantuan selayaknya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sementara itu, mengulas ketidakpuasan hati segelintir pihak – yang mendakwa kononnya kerajaan meminggirkan sekolah vernakular, Prof Teo Kok Seong berkata, perkara berkenaan tidak perlu menjadi isu kerana mereka tetap mendapat peruntukan menerusi belanjawan yang sama.

“Semua sekolah dalam sistem pendidikan kita sama rata. Tak perlu dikategorikan. Yang berbeza sedikit cuma daripada segi silibus yang dibekalkan dalam sekolah vernakular dan sekolah agama.

“Dari segi pengkategorian khusus, tak perlu pun. Tak kira jenis sekolah apa yang memerlukan untuk diselenggera, wajar mereka mendapat bantuan.

“Tambahan pula, mereka (sekolah vernakular) bukan sekolah kebangsaan sepenuhnya, apa istimewanya mereka sampai nak diberi peruntukan khas. Jadi, kita nampak ada kerakusan, yang umum pun mereka akan dapat. Jadi mereka nak yang khas sekali. Nak untung dua kali,” katanya lagi.

Prof Kok Seong tidak menolak kemungkinan peruntukan khas kepada sekolah vernakular sebelum ini hakikatnya adalah lebih kepada faktor politik.

“Pemimpin masyarakat cina terutama parti-parti yang memerintah, bila dapat dana khas, kadang-kadang pemimpin politik yang sampaikan dana itu kepada masyarakat Cina.

“Mereka mahu penglibatan politik lebih nyata. Jadi, jika tiada dana khas, maka ahli-ahli politik akan kehilangan peluang, iaitu peluang mengagih-agihkan dana kepada masyarakat Cina,” katanya.

Terdahulu, ADUN DAP, V Ganabatirau mahu kerajaan mempertimbangkan semula peruntukan khas kepada sekolah vernakular.

“Sebelum ini sejak 2013, tiap-tiap tahun SJKT dan SJKC dapat peruntukan khas RM50 juta masing-masing.

“Kali ini, PN umum RM800 juta secara am untuk semua sekolah. Jadi, kemungkinan sekolah vernakular tidak akan ada keutamaan.

“Kerajaan PN perlu pertimbangkan semula peruntukan khas dalam RM800 juta ini,” dakwanya.

Wednesday, September 2, 2020

Pemuda PAS menyokong penambahan sekolah vernakular di Malaysia

01/09/2020 10:19 PM

Pemuda PAS menyokong supaya sekolah vernakular terus dibuka tetapi berharap pendidikan dan pembelajaran bahasa kebangsaan Bahasa Malaysia akan diperbaiki lagi.

Ini selepas Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal bertegas mahu sekolah vernakular dihapuskan secara berperingkat, mendakwa ia rata-ratanya gagal menghasilkan murid yang kental jati diri nasional.

Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, hari ini, memuji Wan Fahysal “yang paling berani” dalam mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Khairil yang bertanding di Gombak ketika PRU14 berkata pendirian beliau dan sayap Pemuda PAS mengenai isu sekolah vernakular tidak berubah sejak dua tahun lalu.

“Sekolah itu sudah ada, biarlah buka. Cumanya kita perlu meletakkan pemerkasaan kualiti pendidikan kebangsaan dan kemenjadian (kejayaan) murid di dalam sekolah vernakular.

“Yang sedia ada, sedia ada lah. Takkan kita nak roboh yang sedia ada, sekolah vernakular, SRJK.

“Sebab itu pada pendapat Pemuda PAS, sekolah-sekolah ini perlu mengadaptasi kualiti sistem pendidikan negara dan sekiranya perlu untuk perkasakan lagi, silakan,” katanya ketika berucap.

Turut menyampaikan ucapan dalam konvensyen itu adalah Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Presiden dan ketua pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dijadual berucap bagaimanapun tidak hadir.

Timbalan menteri belia dan sukan menjelaskan cadangannya itu bertujuan untuk menggalakkan “perbincangan intelektual” dan bukan untuk mencetuskan “polemik politik.”

“Di mana saya membuat lontaran pandangan selaku (ketua) Armada, masyarakat respon kepada menteri perpaduan. Saya dikecam hebat,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini menolak jaminan Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique bahawa kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular.

“Pandangan saya tidak berdasarkan prejudis saya kepada bangsa lain. Itulah satu renungan dan lontaran yang kami fikir ialah perkara penting.

“Kita sudah 63 tahun merdeka tapi isu perpaduan masyarakat kita masih masih tidak berubah lagi,” katanya.

Merujuk hasil kajian ahli akademik Teo Kok Seong, Wan Fahysal berkata perlu kompromi dalam mencapai perpaduan kaum.

“Kalau ingin melahirkan perpaduan nasional yang sebenar perlu ada pengorbanan antara kaum dan saya fikir orang Melayu dah berkorban banyak.

“Kita sudah meninggalkan aksara Jawi dan kita sudah lama membuka ruang yang pelbagai kepada bangsa-bangsa lain untuk kita hidup bersama. Untuk kemakmuran secara bersama

“Jadi ini saya rasa perkara yang perlu kita titikberatkan dan bincang secara ilmiah bukan polemik politik,” jelasnya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/540942

Monday, December 30, 2019

‘Kebiadaban takkan padam selagi wujud sekolah Cina’

BERITA

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata pergeseran dan kebiadaban antara kaum akan berterusan selagi wujudnya “sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan” di negara ini.

Meskipun tidak merujuk kepada mana-mana pihak, tetapi kenyataannya itu dibuat di tengah-tengah isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil yang hangat diperkatakan sehingga membawa kepada bantahan pelbagai pihak.

“Kita melihat kemelut kebiadaban yang tidak putus-putus.

"Selagi sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan tidak dihapuskan dalam negara ini, selagi itulah kemelut pergeseran dan kebiadapan antara kaum tidak akan berhenti.

“Hendaklah kita semua bersatu dan melupakan perbezaan antara kita dalam mengembalikan kekuatan negara dengan kuasa politik yang menjanjikan ketegasan dalam menghadapi kebiadapan ini,” katanya dalam hantaran beliau di Facebook malam semalam.

Kenyataannya itu dibuat selepas berlangsungnya Kongres Kebangsaan Jawi yang dianjurkan oleh Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat), petang semalam.

Kongres itu antaranya menggesa agar pelaksanaan tulisan itu dijadikan sebagai pilihan dan bukannya dimasukkan ke dalam Sukatan Pelajaran Tahun 4 Bahasa Malaysia.

Jumaat lalu, polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres yang dianjurkan oleh Dong Jiao Zong yang sepatutnya diadakan pada 28 Disember.

Kongres yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di Kolej New Era, Kajang itu bertujuan bagi membincangkan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Mohd Asri sebelum ini mahu masyarakat di negara ini digembleng untuk menggempur kumpulan pelampau yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Pada 17 Ogos, beliau juga mengajak semua rakyat Malaysia menandatangani petisyen atas talian yang dilancarkan oleh pemuda Bersatu, untuk mengharamkan pertubuhan Dong Zong, yang disifatkannya sebagai pertubuhan yang rasis.

Monday, December 23, 2019

Satu lagi kongres tolak Jawi di sekolah vernakular dianjurkan

BERITA

Satu lagi acara membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular dianjurkan.

Ia dianjurkan pada 29 Disember, sehari selepas Kongres Organisasi Cina oleh kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong di Kajang, Selangor.

Sekumpulan aktivis yang menamakan diri mereka Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) hari ini mengumumkan acara itu, yang akan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Walaupun menolak pengajian Jawi di sekolah Cina dan India, mereka menamakan acara itu Kongres Jawi Kebangsaan.
Arun Doraisamy 
Setiausaha Sekat Arun Doraisamy dalam sidang media di Kuala Lumpur berkata mereka mahu mendesak Kementerian Pendidikan membincangkan semula keputusan itu.

“Kembali ke meja perbincangan dan kali ini patut melibatkan pelbagai wakil daripada masyarakat Cina, India, Melayu, Sabah dan Sarawak,” kata Arun.

Katanya, kongres itu juga akan meneroka pelbagai isu berkaitan Jawi kerana ramai yang tidak memahaminya.

Arun berkata, Sekat yang selari dengan dengan kongres anjuran Dong Jiao Zong, adalah sebuah acara melibatkan pelbagai kaum.

Mereka menjangkakan 400 orang hadir dalam acara itu. Menteri Pendidikan Maszlee Malik turut diundang.

[Baca berita asal]

Monday, October 7, 2019

Usul mansuh sekolah vernakular, kenapa Kit Siang, Guan Eng diam, soal MCA

Adam Abu Bakar
-October 7, 2019 5:15 PM
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, pendirian MCA berhubung sekolah vernakular adalah jelas.

KUALA LUMPUR: MCA hari ini mengkritik DAP yang menurutnya berdiam diri apabila terdapat gesaan menghapuskan sekolah vernakular seperti yang dicadangkan sewaktu Kongres Maruah Melayu semalam.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, amatlah mengejutkan apabila Setiasuaha Agung DAP Lim Guan Eng dan penasihat parti itu Lim Kit Siang langsung tidak membuat sebarang kenyataan dalam isu berkenaan.

“Saya terkejut, acara ini dianjurkan pihak universiti dan individu utama yang bertanggungjawab dalam perkara ini adalah Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

“Kenapa mereka senyap? Jika ia berlaku sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN), saya boleh beri jaminan bahawa mereka akan menyelar perkara ini di kiri, kanan dan tengah.

“Jadi kenapa anda senyap? Bukankah anda kini berada di pihak kerajaan Persekutuan. Pada saya kita perlu teruskan (sekolah vernakular), saya sudah nyatakan dengan jelas,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Semalam Kongres Maruah Melayu menggesa kerajaan memansuhkan sistem sekolah vernakular dalam masa enam tahun kerana didakwa tidak mampu memupuk integrasi nasional dalam kalangan pelajar berbilang kaum.

Pembentang resolusi kluster pendidikan yang merupakan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim berkata, kerajaan perlu terus komited pada agenda memperkasakan sekolah kebangsaan.

Menurut Wee, kongres semalam, yang turut dihadiri Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri, menimbulkan persoalan apakah ia (penghapusan sekolah vernakular) merupakan pendirian rasmi kerajaan.

“Adalah amat penting untuk kerajaan hari ini menjawab perkara ini. Tolonglah jangan berdiam diri atau mengelak untuk jawab isu ini. Untuk kita, di pihak MCA kita sudah nyatakan pendirian kita,” katanya.

Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan beberapa buah universiti awam tempatan itu menyaksikan kehadiran pemimpin Melayu daripada parti pembangkang, termasuk PAS dan Umno, pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan pertubuhan bukan kerajaan.

Antara usul yang mendapat perhatian ialah cadangan ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari yang mahu Putrajaya melantik hanya orang Melayu beragama Islam ke jawatan utama di peringkat negeri dan pusat.

Thursday, August 15, 2019

Pengenalan Jawi di SJK kekal tetapi perlu dipersetujui PIBG

News | Diterbitkan 14 Ogs 2019


Kerajaan memutuskan pengenalan tulisan Jawi bagi murid Darjah 4 di semua sekolah akan diteruskan.

Bagaimanapun bagi sekolah vernakular, pengajarannya hanya akan dilaksanakan jika ia dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid.

Perkara itu diputuskan mesyuarat kabinet hari ini dan diumumkan Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan.

"Dalam perbincangan terkini, jemaah menteri membuat keputusan mengekalkan keputusan minggu lalu agar pengenalan tulisan Jawi ini diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika

dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan.

"(Pembelajaran di) Sekolah kebangsaan akan teruskan seperti biasa," kata Kementerian Pendidikan.

Keputusan lain seperti pengenalan tulisan Jawi dimuatkan sebanyak tiga halaman dalam buku teks dan ia tidak akan dinilai dalam peperiksaan juga dikekalkan, kata kementerian itu lagi.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pelaksanaan pengenalan Jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Bagaimanapun ia tetap dibantah sesetengah pihak, antaranya Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang melancarkan petisyen untuk menggesa ia dibatalkan.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan berkata pembelajaran itu dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan Jawi dan bukan khat, dan diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas untuk Darjah 4 mulai 2020, Darjah 5 pada 2021 dan Darjah 6 pada tahun 2022 di sekolah jenis kebangsaan.

"Kementerian berharap melalui keputusan yang dibuat oleh mesyuarat jemaah menteri ini, isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

"Kementerian juga dari semasa ke semasa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara," kata Kementerian Pendidikan lagi.

Sunday, October 18, 2015

Rakyat keturunan Cina bukan pendatang - PM

FMT Reporters

Mereka telah memainkan peranan dalam pertumbuhan yang menakjubkan di negara ini
SHAH ALAM: Rakyat Malaysia keturunan Cina bukan pendatang tetapi adalah anak watan yang telah menyumbang kepada pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masyarakat berkenaan juga memainkan peranan dalam pertumbuhan yang menakjubkan di negara ini.

“Sebab itu anda bukan pendatang. Anda adalah anak watan. Anda dilahirkan di sini, membesar di sini, dan apabila tiba masanya, apabila anda meninggal dunia, anda akan dikebumikan di sini,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan nasional ke-44 Parti Gerakan

“Itulah kenyataannya. Kita berada di sini sebagai rakyat Malaysia,” katanya disambut tepukan 1,618 perwakilan yang menghadiri persidangan itu di Pusat Konvensyen Setia City.

Beliau juga mengulangi bahawa pendidikan Cina di negara ini akan terus wujud, sambil menambah bahawa kewujudannya telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Malaysia juga satu-satunya negara di luar China dan Taiwan yang membenarkan sekolah-sekolah Cina untuk berkembang.

Najib berkata walaupun terdapat sekolah-sekolah vernakular, adalah penting untuk Malaysia dengan rakyatnya yang berbilang kaum untuk mempunyai rasa perpaduan dan bekerjasama ke arah perpaduan nasional yang padu.

“Kita semua mesti percaya bahawa keharmonian negara, perpaduan nasional dan perpaduan negara adalah idea-idea yang kita semua patut bercita-cita untuk mencapainya.

“Ia akan menjadi cabaran yang besar, ia tidak mudah namun saya percaya kita semua mesti bersatu padu di bawah satu bumbung, “katanya.

Najib berkata dengan bergerak ke hadapan, beliau akan memastikan masa depan Malaysia adalah berdasarkan kepada kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia akan terus menjadi sebuah masyarakat berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya berdasarkan prinsip kesederhanaan. Perkara itu menjadi dasar Barisan Nasional,” katanya

– BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-