Thursday, March 14, 2024

PKR bukan 'tong sampah', kata Hassan Karim

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Mar 14, 2024 2:41 PM
Bekas pemimpin parti lain yang mahu menyertai PKR perlu ditapis dan disemak terlebih dahulu latar belakang mereka, kata ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Hassan berkata PKR juga tidak seharusnya menerima mana-mana pimpinan yang mempunyai rekod jenayah, bankrap dan rasuah.

"Saya menyambut baik dan mengalu-alukan jika ramai orang termasuk daripada parti lain, sama ada anggota biasa atau pemimpin besar untuk menyertai PKR dengan syarat minimum iaitu mereka dengan jujur menerima dasar dan cita-cita Parti Keadilan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan parti.

“Bagaimanapun, adalah wajar serta munasabah serta bertanggungjawab untuk semak ke atas pemimpin-pemimpin besar parti lain yang ingin menyertai PKR. Parti ini bukan tong sampah,” katanya kepada Malaysiakini.

Hassan berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menjangkakan lebih ramai bekas pemimpin berstatus profil tinggi daripada Perikatan Nasional (PN) akan meninggalkan parti masing-masing dan menyertai PKR dalam masa terdekat.

Saifuddin semalam mendakwa, pihaknya ada menerima permohonan daripada pemimpin-pemimpin pembangkang yang mempunyai nama besar dalam arena politik negara dan berminat menyertai PKR.

Pada Selasa lalu, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan penyertaannya dalam PKR.
Dia turut mendedahkan lebih ramai pemimpin dan ahli perintis Bersatu di semua peringkat akan menyertai parti itu.

Selain Faiz, bekas Adun Dengkil dari Bersatu, Adhif Syan Abdullah turut diterima menyertai PKR.

Mengulas lanjut, Hassan berkata PKR perlu mengekalkan imejnya yang bersih sebagai sebuah parti yang ingin membawa perubahan dan reformasi.

"Elemen-elemen bersifat parasit, dedalu, oportunis atau penyangak dan penyakau serta korup perlu ditolak awal-awal," tegasnya.

Justeru dia turut mengingatkan PKR agar mengambil sikap terbuka namun cermat dalam menguruskan hal terbabit.

“Seruan saya kepada pemimpin PKR dalam soal menerima kemasukan ramai anggota baru terutama dari parti lain atau orang awam biasa termasuk yang sebelum ini memusuhi PKR ialah dengan mengambil contoh dalam sirah Nabi Muhamad S.A.W.

“Bagaimana baginda rasullulah dengan sikap terbuka tetapi cermat dan berhemah menerima ramai orang, banyak pihak dan banyak kabilah untuk menyertai perjuangan rasullulah sehingga Islam berkembang pesat,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-