Tuesday, March 19, 2024

Saya bukan patung, ikut segala kata, kehendak menteri - Agong

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 19, 2024
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, memberi peringatan bahawa Baginda memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Sehubungan itu, titah Seri Paduka sebaik sahaja selesai tempoh “bulan madu”, baginda akan melaksanakan cara pemerintahan yang sebenarnya.

“Saya bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri.

“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk ketua negara.

“Apabila habis tempoh bulan madu ini…, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar,” titah Sultan Ibrahim sempena istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka bagaimanapun tidak mengulas lanjut.
Hanya 36 sahaja benar-benar layak

Dalam hantaran di Facebook, Seri Paduka, bertitah pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat itu adalah untuk memberi pengiktirafan kepada individu yang telah berjasa, mencurahkan khidmat bakti atau menyumbang kepada Wilayah Persekutuan.

“Saya sendiri telah meneliti setiap calon yang disediakan Jawatankuasa Pemilihan dan tahun ini saya membuat keputusan hanya 36 orang penerima sahaja benar-benar layak untuk dianugerahkan,” titah Seri Paduka.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim terkenal dengan sikap tegas semasa pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat semasa negeri Johor.

Berbanding dengan negeri-negeri lain, jumlah penerima di Johor lazimnya adalah terlalu kecil dan pengurniaan hanya dijalankan selepas melakukan saringan dan pemantauan yang ketat bagi memastikan mereka yang terpilih itu benar-benar layak.

Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 31 Januari lalu.

Baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-