Tuesday, March 19, 2024

Isu stoking: Agong murka, mahu tindakan sekeras-kerasnya

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 19, 2024 3:44 PM
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa murka dan duka cita berhubung penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart dan mahu tindakan "sekeras-kerasnya" diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Sultan Ibrahim bertitah kalimah Allah dipandang sangat tinggi oleh umat Islam, justeru isu tersebut tidak seharusnya timbul.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Hari ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail turut bertitah pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam perkara itu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Terdahulu, pengasas KK Super Mart, KK Chai dan pembekal stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd telah membuat permohonan maaf berkenaan isu tersebut.

Namun, sejumlah pihak tidak berpuas hati dengan langkah itu, antaranya Pemuda Amanah dan Pemuda Umno yang mahu KK Super Mart menaikkan kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawagannya.

Kes itu kini dalam siasatan polis dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam berkata pihak KK Super Mart akan dipanggil dalam masa terdekat.

Agong juga mengingatkan masyarakat agar menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.

Baginda juga bertitah bahawa tidak masuk akal syarikat dengan kakitangan warga Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah baginda.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-