Tuesday, March 19, 2024

DAP sampaikan pendirian pada Zahid, tak setuju gesaan boikot KK Mart

malaysiakini.com
Wong Kang Jia
Diterbitkan: Mar 19, 2024 6:08 PM
DAP menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan gesaan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh untuk memboikot kedai serbaneka KK Mart yang terpalit dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendirian itu telah disampaikan kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh di Putrajaya malam tadi.

"Saya nak tanya Dr Akmal, kalau perkara ini berlaku kepada sebuah kedai ataupun satu rangkaian kedai runcit yang dimiliki oleh satu syarikat yang beragama yang dimiliki oleh orang Islam apa reaksi dia?

"Pendirian kita memang tidak bersetuju dengan pendekatan dan cara yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal. Saya rasa pandangan-pandangan telahpun dikemukakan.

"Kenyataan daripada DAP juga telahpun dinyatakan oleh beberapa pimpinan termasuk Ketua Pemuda, Dr Kelvin Yee dan juga YB Nga (Kor Ming).

"Memang pendirian kita tidak bersetuju dengan pendekatan itu. Kita merasakan bahawa dalam isu-isu sensitif ini perlulah ditangani dengan lebih berhemah," katanya ketika menghadiri majlis penyerahan cek di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Akmal agar kedai serbaneka itu diboikot.

Loke berkata dia juga ada menghubungi pengasas KK Mart dan pengerusi eksekutif kumpulan itu, KK Chai serta mengaturkan pertemuan mereka dengan JAKIM semalam untuk menjelaskan mengenai duduk perkara sebenar.

"Betul ada kesilapan yang dilakukan oleh KK mart. Dan mereka telahpun mengakui kesilapan itu dan memohon maaf. Apa yang menyebabkan kesilapan itu akan disiasat oleh pihak berkuasa," katanya.

Loke menegaskan ahli politik sepatutnya menjadi jambatan dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia dan bukannya menghasut sentimen perkauman.

"Dalam masyarakat kita yang berbilang budaya, berbilang agama, terdapat banyak isu sensitif yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam, dan sebagai pemimpin politik, kita mesti bekerja keras untuk membina jambatan.

"Tidak kira apa yang berlaku, kita mesti cuba membina jambatan untuk menyelesaikan isu dan meredakan keadaan, bukan untuk menghangatkan keadaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-