Sunday, March 31, 2024

ULASAN | Melengahkan cukai orang kaya

malaysiakini.com
Amira Aisya Abd Aziz
Diterbitkan: Mar 31, 2024 10:21 AM
ULASAN | Akhirnya sudah muktamad bahawa satu lagi agenda dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah tertangguh, iaitu Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT).

Ketika ia diumumkan, kerajaan Madani dilihat mahu cuba menyelamatkan golongan marhaen dengan mengenakan lebih banyak tekanan cukai ke atas golongan berkemampuan dan golongan lebih berada.

Tapi sejak pembentangan Belanjawan 2024 lalu, apa yang berlaku adalah sebalikya. Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) naik daripada 6 peratus kepada 8 peratus.

Bukan saja SST naik, skop cukai itu juga diperluaskan. Maknanya lebih banyak barang akan dikenakan cukai.

Cukai untuk perkhidmatan digital juga naik daripada 6 peratus kepada 8 peratus. Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVGT) sampai 10 peratus.

Ini semua cukai yang akan memberi impak paling besar kepada majoriti pengguna di Malaysia, iaitu kumpulan yang tersepit dalam suasana gaji kecil, peluang kerja yang sedikit dan kos sara hidup tidak sepadan dengan pendapatan.

Golongan yang berkemampuan dan pembeli barangan mewah serta bernilai tinggi? Tangguh dahulu. Nanti sahajalah.

Persoalannya, kenapa kerajaan ghairah benar mencukai golongan marhaen tapi culas dan liat untuk buat hal yang sama kepada orang kaya?

Dalam laporan Awani ada disebut alasan yang diberikan kenapa kerajaan liat untuk membentangkan HVGT, iaitu perselisihan pendapat mengenai definisi "barangan bernilai tinggi" serta julat harga barangan yang tertakluk kepada cukai.

Tiada penjelasan diberi

Ia berlaku walaupun dialog dan perundingan berterusan dibuat dengan pemain industri runcit dan persaudaraan cukai.

Tapi definisi barangan bernilai rendah di dalam LVGT mudah pula dirunding dan diberi kata putus. Keputusan untuk meluaskan skop SST cepat pula. Mahu caj pengguna digital, laju.

Tapi HVGT lambat. Belum ada khabar bila akhirnya kerajaan mahu membentangkan Rang Undang-undang HVGT.

Saya masih ingat apabila pembentangan HVGT dibuat dalam Belanjawan 2024, kerajaan menyenaraikan contoh-contoh barangan mewah seperti kenderaan import mewah, jam tangan bernilai lebih RM20,000, barangan kemas dan kapal terbang peribadi.

Waktu dibentang, banyak juga senarai itu disebarkan untuk meyakinkan orang ramai bahawa cukai tersebut adalah adil. Kamu berharta, kamu sumbanglah kepada negara dengan cukai lebih tinggi.
Tapi akhirnya tangguh. Mahu laksana 1 Mei 2024 tapi Parlimen ditangguhkan sehingga 24 Jun.

Tangguh sebab apa? Tidak ada siapa yang memberikan penjelasan mahupun meredakan tekanan orang ramai yang sudah mula berspekulasi soal perlawanan kelas antara marhaen dan kaya.

Saya bukan anticukai. Saya tahu dan faham benar negara ini sudah hilang banyak kekayaan dan wang rakyat apabila Umno memerintah.

Saya juga tahu nanti berbodong-bodong kumpulan penyokong kerajaan yang akan tuduh saya procetak wang, tidak mahu ekonomi yang lebih progresif dan sebagainya.

Hakikatnya, Muda bukan anticukai tapi Muda anticukai hanya untuk marhaen. Biar adil dan sama-sama merasa kek ekonomi negara.

Saya nak ingatkan juga bahawa Muda adalah satu-satunya ahli parlimen yang bersuara di dalam Dewan Rakyat untuk kenakan Cukai Durian Runtuh (Windfall Tax) kepada syarikat pengeluar sarung tangan getah yang untung berlipat-lipat kali ganda sewaktu pandemik Covid-19 berlaku.

Ada kenderaan elektrik

Waktu itu, Umno mahupun PN yang memerintah – semua tidak endahkan cadangan tersebut. Walhal syarikat-syarikat terbabit mengaut untung luar biasa ketika rakyat sedang susah dengan pandemik.

Penyokong Madani yang membaca rencana ini janganlah menuduh bahawa saya dan rakyat lain tidak mahu membayar cukai, apatah lagi kononnya kita tidak faham mengapa cukai ini baik untuk pembangunan negara.

Nak cukai, cukailah. Tapi biarlah adil, biarlah saksama.

Saya juga mahu ingatkan kerajaan bahawa jikalau mereka mempunyai iltizam politik yang bersih dan adil dalam hal pencukaian, rakyat pasti akan menyokong.

Macam negara-negara luar yang cukainya jauh lebih tinggi misalnya, tetapi pembahagian kek ekonomi itu dipecah-pecahkan dengan adil dan bukannya secara perbezaan dua darjat.

Tetapi kalau sekejap-sekejap mahu cukaikan marhaen yang mahu membeli barangan peribadi di platform digital, mahu tambah cukai sewaktu marhaen beli barangan harian dan makan minum, segerakanlah cukai kepada orang kaya juga.

Orang kaya sudah punya kenderaan elektrik, penangguhan cukai itu ini tapi marhaen masih bergelut dengan cukai-cukai tambahan dengan gaji yang tak naik-naik.

Tulang belakang sebenar ekonomi bukanlah milik hartawan tetapi milik marhaen dan pekerja. Jagalah yang 90 daripada menimang-nimang yang 10.

AMIRA AISYA ABD AZIZ ialah pemangku Presiden Muda dan Adun Puteri Wangsa, Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-