Monday, April 1, 2024

Anwar luang 20 minit tinjau bazar Ramadan

hmetro.com.my
Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
ANWAR beramah mesra bersama beberapa pengusaha gerai di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan, Kangar hari ini. FOTO Aizat Sharif

Kangar: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa melakukan tinjauan 'walkabout' di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan, Kangar sempena lawatannya ke Perlis, hari ini.

Perdana Menteri yang diiringi Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengambil peluang beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar selama kira-kira 20 minit.

Anwar, yang tiba di bazar Ramadan itu pada 6.05 petang turut diiringi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil.

Dalam 'walkabout' berkenaan juga, Anwar turut singgah di beberapa gerai peniaga dan beramah mesra bersama mereka.

Bazar Ramadan Persiaran Wawasan adalah bazar Ramadan terbesar di Perlis kelolaan Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) yang mempunyai lebih 300 peniaga.

Bazar yang terletak di sebelah Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis itu sering mendapat sambutan terutama dalam kalangan pengunjung bukan hanya dari negeri itu tetapi dari Kedah yang menawarkan juadah seperti ayam bakar, nasi kerabu, nasi ulam dan juga kuih muih tradisional.

Selepas meninjau bazar Ramadan itu, Anwar dijadual menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Perlis di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping di Padang Besar.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri taklimat Pembangunan Perlis di Kompleks DUN Perlis pada jam 3 petang.

Ini adalah lawatan keduanya ke Perlis selepas berbuat demikian pada Februari tahun lalu sebaik dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.

Disiarkan pada: April 1, 2024 @ 7:10pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-