Showing posts with label bazar Ramadan. Show all posts
Showing posts with label bazar Ramadan. Show all posts

Monday, April 1, 2024

Anwar luang 20 minit tinjau bazar Ramadan

hmetro.com.my
Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
ANWAR beramah mesra bersama beberapa pengusaha gerai di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan, Kangar hari ini. FOTO Aizat Sharif

Kangar: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa melakukan tinjauan 'walkabout' di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan, Kangar sempena lawatannya ke Perlis, hari ini.

Perdana Menteri yang diiringi Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengambil peluang beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar selama kira-kira 20 minit.

Anwar, yang tiba di bazar Ramadan itu pada 6.05 petang turut diiringi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil.

Dalam 'walkabout' berkenaan juga, Anwar turut singgah di beberapa gerai peniaga dan beramah mesra bersama mereka.

Bazar Ramadan Persiaran Wawasan adalah bazar Ramadan terbesar di Perlis kelolaan Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) yang mempunyai lebih 300 peniaga.

Bazar yang terletak di sebelah Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis itu sering mendapat sambutan terutama dalam kalangan pengunjung bukan hanya dari negeri itu tetapi dari Kedah yang menawarkan juadah seperti ayam bakar, nasi kerabu, nasi ulam dan juga kuih muih tradisional.

Selepas meninjau bazar Ramadan itu, Anwar dijadual menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Perlis di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping di Padang Besar.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri taklimat Pembangunan Perlis di Kompleks DUN Perlis pada jam 3 petang.

Ini adalah lawatan keduanya ke Perlis selepas berbuat demikian pada Februari tahun lalu sebaik dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.

Disiarkan pada: April 1, 2024 @ 7:10pm

Thursday, March 14, 2024

Janganlah naik harga melampau

hmetro.com.my
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
Tinjauan harga makanan di Bazar Ramadan Putrajaya. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran keras kepada peniaga dan penjaja makanan bazar supaya tidak menaikkan harga melampau sempena Ramadan kali ini.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihaknya melaksanakan Op Pantau di bazar seluruh negara sepanjang Ramadan ini bagi memastikan harga makanan tidak dijual secara melampau.

Untuk itu, katanya, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa akan digerakkan untuk memantau bazar di seluruh negara.

"Peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati.

"Laporan sebuah akhbar semalam (Isnin) mengatakan harga barang dunia sekarang turun, jadi tidak ada alasan menaikkan harga.

"Sekiranya didapati ada elemen mencatut, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai kenaikan harga kuih dan makanan tertentu di bazar Ramadan dilihat meningkat secara purata antara 10 hingga 20 peratus.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, melihat situasi semasa sudah pasti kenaikan harga makanan tidak dapat dielakkan pada Ramadan ini.

Namun katanya, kenaikan itu perlulah berpada-pada dan memberikan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

"Kalau tengok sekarang memang semua barang naik harga, pengguna pun faham jadi segelintir mereka lebih suka beli makanan siap sebab jimat masa dan tenaga memasak.

"Cuma kita minta peniaga dan penjaja terutama yang menjual makanan janganlah menaikkan harga terlampau tinggi sehingga menyebabkan orang marah.

"Selain itu, kerajaan juga berperanan penting mengawal kenaikan harga di peringkat pembekal supaya peniaga makanan dapat menjual pada harga berpatutan kepada pengguna," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua peniaga dan penjaja sentiasa menjaga kualiti makanan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku seperti kes keracunan makanan.

"Saya nasihatkan supaya peniaga dan penjaja memastikan makanan berada dalam keadaan baik, bersih dan sedap untuk dimakan," katanya.

Wednesday, March 13, 2024

Harga jualan bazar Ramadan naik 20 peratus

cosmo.com.my
Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
13 Mac 2024
Harga makanan dan minuman naik sehingga 20 peratus di Bazar Ramadan Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Harga makanan dan minuman di kebanyakan bazar Ramadan di bandar raya ini menonjak sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu ekoran peningkatan kos operasi.

Tinjauan di Bazar Ramadan Batu Burok di sini mendapati, rata-rata peniaga memberi alasan terpaksa menaikkan harga jualan disebabkan kenaikan kos bahan mentah dan sewa tapak.

Seorang peniaga ayam golek yang mahu dikenali sebagai Adi, 37, memberitahu harga jualannya terpaksa dinaikkan RM30 seekor berbanding RM28 pada tahun lalu.

“Harga ayam mentah sekarang pun tak berapa stabil. Sewa tapak bazar Ramadan juga mahal tahun ini. Naik RM2 seekor ni bagi saya amat minimum,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Batu Burok di sini, kelmarin.

Sementara itu, seorang pengguna, Mohd. Hasrul Nizam Roslan, 34, mendakwa, tinjauannya pada hari pertama Ramadan kelmarin mendapati rata-rata minuman dan makanan termasuk kuih-muih naik harga antara 50 sen hingga RM1.50 berbanding sebelum ini.

“Kenaikan paling ketara ialah popia goreng yang dulu RM2 tiga biji, sekarang RM1 sebiji. Air pun ada yang dijual RM5 segelas berbanding RM3 sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Nur Ilyani Rosli, 42, berkata, kenaikan harga makanan dan minuman di bazar Ramadan terbabit menyebabkan dia terpaksa mengawal selera bagi berjimat-cermat.

“Saya memang sudah menjangkakan kenaikan harga di bazar Ramadan kali ini dan sebagai pengguna, kita perlu sesuaikan diri. Beli apa yang perlu sahaja dan elak rambang mata bagi mengelak pembaziran,” katanya. 

– KOSMO! ONLINE

Baru hari pertama dah buat hal, pembeli terkejut pulut panggang keras macam kayu

malaysiadateline.com
Oleh MAISARAH AISYA
13/03/2024
Tidak kisahlah baru pertama kali berniaga di bazar ramadan sekalipun, pastikan kualiti makanan terlebih dahulu sebelum menjual.

Ada di antara kita yang terlalu sibuk bekerja hingga tak sempat memasak dan menjadikan juadah di bazar sebagai lauk untuk berbuka.

Buat pengguna TikTok @kanda.nismilan, dia tidak menyangka kuih pulut panggang dibelinya adalah keras.

Dalam video tersebut turut dilihat pengguna mengetuk kuih itu ke pinggan dan kedengaran ia sangat keras.

Sepatutnya pulut tersebut lembut dan kenyal apabila dibahagi dua namun lain pula kejadian, ia kedengaran seperti bunyi kayu patah.

“Alkisah 1 Ramadan. Tak tahulah nak gelak atau nak nangis, sudah mcm kayu,” ujar pengguna tersebut di ruangan kapsyen.


Rata-rata netizen memaklumkan mereka sedaya upaya tidak pergi ke bazar tahun ini kerana merasa pembaziran di tahun sebelum ini.

“Kalau boleh untuk tahun saya cuba elakkan dari pergi bazar. Tahun lepas banyak duit saya laburkan kat bazar.

“Tahun lepas pertama kal beli, lepastu asyik ulang beli sampailah satu hari tu belikan RM8 untuk mak mentua. Terkejut tengok basi, belendir dan masam, taubat tak beli dah.


“Kita kena faham pulut panggang versi 2024 kena cicah dgn air kopi, teh atau sewaktu dengannya,” antara komen netizen.

Boleh pula peniaga tak perasan makanan mereka keras, pastinya ini bukan pertama kali berniaga. Jadi alasan apa mahu diberikan.

Tuesday, March 28, 2023

Pengunjung ramai tetapi peniaga bazar Ramadan mengeluh kerugian

satuberita.my
By SatuBerita
-March 28, 2023
Beberapa pelanggan membeli pulut mangga sebagai juadah berbuka puasa semasa berkunjung di Bazar Ramadan Bandar Baru Ampang, 27 Mac .Gambar Malaysianow.

AZMI dan ibu mertuanya, Makcik Maimon teruja untuk berniaga di bazar Ramadan sempena sebulan berpuasa sejak Januari tahun ini.

Mereka berdua duduk berbincang tentang menu-menu yang ingin dijual, membuat kiraan tentang modal jualan dan mencari pembantu di gerai yang akan dibuka.

Selain itu, isteri Azmi akan memfokuskan kepada urusan rumah tangga sepanjang proses persediaan sebelum dan semasa jual beli.

Tahun ini, Azmi berjaya mendapatkan tapak niaga di bazar Presint 14, Putrajaya bagi kali keempat dengan kali terakhir meniaga pada tahun 2021.

Dia dan ibu mertuanya sudah menjual nasi tomato, nasi beriani Johor dan soto sejak lebih 20 tahun lalu di pasar-pasar malam.

Menurutnya, bazar Ramadan memang menjadi acara paling ditunggu-tunggu oleh mereka pada setiap tahun kerana jual beli makanan dalam tempoh satu bulan penuh.

“Tapi tahun ni, masuk hari kedua puasa saya dah tawarkan kepada sesiapa yang mahu sewa bersama tapak bazar saya.

“Saya rugi banyak dan tak mampu nak tampung rugi lagi. Lebih baik kongsi rezeki dengan sesiapa yang nak berjual tapi tak ada kekosongan tapak (jualan),” katanya kepada MalaysiaNow sewaktu tinjauan ke bazar tersebut pada Isnin.

Menurut Azmi, dia dan ibu mertuanya menanggung kerugian kira-kira RM300 sehari kerana makanan yang tidak habis dijual.

Lebih menyedihkan, makanan yang dihasilkan tidak boleh dijual semula pada keesokan harinya.

Mereka akhirnya menyumbang makanan-makanan yang tidak habis dijual kepada golongan yang memerlukan ataupun diserahkan kepada kumpulan sukarelawan di bazar yang akan menghantar makanan itu ke lokasi tertentu.

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa tapak bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang mendapati kunjungan pembeli tidak putus seawal pukul 4 petang.

Di Presint 14, keadaan pengunjung menjadi amat sesak selepas tamat waktu pejabat-pejabat kementerian sekitar 4.30 petang.

Sebuah tapak bazar di Seri Kembangan dan Subang Jaya, Selangor juga meriah sehingga sukar untuk mendapatkan ruang parkir kenderaan.

Bagaimanapun, para peniaga yang ditemui MalaysiaNow berkata, bilangan pengunjung yang berpusu-pusu ke tapak bazar tidak membantu dalam hasil jualan mereka.

Bercakap kepada MalaysiaNow, peniaga air buah, Rahimi berkata mereka yang datang sudah mempunyai senarai makanan yang ingin dibeli terutamanya kuih-muih atau lauk pauk yang sudah siap dimasak.

Atas sebab itu, katanya, tidak menghairankan apabila kedai yang menjual aneka kuih boleh menghabiskan jualan seawal jam 5 petang.

“Lepas tu, kedai makanan macam martabak, roti john dan makanan bergoreng dapat sambutan.

“Sebab murah dan boleh makan ramai.”

Pemerhatiannya sejak beberapa tahun lalu selepas pandemik mendapati tidak ramai pengunjung yang datang ke bazar untuk memperuntukkan wang yang banyak.

“Paling maksimum dalam RM10 hingga RM20 bagi mereka yang berkeluarga.

“Bajet sebanyak tu memang boleh dapat roti john atau martabak dan kuih-muih.”

Berbeza dengan pelanggan bujang, mereka kebiasaannya datang membeli menu yang sama seperti set nasi, air dan kuih.

“Jarang la nampak orang bujang belanja sakan di bazar. Kalau banyak pun mungkin dibungkus untuk makan sahur sekali,” katanya.

Mana ‘Menu Rahmah’?

Berbalik kepada Azmi dan ibu mertuanya, disebabkan amaran pihak kerajaan dan berkuasa supaya peniaga tidak meletakkan harga yang tinggi pada jualan menyebabkan keadaannya tersepit.

Oleh itu, bermula pada Isnin mereka hanya menjual nasi tomato yang disifatkan sebagai rendah modal dan mudah dimasak.

Menu jualan tradisi mereka sejak dua dekad lalu iaitu nasi beriani dan soto.

Katanya, modal untuk menyediakan kedua-dua menu itu amat tinggi dan apabila tidak habis dijual ianya akan mengganggu aliran kewangan perniagaan mereka yang perlu bertahan untuk tempoh tiga minggu lagi.

“Pelanggan datang beli lauk kambing sahaja dah cecah RM20. Kalau nak tambah ayam dalam RM8 hingga RM10 ikut saiz.

“Mahal. Mereka rasa lebih baik masak sendiri. Saya tak salahkan mereka, mereka betul.

“Tapi modal saya tinggi, takkan saya nak jual harga murah? Lebih baik saya buat kenduri ajak orang makan,” katanya.

Peniaga makanan bergoreng di sebelah tapak Azmi setuju dengan kenyataan itu.

Memperkenalkan diri sebagai Nur Syamila, dia berkata pelanggan yang rajin memasak di rumah tidak akan mencari “menu Rahmah” di bazar Ramadan kerana maklum tentang harga barangan yang serba serbi mahal.

“Mereka tak tanya, mana Menu Rahmah kepada peniaga sebab mereka tahu sukar nak dapatkan set nasi dengan harga yang rendah.

“Cubalah juga tanya, mana tahu ada gerai jual makanan ringan yang buat menu serendah RM5 tapi bukan makanan berat seperti nasi.”

Menurut Syamila lagi, disebabkan modal yang tinggi dan harga tapak sewaan meningkat tidak pelik mengapa ramai peniaga mula menjauhkan diri daripada bazar Ramadan.

“Sama ada mereka buka sendiri tapak di kawasan tertentu atau ambil pesanan secara dalam talian.”

Thursday, March 23, 2023

Jadikan kawalan perbelanjaan norma baharu Ramadan pembaziran makanan sepanjang Ramadan

bharian.com.my
Oleh Mohd Faizol Rizal Mohd Rasid dan Dr Mohd Hafiz Zulfakar
bhrencana@bh.com.my
Berbelanja tanpa berhemat ketika membeli juadah berbuka menyebabkan pembaziran makanan. - Foto hiasan

Sambutan Ramadan kali ini kembali meriah, walaupun masyarakat masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berwaspada.

Pelbagai sektor boleh beroperasi sepenuhnya mampu mencorak semula ekonomi negara, di samping mengembalikan kemeriahan kepada umat Islam dalam menjalankan ibadat puasa. Bazar Ramadan umpamanya, pasti memanfaatkan golongan peniaga dan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bagaimanapun dalam keterujaan itu, isu pemborosan dan pembaziran makanan perlu diberi perhatian. Sudah menjadi lumrah setiap kali Ramadan, peningkatan ketara jumlah sisa buangan bahan makanan pasti berlaku.

Berdasarkan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sebanyak 44.5 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal dilupuskan ke tapak pelupusan adalah sisa buangan bahan makanan dianggarkan 17,000 tan sehari.

Daripada jumlah itu, 24 peratus sisa buangan bahan makanan masih elok dan cukup untuk lebih 3 juta orang sehari. Justeru, kebenaran penganjuran sepenuhnya bazar Ramadan dan bufet Ramadan di hotel serta restoran pada tahun ini dijangka akan menjadi antara penyumbang peningkatan sisa buangan bahan makanan. Malah ia akan meningkat sekitar 15 hingga 20 peratus berbanding bulan lain.

Sudah tentu angka ini menjadi ironi kerana Ramadan sepatutnya menjadi bulan mendidik jiwa agar dapat mengawal diri daripada godaan hawa nafsu. Apatah lagi, Islam mengajar umatnya untuk bersikap sederhana dan berjimat cermat.

Hakikatnya, sikap boros berbelanja lebih banyak mendatangkan kemudaratan, manakala berbelanja tanpa berhemat ketika membeli juadah berbuka puasa sering menyebabkan pembaziran makanan.

Peningkatan drastik jumlah sisa pepejal bahan makanan setiap kali Ramadan sangat membimbangkan kerana ia akan mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, sekali gus menyumbang pencemaran alam sekitar.

Sekiranya dapat dielakkan, ia mampu menjimatkan tenaga dan sumber bagi menguruskan sisa pepejal, sekali gus mengurangkan kesan karbon terhadap alam sekitar. Amalan perbelanjaan secara sederhana dan berhemah di bazar Ramadan sangat penting dititikberatkan, malah ia juga boleh mengurangkan kadar perbelanjaan keluarga.

Dalam hal ini, masyarakat disaran menggunakan bekas makanan dibawa dari rumah kerana bukan sahaja mengurangkan penghasilan sampah, terutama plastik membungkus makanan atau polisterin, bahkan mengelakkan pembelian berlebihan. Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur bazar Ramadan perlu proaktif dengan memperkasa kempen serta program kesedaran kepada orang ramai bagi mengelakkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.

Sambutlah Ramadan dalam kesederhanaan, manakala perancangan dan kawalan perbelanjaan perlu dijadikan norma baharu supaya sikap boros berbelanja dan pembaziran makanan dapat dielak.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Thursday, April 14, 2022

PKD uji sampel rambut kuih limas

By SatuBerita
-April 14, 2022

SAMPEL gumpalan rambut yang didakwa ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di bazar Ramadan di Teluk Intan, Perak semalam kini dihantar ke makmal untuk ujian.

Penemuan bahan tercemar yang di dalam makanan itu tular sejak semalam dan kini diserahkan kepada pegawai penyiasat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, berdasarkan risikan yang dijalankan, pengadu sudah dikesan dan diminta untuk tampil ke PLD untuk membuat aduan secara rasmi.

Menurutnya, susulan itu, bapa pengadu iaitu individu yang membeli makanan tercemar itu sudah hadir ke membuat aduan.

“Kuih limas yang diadukan masih disimpan oleh pengadu dan sudah diserahkan kepada pihak pegawai penyiasat Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

“Kes ini akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Akta Makanan 1983 (Akta 281),” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Katanya, tindakan lanjut dan siasatan seperti di lokasi bazar dan lokasi makanan itu disediakan serta operasi khas ‘kuih limas’ akan dilakukan.

Mohd Akmal berkata, pelanggan disaran untuk membuat aduan sekiranya terdapat peniaga yang melanggar dan tidak mematuhi etika penyediaan dan penjualan makanan yang selamat.

“Aduan boleh disalurkan melalui laman web sispaa KKM, walk in ke pejabat kesihatan daerah terdekat @ bkkm JKN Perak dan email jknperak@moh.gov.my,” katanya.

Tuesday, April 5, 2022

Pesta naik harga

hmetro.com.my
Raja Noraina Raja Rahim dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
Orang ramai membeli juadah untuk berbuka puasa. FOTO HAIRUL ANUAR ABDUL RAHIM

Kuala Lumpur: Kenaikan harga bahan mentah yang tinggi menyebabkan rata-rata peniaga bazar Ramadan tahun ini tidak ada pilihan lain selain menetapkan harga baharu untuk jualan mereka.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan peniaga mengakui terpaksa menaikkan sedikit harga makanan bagi menampung modal perniagaan.

Bagaimanapun kenaikan harga makanan di bazar Ramadan masih dianggap berpatutan oleh orang ramai yang rata-ratanya memahami situasi peniaga.

Peniaga nasi tomato dan sate, Latifah Mohd Hassan, 58, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan sate dengan peningkatan 20 sen manakala nasi tomato meningkat RM2 berbanding harga sebelum ini.

"Nasi tomato sekarang saya jual RM10 dengan satu per empat bahagian ayam berbanding RM8 sebelum ini.

"Manakala sate ayam RM1 berbanding 80 sen secucuk sebelum ini dan sate daging pula naik kepada RM1.20.

"Kenaikan ini disebabkan kos bahan mentah mahal. Pembekal ayam dan daging lembu yang dibeli menaikkan harga dua bahan mentah itu.

"Lebih merumitkan lagi apabila pembekal beritahu bekalan ayam muda sudah tidak ada.

"Jadi saya terpaksa cari sendiri di beberapa pasar borong kerana saya gunakannya untuk jualan nasi tomato," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), kelmarin.

Beliau berkata, situasi sama berlaku bagi harga sayuran yang turut mengalami kenaikan agak tinggi dan bahan kering seperti minyak masak, tomato puri serta cili kering.

Peniaga otak-otak di Bazar Ramadan TTDI, Mohd Muhaimin Md Aliman, 28, berkata, harga ayam yang meningkat di pasaran menyebabkan dia menaikkan harga jualan pepes ayam dari RM1 kepada RM1.10 manakala harga otak-otak dan satar ikan kekal.

"Kenaikan harga ini sudah bermula sejak bulan lalu. Jadi, kebanyakan pelanggan sudah sedia maklum mengenainya.

"Saya bersyukur mereka menerima dengan baik kerana faham situasi dialami peniaga," katanya.

Sementara itu, peniaga di Bazar Ramadan Jalan Raja Muda Musa, Muhammad Azhari Ariffin, 32, mengakui terpaksa menaikkan harga jualannya berikutan kenaikan harga barang mentah daripada pembekal.

"Saya tiada pilihan selain menaikkan harga makanan dengan peningkatan antara 50 sen hingga RM1 untuk setiap makanan.

"Jika tidak, kami peniaga tidak akan merasai sedikit keuntungan daripada hasil jualan," katanya.
Suasana orang ramai mengunjungi tapak bazar ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Singgah Mata, Asia City, semalam. FOTO MOHD ADAM ARININ

Harga naik sehingga RM5!

Lauk pauk berasaskan ayam masih menjadi pilihan utama masyarakat walaupun berlaku kenaikan antara RM3 dan RM5 seekor.

Tinjauan di bazar Ramadan di Dataran Shah Bandar, mendapati ayam bakar dijual pada harga RM27 seekor berbanding hanya RM22 Ramadan tahun lalu.

Seorang peniaga ayam madu Sarawak, Abd Wafi Zainuddin, 25, berkata, walaupun berlaku peningkatan harga, tetapi sambutan masyarakat amat menggalakkan apabila mampu menjual sebanyak 80 ekor dalam tempoh dua jam.

"Kenaikan harga ayam mentah tidak boleh dielakkan berikutan kesukaran mendapatkan bekalan.

"Kami harap bekalan ayam mencukupi sepanjang Ramadan," katanya.

Abd Wafi yang menjual ayam Bakar madu Sarawak lebih tujuh tahun lalu berkata, harga ayam mentah dibelinya daripada pembekal utama RM18 seekor.

"Kita berharap tiada lagi kenaikan harga ayam berlaku sepanjang Ramadan ini," katanya.

Pengunjung, Siti Rabiatul Tajulnisa, 20, berkata, kenaikan harga bukan terhad kepada ayam, malah pelbagai barangan keperluan asas lain termasuk daging.

"Pada pandangan saya, kenaikan ini boleh mengajar seluruh masyarakat berjimat cermat dan tidak membazir," katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2022 @ 7:00am

Sunday, April 3, 2022

Harga juadah naik, kos bahan mentah tinggi - Peniaga

hmetro.com.my
Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my

Orang ramai membeli juadah berbuka puasa. FOTO Essa Abu Yamin

Batu Pahat:
Sebahagian besar juadah berbuka puasa yang dijual di bazar Ramadan di daerah ini mengalami peningkatan harga dipercayai berikutan kenaikan kos bahan mentah.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan peniaga yang ditemui di sini hari ini menyatakan mereka terpaksa menetapkan harga baharu untuk jualan di bazar Ramadan.

Seorang peniaga di bazar Ramadan Batu Pahat, Zuraidah Abu Bakar, 37, berkata, jika tidak menaikkan harga jualan maka mereka tidak dapat menampung modal berniaga yang dikeluarkan.

"Macam saya berniaga hanya setahun sekali di bazar Ramadan dan begitu terasa dengan kesan kenaikan harga barangan keperluan termasuk terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi.

"Selain dikenakan caj sewa tapak dan kanopi yang agak tinggi, saya juga terkesan dengan harga barang mentah yang naik secara tidak menentu ketika ini.

"Kalau saya tidak menaikkan harga makanan, memang langsung tidak akan dapat semula modal yang sudah dikeluarkan apatah lagi untung," katanya di sini, hari ini.

Bagi peniaga ayam bakar di Bazar Ramadan Batu Pahat, Mohd Azhar Abdullah Karim, 35, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan menu ayam bakar dengan peningkatan 50 sen hingga RM1 mengikut bahagian-bahagian ayam seperti dada, peha, rangka dan lain-lain.

"Walaupun begitu, kadar kenaikan harga menu berkenaan tidaklah melampaui batas dan orang ramai masih mampu untuk membeli.

"Kualiti dan kuantiti menu ayam bakar yang dijual tetap dikekalkan tetapi harga mungkin dinaikkan sedikit bagi setiap jualan," katanya.

Katanya, dia dan peniaga-peniaga lain tidak boleh menaikkan harga makanan keterlaluan kerana kadar sewa yang dikenakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada kadar berpatutan.

"Kami terpaksa menaikkan harga sedikit kerana kos bahan mentah khususnya ayam agak mahal pada kadar harga sekilo ayam berharga RM8.90," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2022

Monday, March 28, 2022

10 juadah popular di bazar Ramadan bakal naik harga tahun ini

themalaysialife.com
March 28, 2022 1:45 pm
10 juadah popular di bazar Ramadan bakal naik harga tahun ini. Semestinya bazar Ramadan akan menjadi tumpuan utama orang ramai tahun ini memandangkan kita memasuki fasa endemik.

Namun, 10 juadah yang popular dalam kalangan orang ramai dijangka mengalami kenaikan harga berikutan kos bahan mentah untuk menghasilkan makanan itu yang melonjak ketika ini.

Menerusi Sinar Ahad, antara juadah tersebut ialah roti john, martabak, kuih talam, tepung pelita, lepat pisang, puding karamel, masakan ayam, masakan ikan, ayam golek dan pelbagai jenis air.


Perkara tersebut diakui peniaga, Aminah Zakaria, 66, yang berpandangan kenaikan harga juadah seperti kuih muih dan lauk pauk terpaksa dilakukan ekoran kenaikan harga barang mentah di pasaran.

Katanya, kenaikan harga bermula dari 50 sen hingga RM2 terpaksa dibuat peniaga mengikut jenis juadah yang dijual.

“Tahun ini saya akan naikkan harga lauk pauk dan kuih muih yang dijual bagi menampung kos bahan mentah serta barangan asas yang tinggi ekoran kenaikan harga di pasaran.
“Jika dulu saya boleh jual sebiji kuih contohnya lepat pisang dan kuih bertalam dengan harga 40 sen sebiji, tetapi tahun ini saya terpaksa jual 70 sen hingga RM1 sebiji.
“Begitu juga dengan kuih tepung pelita yang menjadi kegemaran ramai, kalau dulu boleh jual lima biji RM3.50 tetapi tahun ini akan jual RM5 untuk jumlah sama,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kenaikan harga juadah tidak terhad kepada jenis makanan sahaja malah harga jualan air pelbagai perisa juga akan dinaikkan.

Katanya, harga jualan teh ais madu sebelum ini ditetapkan RM3.50 secawan namun pada Ramadan nanti akan dijual pada harga RM5 sebungkus.
Sementara itu bagi Rohaida Abu, 30, lauk pauk yang dijual pada tahun ini akan dinaikkan antara RM1 hingga RM2 mengikut kuantiti yang diminta pelanggan.

“Nasi lemak ayam goreng berempah tahun ini dijual pada harga RM6 berbanding tahun lalu iaitu RM5 mengikut saiz potongan, begitu juga lauk ikan naik RM1 hingga RM2 seekor mengikut saiz dan harga pasaran semasa.

“Peniaga bukan sengaja mahu naikkan harga jualan, tetapi kena tampung kos bahan mentah yang meningkat,” ujarnya.
Semestinya kenaikan harga barang mentah ini memberi kesan tidak hanya kepada penjual malah kepada pembeli. Pembeli mungkin akan lebih berhati-hati dan tidak rambang mata ketika membeli di bazar ramadan.

Namun diharapkan agar kerajaan dapat mengawal harga bahan mentah kerana peniaga tidak akan menurunkan harga selepas ini walaupun harga bahan mentah sudah turun.

Monday, April 27, 2020

Pembaziran makanan kurang tanpa bazar Ramadan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, banyak alternatif untuk membeli makanan selain ke bazar Ramadan termasuk menggunakan khidmat penghantaran makanan.
 – Foto oleh Miera Zulyana

PUTRAJAYA, 27 April — Ketiadaan bazar Ramadan pada tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19 dilihat mampu mengawal isu pembaziran makanan yang berlaku setiap kali bulan Ramadan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata ini digalakkan lagi dengan saranan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya umat Islam memasak sendiri juadah berbuka puasa di rumah.

“Tiada bazar Ramadan, jadi apa yang dibeli dan dimasak nampak terkawal. Justeru, pembaziran boleh diminimumkan.

“Kalau boleh kita hendak sifar pembaziran tetapi sekurang-kurangnya usaha ke arah itu cukup menarik dan nampak berhasil,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sumbangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan penduduk di zon hijau mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk keluar membeli juadah berbuka puasa, Zulkifli berkata mereka sepatutnya mengambil iktibar situasi di sesetengah negara yang menyaksikan sikap tidak ambil peduli boleh menyebabkan berlakunya gelombang kedua atau ketiga Covid-19.

“Kita masih bertarung untuk memutuskan rantaian Covid-19, kalau kita boleh teruskan, alangkah baiknya.

“Banyak lagi cara (beli juadah berbuka puasa), contohnya menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah. Itu jauh lebih baik dan kita duduk di rumah,” katanya.

Menyentuh mengenai Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim, Zulkifli berkata setakat ini, sebanyak RM1.6 juta daripada keseluruhan RM3.7 juta kutipan tabung itu telah digunakan bagi membantu golongan memerlukan.

Jakim hari ini menerima sumbangan 3,000 keping penutup hidung dan mulut, 400 botol cecair pembasmi kuman dan 500 kotak Susu Kolostrum IgCo bernilai RM111,000 daripada syarikat Success Network International (SNI) Sdn Bhd.

Jakim turut menyerahkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Putrajaya yang merupakan sumbangan seorang usahawan Palestin di Malaysia, Abdul Faragh Abdul Shahfi. 

— Bernama

Friday, April 3, 2020

Batal bazar Ramadan langkah terbaik bendung COVID-19

Ia berisiko tinggi memandangkan menjadi lokasi tumpuan ramai orang
03/04/2020



KUALA LUMPUR, 9 Syaaban 1441H, Jumaat – Meskipun terbayang-terbayang tiada lagi juadah beraneka rasa terhidang di atas meja semasa berbuka puasa, namun bagi rata-rata masyarakat termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO), merasakan keputusan membatalkan bazar Ramadan adalah yang terbaik, bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Bagi Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Ridzuan Abdullah, ini bukan masanya untuk memikirkan untung dan rugi, memandangkan bazar Ramadan berisiko menyumbang kepada penularan COVID-19, memandangkan ia menjadi tumpuan ramai orang.

“Kes COVID-19 ini pun belum tentu habis bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu tamat, jadi orang ramai masih lagi bimbang untuk keluar… walaupun aspek keselamatan pemakanan dan kebersihan dipatuhi, ia tetap tidak cukup menghalang penularan wabak sepanjang musim bazar Ramadan, jika ia dilaksanakan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Dengan PKP yang besar kemungkinan akan dilanjutkan sehingga ke bulan Ramadan, dijangkakan hampir 99 peratus peniaga kecil akan menghadapi krisis kewangan dan ekonomi keluarga, bagi tempoh tiga hingga empat bulan mendatang.

Tambahnya, peniaga bahan bukan makanan dijangka mengalami kerugian yang teruk, berbanding peniaga juadah makanan.

“Ada antara mereka yang sudah menempah pakaian bundle dari luar negara, pakaian Muslim dan Muslimah dari pembekal, penjahit dan pemborong-pemborong kain…ini semua melibatkan kos yang besar kerana melibatkan modal pusingan, sewa yang tinggi, bahan mentah dan kos tinggi, dalam mendapatkan tempahan dari luar,” katanya.

Sebagai alternatif, Ridzuan menyarankan agar kerajaan boleh mewujudkan satu platform atau sistem, bagi menempatkan jualan dan produk peniaga bazar yang terjejas.

“Sebagai contoh, e-bazar jualan khas bagi peniaga bazar. Dalam masa yang sama, peniaga bazar sewajarnya sudah mempunyai perancangan dan persediaan yang realistik, sekiranya bazar ramadan dibatalkan,” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, Presiden Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (Wadi) Sukmamurni Abdul Manaf berkata, peralihan ke perniagaan atas talian atau e-dagang harus dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik buat masa ini.

“Komuniti penjaja dan peniaga termasuk wanita, disaran memulakan konsep e-bazaar Ramadan, namun harus mengekalkan arahan kerajaan seperti jarakan sosial dan penghantaran tanpa sentuhan.

“Kerajaan pula disaran membantu rangsangan rantaian bekalan tempatan mungkin melalui insentif dalam bidang logistik dan pengangkutan…kami percaya walau bazar Ramadan dibatalkan, para peniaga sentiasa akan cari jalan penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed pula berkata, walaupun ada cadangan daripada pihak kerajaan yang dilihat agak menyakinkan, termasuk mengadakan bazar dalam suasana lebih kemas, teratur dan selamat, namun ianya bergantung kepada arahan PKP.

“Ramai peniaga mengharapkan bazar Ramadan diteruskan, walaupun secara kecil-kecilan kerana ia sudah dianggap sebagai satu tradisi di bulan puasa… cadangan bazar Ramadan dilakukan secara talian pula menarik, namun perlu dipastikan ia dapat dilakukan secara menyeluruh.

Bagi peniaga makanan, Kamarul Anuar Mohamed Nasir, 38, beliau akur dengan ketetapan kerajaan Selangor untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri itu, meskipun telah mengatur strategi perniagaan untuk jualan set nasi penyet di bazar Ramadan Bandar Kinrara.

“Tidak dinafikan saya rasa sedih, sebab saban tahun bazar Ramadan adalah lubuk rezeki kami para peniaga, tetapi saya akur jika ini adalah jalan terbaik untuk mengawal COVID-19.

“Meskipun saya ada restoran, namun jumlah pendapatan untuk restoran jatuh ketika bulan Ramadan sebab waktu niaga yang singkat berbanding hari biasa… maka dengan tiadanya bazar Ramadan, saya akan mencuba nasib dengan penghantaran makanan, selain jualan di restoran,” kata pemilik restoran, Tempat Makan Lesehan di Seri Kembangan itu.

Dalam pada itu, tinjauan di laman sosial mendapati topik bazar Ramadan terus diperkatakan, antaranya @M_HarithRoslan berkata, pembatalan bazar Ramadan sahaja tidak memadai sekiranya pusat beli belah dan pasar raya dibuka dan dibanjiri orang ramai seperti biasa selepas tamatnya PKP.

“Let’s say MCO ends on 14th as scheduled, people gonna flock to malls instead, unless current directive holds… current directive should continue even after MCO… no bazaar, no mall, no nothing… nak iftar di masjid atau padang pun tidak boleh,” katanya. (Katakan PKP berakhir pada 14 April seperti dijadualkan, orang ramai sebaliknya akan beramai-ramai ke pusat membeli belah, kecuali arahan seperti sekarang diteruskan … perintah seperti sekarang perlu diteruskan walaupun selepas PKP … tiada bazar, tiada membeli belah, tidak ada apa … berbuka di masjid dan padang juga tidak boleh).

Hingga ke hari ini, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor dan Kedah, telah membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri, manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar juga sudah menegaskan, bazar Ramadan tidak sesuai diadakan di negeri itu disebabkan risiko berlaku kontak rapat yang amat besar. 
– Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-