Monday, April 1, 2024

DAP Johor bidas tindakan Akmal, boleh jadi benih ekstremisme

agendaily.com
01/04/2024
Sheikh Umar Bagharib Ali.

Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh terus menerima kritikan dari DAP berhubung isu melibatkan stoking kalimah Allah yang mendapat perhatian umat Islam seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata tindakan Akmal terlalu berlebihan membangkitkan berhubung isu stoking kalimah Allah yang berkemungkinan boleh membenihkan ekstremisme.

“Saya bimbang, pendekatan Akmal dalam mendepani isu ‘stokin kalimah Allah’ mutakhir ini hanyalah akan menggalakkan Islam ekstrim.

“Saya tiada masalah dengan niat beliau yang ‘mahu mempertahankan Islam dari dihina’. Bahkan saya percaya, masyarakat Islam umumnya berkongsi rasa yang sama. Namun bagi saya, cara serta pendekatan beliau yang kadangkala bernuansa provokatif adalah tidak bertanggungjawab serta berlebihan.

“Ini bahaya. Atas nama ‘mempertahan kesucian agama’, tanpa disedari pendekatan beliau boleh membenihkan ekstrimisme. Ini bukan apa yang diajarkan oleh Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga naib pengerusi DAP Johor juga berkata Akmal sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih bertamadun.

“Namun pada hemat saya, Akmal membawa pendekatan sebaliknya. Pendekatan yang boleh mendorong masyarakat Islam di negara ini bertindak ganas atas nama agama.

“Kita telah dikejutkan dengan 2 serangan bom di KK Mart. Bagi saya Akmal mungkin tidak sedar bahawa setiap tindakan, kenyataan dan seruan berlebihan yang beliau keluarkan dalam isu ini nampaknya boleh memangkin lebih banyak tindakan-tindakan ganas luar jangka antara rakyat berbilang agama meskipun beliau tidak menginginkannya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, satu lagi cawangan KK Mart di Kuantan, Pahang diserang bom petrol telah menyebabkan kebakaran kecil di hadapan pintu masuk kedai serbaneka itu.

Sebelum ini, cawangan KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak turut mengalami nasib serupa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-