Showing posts with label Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh. Show all posts
Showing posts with label Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh. Show all posts

Monday, February 24, 2025

Akmal kebudak-budakkan, mentaliti rendah- Nazri

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Feb 24, 2025 1:12 PM
Bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) Nazri Aziz membidas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh sebagai kebudak-budakkan dan mempunyai mentaliti rendah.

Nazri berkata demikian bagi menjawab kritikan keras Akmal yang menyifatkannya sebagai “penjilat” selepas menyifatkan tiada siapa yang layak menjadi perdana menteri jika Anwar Ibrahim tiada.

"Respons Akmal ini terhadap kenyataan saya menunjukkan tahap kebudak-budakan dan mentaliti yang rendah. Respons tersebut tidak menjawab kenyataan saya dengan baik.

"Saya telah diberitahu bahawa dia tidak mewakili orang Melayu atau Umno sendiri. Dia sepatutnya mempertikaikan apa yang saya katakan dengan fakta yang betul, dan bukan dengan mengatakan saya ‘menjilat’.

“Adakah itu reaksi yang patut datang dari Ketua Pemuda?" kata bekas menteri dan bekas pemimpin kanan Umno itu.
Akmal Salleh
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Nazri berhasrat memberi tumpuan untuk menyokong Anwar selepas kembali dari AS, serta memastikan presiden PKR itu kekal menerajui Putrajaya selepas PRU16.

Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan calon pengganti Anwar turut merangkumi Umno, Nazri membalas dengan sinis: “(Boleh) kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa."

Nazri turut menyindir Akmal dengan mengatakan dia hanya mewakili "satu perempat" daripada empat sayap Umno, justeru pandangannya mengenai pelbagai isu tidak boleh dianggap sebagai suara majoriti.

Dalam kenyataan membalas, Akmal berkata pemuda Umno bukan penjilat mencari makan.

Nazri bagaimanapun berkata jika benar dia “menjilat”, Umno yang akan mendapat faedah, termasuk Akmal sendiri sebagai exco kerajaan Melaka.

"Kalau saya "menjilat", yang untung adalah dia, Umno, dan pakatan mereka. Ini kerana, saya sebagai penjilat akan memastikan peluang untuk dia menang di Melaka akan cerah, dan dia mungkin boleh menjadi exco.

"Jika saya "menjilat", untung untuk dia, bukan untuk saya," katanya.

Ditanya mengapa Nazri berpandangan Akmal tidak membawa suara majoriti Melayu, Nazri membalas PAS telah menjadi parti dominan di kalangan golongan itu.

"Jika betul siapa yang mewakili suara Melayu-Islam sekarang, ia adalah PAS. PAS memerintah empat negeri (Kedah,Perlis, Kelantan dan Terengganu) majoriti Islam.

"Di Parlimen, kerusi Melayu yang dipegang PAS jauh lebih banyak berbanding Umno. Itu yang saya katakan, Akmal bukan suara majoriti,” katanya.

Nazri juga membandingkan Akmal dan PAS mengendalikan isu stoking kalimah Allah.

"PAS mengendalikan isu stoking dengan baik tanpa sebarang ketegangan kaum berbanding Akmal dan pemuda Umno," katanya.

Sunday, February 23, 2025

Akmal: Pemuda Umno bukan penjilat macam Nazri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 23, 2025 6:21 PM
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh membalas kenyataan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Nazri Aziz dengan menegaskan sayap parti itu bukanlah golongan pengampu.

"Kami Pemuda (Umno) bukan penjilat mencari makan. Kami ada tanggungjawab untuk menjaga agama bangsa daripada sibuk menjilat untuk kepentingan diri.

"Jika kamu nak menjilat, silakan. Jangan samakan kamu dengan kami.

"Mana tahu lepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula," perli Akmal pada hantaran di media sosial.
Nazri sebelum ini pernah dilantik sebagai timbalan ketua Pemuda Umno pada tahun 1993 dan memangku jawatan ketua sayap parti itu dari 1994 hingga 1996.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Nazri berhasrat memberi tumpuan untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas kembali dari AS, serta memastikan presiden PKR itu kekal menerajui Putrajaya selepas PRU16.

Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan calon pengganti Anwar turut merangkumi Umno, Nazri membalas dengan sinis: “(Boleh) kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa."

Nazri turut menyindir Akmal dengan mengatakan Adun Merlimau itu hanya mewakili "satu perempat" daripada empat sayap Umno, justeru pandangannya mengenai pelbagai isu tidak boleh dianggap sebagai suara majoriti.
Sementara itu, Akmal menyoal jika Nazri sendiri mewakili majoriti orang Melayu.

"Saya nak tanya juga, adakah kamu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu?

“Mungkin kamu dah lupa, yang kamu bukan berada di Amerika lagi sebab kontrak tidak disambung lagi," katanya.

Awal bulan ini, Nazri kembali ke Malaysia dan menafikan dakwaan bahawa beliau telah "dipanggil balik" sebelum tamat tempoh perkhidmatannya.

Nazri menjelaskan sebagai duta yang dilantik secara politik, dia telah menandatangani kontrak dua tahun dengan Kementerian Luar Negeri.

Monday, February 17, 2025

Perlu tindakan, tak boleh sekadar mohon maaf, kata Akmal

malausiakini.com
Diterbitkan: Feb 17, 2025 9:27 AM

Tindakan menghina antara kaum perlu dikenakan tindakan undang-undang, kata Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, dia yang juga adalah Adun Merlimau berkata, tindakan seumpama itu tidak boleh dibiarkan dengan hanya berakhir dengan memohon maaf sahaja.

“Tidak kira siapa pelakunya,tindakan undang-undang perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada pihak yang lain.

“Kalau tidak, budaya sebegini yang buat dulu lepas tu minta maaf akan semakin berleluasa dan semakin mudah golongan-golongan ini terlepas!” katanya.

Hujung minggu lalu, satu rakaman video tular di media sosial selepas seorang penjaja tepi jalan didapati meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja yang digunakan untuk menjual jagung bakar.

Insiden tersebut dikatakan berlaku di Kota Warisan, Sepang dengan penjaja terbabit meletakkan notis berbunyi:

"Sorry, ini jagung tiada jual sama orang keling."

Perkataan keling merupakan istilah menghina yang digunakan terhadap masyarakat India.

Video itu mengundang rasa berang pelbagai pihak yang mahu tindakan segera diambil.

Bagaimanapun, semalam Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di X memaklumkan bahawa penjual jagung yang mencetuskan kontroversi itu telah memohon maaf kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya kaum India atas perbuatannya yang boleh menjejaskan keharmonian.

Katanya, peniaga tersebut juga telah berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.

Aaron berkata permohonan maaf tersebut telah diadakan di sebuah restoran di Sepang yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.

Friday, October 25, 2024

'Cukup-cukuplah minta maaf '- Akmal kecam insiden kibar bendera China

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 25, 2024
Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menggesa kerajaan mengambil tindakan keras terhadap penganjur sambutan Guan Gong Sedunia berikutan insiden mengibarkan bendera China pada malam perarakan di Teluk Intan, semalam.

Dalam satu rakaman video, Akmal berkata pihaknya menolak permohonan maaf daripada penganjur terbabit.

"Apa kejadahnya, nak buat perarakan di tempat awam. Dahlah tak ada permit, angkat lagi bendera China. Tak ada satu langsung pun bendera Malaysia di situ.

"Cukup-cukuplah. Hari tu dah berlaku dalam sekolah. Hari ni nak bawa bendera China berarak di luar pula," katanya merujuk insiden di sebuah sekolah di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Cukup-cukuplah untuk minta maaf," katanya.

Justeru, menurut Akmal, dia telah mengarahkan Pemuda Umno Perak untuk membuat laporan polis berhubung insiden itu.

"Saya nak minta juga pihak kerajaan untuk kenakan tindakan undang-undang yang keras terhadap mereka ini supaya boleh menjaga sensitiviti antara orang Malaysia.

"Tolonglah, jangan buat, dah buat nak minta maaf. Dah muak, dah bosan. Kita kenakan tindakan, kita minta polis ambil siasatan dan kita kenakan tindakan yang seberat-beratnya kepada mereka.

"Dahlah, cukuplah, asyik kita je yang kena bersabar," katanya.
Terdahulu, Persatuan Kebudayaan Guan Gong, yang menganjurkan acara itu, memohon maaf dan menjelaskan bahawa individu yang dirakam mengibarkan bendera terbabit adalah warga China dan bukan warga Malaysia.

Presiden persatuan itu, Soon Boon Hua berkata, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

Sementara itu, polis mengesahkan perarakan itu melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris berkata perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam semalam, dan disertai kira-kira 400 penonton.

"Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azizi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

'Utamakan patriotisme'

Sementara itu, Pemuda MCA menyifatkan insiden itu sebagai tindakan memalukan dan tidak patriotik terhadap Malaysia, kata ketua penerangan sayap itu Neow Choo Seong.
Dia menggesa semua pihak khususnya NGO supaya mendahulukan semangatkan cintakan negara dan patriotisme dalam setiap penganjuran acara atau apa jua majlis yang hendak diadaakn.

"'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' wajar dijadikan pegangan kepada kita semua, bahawa semangat patriotik dan cintakan kepada Malaysia perlu sentiasa diutamakan.

"Insiden di Menara Condong di Perak, dan sebelum itu, di sebuah sekolah di Pulau Pinang, tidak sepatutnya berlaku dan berulang lagi," katanya.

Dia berkata agensi kerajaan perlu lebih peka dan sensitif dalam memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan apa jua acara.

“Seharusnya setiap pengisian program diselit dengan elemen-elemen cintakan Malaysia.

“Dalam masa sama, pihak berkuasa juga perlu memberi pemantauan yang lebih terhadap penganjuran acara-acara sedemikian, lebih-lebih lagi acara yang diadakan di tempat awam, sekolah, dan destinasi pelancongan Malaysia," katanya.

Wednesday, July 24, 2024

Akmal bidas DAP - 'Sukan pun tak dibenar terima dana syarikat arak, apa lagi sekolah'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 24, 2024 11:28 AM
Pemuda Umno menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak, rokok dan judi memberikan sumbangkan kepada sekolah.

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata, dalam sukan bola sepak pun sumbangan oleh pihak berkenaan tidak dibenarkan apa lagi kepada pihak sekolah.

"Sokongan sepenuhnya kepada YB menteri pendidikan untuk mempertahankan polisi tidak dibenarkan sumbangan dari syarikat arak, rokok dan judi diberikan kepada pihak sekolah.

"Jika liga bola sepak negara pun tidak dibenarkan syarikat sebegini untuk menyumbang apa lagi untuk sekolah di dalam negara ini.

"Dan saya mohon agar pihak kerajaan untuk mempertahankan polisi yang sedia ada ini walaupun diasak oleh mana-mana menteri untuk mengubahnya," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam Fadhlina dilaporkan menolak pengecualian untuk pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.

Dia berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun ia mesti mengikut garis panduan kementerian.

"Jadi nasihat saya, patuhi garis panduan tersebut.

"Dan juga sekolah mesti memastikan bahawa tanggungjawab itu berada di peringkat pentadbir untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar," katanya.
Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat dakwaan sebuah sekolah Cina di Sepang menerima sumbangan daripada sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol.

Kementerian juga mengingatkan pentadbir sekolah supaya mengikut garis panduan sedia ada.

Mengulas siasatan itu, Fadhlina menyifatkan ia lebih sebagai "memberi panduan" bagi memastikan garis panduan itu telah dipatuhi.

Pekeliling itu berkuat kuasa pada Mac 2018 apabila BN menjadi kerajaan. Sekolah Cina telah menerima pembiayaan daripada pelbagai sumber, termasuk kilang bir, selama beberapa dekad.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula berkata isu membabitkan sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina bagi mengumpul dana sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Justeru dia menegaskan akan memberi penjelasan kepada jemaah menteri berhubung perkara itu, hari ini.

Bagaimanapun Akmal turut membidas Loke dengan menegaskan bahawa negara ini mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi.

"Ini negara yang ada peraturan yang perlu dipatuh, bukan negara yang mengikut aturan kamu Anthony Loke Siew Fook.

"Pemuda Umno menyokong penuh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengenai isu ini, bebaskan anak-anak kita dari anasir yang tidak baik," katanya.

Friday, April 5, 2024

Akmal dibebaskan selepas 2 jam, tegaskan tak menghasut

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 5, 2024 1:48 PM
Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh dibebaskan selepas memberikan keterangan kira-kira dua jam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah.

Media melaporkan polis merakam kenyataannya susulan ucapannya dalam ceramah di Kelantan pada Sabtu lalu.

Dia disambut oleh sekumpulan pemimpin Pemuda Umno yang berkumpul di balai polis.

Akmal yang disiasat bawah Akta Hasutan 1948 mempunyai acara di Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, petang ini.

Sementara itu itu, Akmal yang juga exco kerajaan Melaka berkata, dia dimaklumkan untuk sesi rakaman percakapan itu melalui panggilan telefon sejurus sampai ke Sabah pagi ini.

"Saya ada tanya sekiranya boleh tunggu namun keterangan itu perlu diambil secepat mungkin,” katanya.

Berkaitan ucapan itu, dia mempertahankan ucapannya sebagai tiada unsur hasutan.

"Hal ini kerana setiap perkara yang kita bawa ini adalah suara kebenaran dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan," katanya.

Akmal adalah pemimpin politik paling lantang dalam isu jualan stoking bertulis kalimah Allah di KK Mart di Petaling Jaya, sehingga mengundang bantahan di tengah-tengah ketegangan isu itu.

Semalam, aktivis politik Sarawak dan Sabah mendakwa Akmal dan empat orang lagi sebagai dalang yang meningkat ketegangan kaum dan menuntut mereka disekat masuk ke kedua-dua negeri itu.

Polis mendedahkan terdapt dua laporan polis dibuat terhadapnya dalam isu berkenaan dan Kes disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (komunikasi jelik).

Setakat ini tiga kedai KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak, menjadi sasaran keganasan melalui serangan bom botol.

Akmal ditahan di Kota Kinabalu, 'no fear, no surrender', katanya

malaysiakini.com
Muhammad Shahrin Aizat Noorshahrizam
Diterbitkan: Apr 5, 2024 10:55 AM
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh ditahan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pagi tadi.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Akmal berkata bahawa ini di sebalik dia dijadual untuk merakam keterangannya di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, esok.

“Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan

“Tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,” tulisnya.

Dia juga memuat naik satu rakaman video yang memaparkan penahanan itu.

“No fear, no surrender,” katanya sebelum dibawa beredar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sambil tersenyum.


Semalam, aktivis politik dari Sarawak dan Sabah mendesak supaya Akmal dan empat yang lain yang didakwa mereka sebagai "dalang peningkatan ketegangan kaum dan agama, serta perselisihan sosial di negara ini", dilarang daripada memasuki kedua-dua negeri di Borneo itu.
Peter John Jaban, Wakil Sapa
Menurut Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) dan Sabah Defenders of Ancestral Lands’ (Mopot) gesaan mereka itu bertujuan untuk melindungi Sarawak dan Sabah daripada potensi gangguan dan risiko kepada perpaduan sosial.
Razarudin Husain
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata siasatan terhadap Ketua Pemuda Umno itu dilakukan selepas tindakannya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

Katanya, sebanyak dua laporan diterima polis terhadapnya berhubung isu berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Siasatan telah dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil.

“Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah memandangkan mereka terlibat telah dituduh dan proses keadilan akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.
Isu penjualan beberapa pasang stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart baru-baru ini menyaksikan Akmal menjadi watak utama yang mengajak orang ramai memboikot syarikat berkenaan.

Langkah itu diambilnya di sebalik permohonan maaf syarikat berkenaan, selain titah Yang di-Pertuan Agong agar isu berkenaan diredakan. Malah pengasas dan pengarah syarikat tersebut telahpun diheret ke mahkamah.

Gesaan dan kempen boikot tersebut juga menyaksikan sekurang-kurangnya tiga serangan bom petrol dilakukan di tiga premis berasingan KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak.

Monday, April 1, 2024

DAP Johor bidas tindakan Akmal, boleh jadi benih ekstremisme

agendaily.com
01/04/2024
Sheikh Umar Bagharib Ali.

Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh terus menerima kritikan dari DAP berhubung isu melibatkan stoking kalimah Allah yang mendapat perhatian umat Islam seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata tindakan Akmal terlalu berlebihan membangkitkan berhubung isu stoking kalimah Allah yang berkemungkinan boleh membenihkan ekstremisme.

“Saya bimbang, pendekatan Akmal dalam mendepani isu ‘stokin kalimah Allah’ mutakhir ini hanyalah akan menggalakkan Islam ekstrim.

“Saya tiada masalah dengan niat beliau yang ‘mahu mempertahankan Islam dari dihina’. Bahkan saya percaya, masyarakat Islam umumnya berkongsi rasa yang sama. Namun bagi saya, cara serta pendekatan beliau yang kadangkala bernuansa provokatif adalah tidak bertanggungjawab serta berlebihan.

“Ini bahaya. Atas nama ‘mempertahan kesucian agama’, tanpa disedari pendekatan beliau boleh membenihkan ekstrimisme. Ini bukan apa yang diajarkan oleh Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga naib pengerusi DAP Johor juga berkata Akmal sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih bertamadun.

“Namun pada hemat saya, Akmal membawa pendekatan sebaliknya. Pendekatan yang boleh mendorong masyarakat Islam di negara ini bertindak ganas atas nama agama.

“Kita telah dikejutkan dengan 2 serangan bom di KK Mart. Bagi saya Akmal mungkin tidak sedar bahawa setiap tindakan, kenyataan dan seruan berlebihan yang beliau keluarkan dalam isu ini nampaknya boleh memangkin lebih banyak tindakan-tindakan ganas luar jangka antara rakyat berbilang agama meskipun beliau tidak menginginkannya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, satu lagi cawangan KK Mart di Kuantan, Pahang diserang bom petrol telah menyebabkan kebakaran kecil di hadapan pintu masuk kedai serbaneka itu.

Sebelum ini, cawangan KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak turut mengalami nasib serupa.

Saturday, March 30, 2024

Akmal seru boikot KK Mart secara matang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 30, 2024 8:41 PM
Pemuda Umno mengutuk sekeras-kerasnya "tindakan esktrem" keganasan dengan membaling 'molotov cocktail' di kedai serbaneka KK Mart di Kuantan, Pahang hari ini.

Ia kejadian kedua selepas KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol pada 25 Mac lalu.

Pada masa sama, Ketua Pemudanya Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor Astro Awani menyeru mana-mana pihak yang menyertai kempen boikot KK Mart agar melakukannya secara matang tanpa sebarang keganasan.

"Kita melihat ini juga ini merupakan satu perkara yang salah. Kalau nak kempen boikot tak salah seperti mana kita boikot produk-produk Israel yang lain tetapi sepanjang kita boikot (produk Israel), saya rasa tidak nampak orang Islam dan Melayu yang nak pergi bakar McDonald's atau Starbuck.
"Saya percaya isu yang berlaku ini ada pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas perkara itu sendiri. (Tetapi) Jangan buat andaian dulu," katanya seperti dipetik Astro Awani.

Menurut Akmal, dia percaya ada segelintir pihak yang mengaitkan kempen boikot tersebut dengan isu perkauman sehingga mencetuskan bibit-bibit keganasan.

"Kita mohon pihak polis siasat dan beri hukuman yang keras kepada pelaku ini.

"Hari ini, kita jangan buat satu andaian sebab kita pun tak tahu siapa yang buat. Mungkin boleh jadi 'orang A' atau 'orang B'.

"Jadi, andaian yang berlaku ini perlulah disiasat dan kalau ada kebenaran, kita minta pihak polis siasat dan kita kenakan hukuman tanpa kompromi kepada sesiapa sekali pun," katanya lagi.

Monday, March 25, 2024

PBT turunkan kain rentang jualan rahmah KK Mart

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 25, 2024 11:49 AM
Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB) menurunkan kain rentang “jualan rahmah” sebuah cawangan KK Mart negeri itu.

Tindakan itu diambil susulan aduan Ketu Pemuda Umno Akmal Saleh yang mendakwa ia dinaikkan tanpa permit dan tidak mendapat kebenaran menggunakan gambar Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

“Kita minta dia naik banner (kain rentang) minta maaf.

“Tapi banner lain dia naikkan,” kata Akmal yang lantang mengkritik jualan stoking bertulis kalimah Allah di KK Mart di Petaling Jaya, Selangor.


“Maka kita minta PBT jalankan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang sedia ada.”
Akmal Saleh
Akmal yang juga exco Melaka adalah pemimpin politik paling lantang mengecam jualan stoking itu.

KK Mart telah memohon maaf dan menarik balik jualan stoking yang diimport dari China itu.

Perkara itu bagaimanapun belum memuaskan hati Akmal yang mahu kedai serbaneka itu menaikkan kain rentang mohon maaf di semua cawangan KK Mart di seluruh Malaysia.

Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kes itu dan mencadangkan KK Mart dan syarikat pembekal, Xin Jiang Chang Sdn Bhd dihadapkan dengan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Keputusan akan dibuat oleh Pejabat Peguam Negara (AGC).

Sementara itu, menulis di media sosial, Akmal berkata mereka akan tetap memboikot KK Mart.

“Buatlah jualan apa sekalipun,j uallah barang murah mcm mana sekalipun, kami tetap dengan pendirian kami dengan kekal #boikotKKmart.

“Kami ada maruah yang bukan boleh dibeli,” tulisnya.

Sunday, March 24, 2024

Akmal jawab bos Mydin: Soal akidah lebih utama dari jaga taikun

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 24, 2024 1:39 PM
Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh mengingatkan pemilik pasar raya Mydin, Ameer Ali Mydin bahawa isu kalimah Allah adalah isu akidah yang melebihi daripada kepentingan untuk menjaga ekonomi golongan kaya.

Bahkan katanya, Pemuda Umno akan melakukan tindakan yang sama iaitu memboikot Mydin jika mereka menjual stoking tertera kalimah Allah seperti mana dilakukan KK Mart.

"Ini bukan kali pertama, ini bukan kali kedua, ini dah banyak kali berlaku dan kali ini menyakitkan hati umat Islam dalam negara ini. Jadi, apakah salahnya jika tindakan tegas iaitu dengan boikot ini dikenakan kepada petualang-petualang ini.

"Ini isu akidah sebenarnya Datuk Ameer, saya nak bagi tahu jauh lebih hebat, jauh lebih utama daripada bercakap soal keuntungan ekonomi semata-mata.

"Adakah (cukup) dengan hanya minta maaf, buat salah minta maaf, lepas tu kita sudah berpuas hati disebabkan kita nak jaga ekonomi, nak jaga taikun-taikun ini.

"Ini bukan isu mengenai KK Mart, ini bukan isu Cina ataupun tidak, ini isu KK Mart telah menghina orang Islam. Jadi tindakan tegas perlu diambil oleh orang Islam dalam negara ini," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.
Semalam, pemilik pasar raya Mydin itu dilapor mengkritik tindakan Akmal yang menurutnya "mengeksploitasi" isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

“Dia nak heboh-hebohkan lagi buat apa?


"Sepatutnya parti politik menjauhi isu 3R, kalau dah terjadi kita tak mahu bakar lagi…letak minyak tanah lagi," kata Ameer dipetik Free Malaysia Today.

Dalam pada itu Akmal berkata, apa yang dilakukan oleh Pemuda Umno adalah bertujuan untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Katanya mempertahankan kesucian Islam jauh lebih utama berbanding mempertahankan ekonomi pihak tertentu.

"Saya nak bagi tahu juga Datuk Ameer, jika perkara ini berlaku dalam Mydin sekali pun kita akan melakukan perkara sama juga kepada Mydin.

"Jadi apa salahnya jika tindakan tegas iaitu dengan boikot ini dikenakan kepada petualang-petualang ini," katanya lagi.

Menjawab kritikan bekas menteri Rafidah Aziz, Akmal menjelaskan tindakan diambil Pemuda Umno adalah ekspresi bantahan umat Islam apabila agama Islam dipersenda.

Katanya, walaupun Zaman Rasulullah SAW pendekatan lembur diambil seperti mana dakwaan Rafidah, namun tiada kompromi bila agama Islam dihina.

"Betul Tan Sri (Rafidah) mendakwa zaman Rasulullah pendekatan yang lembut telah dilakukan, tetapi kena ingat apabila agama mereka dihina zaman itu tiada kemaafan," tambah Akmal.

Friday, March 22, 2024

Isu stoking: Dr Akmal bawa suara Melayu pertahankan Islam

hmetro.com.my
Amir Mamat
am@hmetro.com.my
AB Rauf menyampaikan sumbangan Ramadan dan berbuka puasa peringkat daerah Melaka Tengah di Masjid Al-Alami (MITC), hari ini. FOTO Amir Mamat

Ayer Keroh: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan langkah Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kontroversi stoking yang tertera kalimah Allah sebagai membawa suara orang Melayu dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Beliau berkata, Dr Muhamad Akmal sudah pasti mempunyai asas kukuh untuk berbuat demikian dalam memastikan kesucian Islam serta maruah Melayu itu dapat dipertahankan secara keseluruhannya.

Katanya, isu stoking tertera kalimah Allah itu tidak seharusnya dipandang dari sudut politik, sebaliknya ia adalah satu isu agama.

"Soal politik tidak mengubah pendirian kita mengenai agama. Kita boleh bersama dalam politik dan boleh bersama membina sebuah negara yang baik, tapi soal agama ini amat sensitif.

"Ia harus dilihat oleh semua pihak supaya sentuhan yang mengguris hati orang Melayu dan umat Islam ini tidak berlaku lagi.

"Semua sedia maklum bahawa kalimah Allah ini diletakkan di taraf lebih tinggi dalam kalangan umat Islam, jadi apabila ia diletakkan pada stoking yang dipakai di kaki, memang semua orang Islam bukan sahaja di Melaka bahkan di seluruh negara akan berasa tersinggung dan terguris hati.

"Jadi, kelantangan Dr Muhamad Akmal ini mewakili orang Melayu dan menyuarakan suara hati umat Islam memandangkan perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana kita sudah bersepakat dalam konteks sosial untuk menghormati hak agama masing-masing," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ramadan dan berbuka puasa peringkat daerah Melaka Tengah di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, berkata kontroversi yang tercetus itu juga perlu diselesaikan secara pragmatik dan tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak bagi memastikan ia tidak berulang.

"Seharusnya perkara ini tidak berlaku di negara kita kerana kita sudah bersepakat dalam konteks sosial untuk saling menghormati yang mana kesedaran ini harus dipertingkatkan.

"(Apabila) kalimah Allah ini tidak diletakkan di tempat yang betul memang ia menyinggung hati orang Islam kerana soal agama ini amat sensitif," katanya.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau dan EXCO Melaka menggerakkan kempen memboikot pasar raya KK Super Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Langkah itu dilihat mendapat reaksi beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Dr Muhamad Akmal turut dilaporkan tetap tidak berganjak dengan desakan rakan sekutu dalam kerajaan Perpaduan itu untuk tidak memboikot KK Mart berhubung kontroversi stoking terbabit.

Ketua Umno Bahagian Jasin itu juga dengan tegas dilaporkan berkata tidak memerlukan persetujuan DAP untuk mempertahankan kesucian Islam itu.

Disiarkan pada: Mac 21, 2024 @ 11:34pm

Thursday, March 21, 2024

Tiada siapa boleh halang, Pemuda Umno boikot ‘habis-habisan’ KK Mart

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-20 Mar 2024, 11:48 PM

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata tiada sesiapa mampu menghalang tindakan itu di sebalik nasihat presiden parti jangan ‘berlebih-lebihan’.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata tiba masa memberi pengajaran kepada pihak menghina Islam. (Gambar Bernama)

NIBONG TEBAL: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata beliau akan terus mendesak pemboikotan kedai serbaneka KK Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah, walaupun dinasihatkan tidak memanjangkan isu itu.

Beliau menegaskan, gesaan memboikot KK Mart bukan untuk meraih kepentingan politik, namun tindakan mempertahankan Islam daripada penghinaan.

“Jadi, sudah tentulah siapa pun yang nak menghalang saya dia takkan mampu untuk menghalang saya,” katanya kepada pemberita di Masjid Simpang Tiga.

Akmal juga menyuarakan keyakinan Pemuda Umno berada pada “landasan betul”.

Susulan kenyataan Akmal sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata jangan “berlebih-lebihan” selepas syarikat mengoperasikan kedai itu sudah memohon maaf dan siasatan mendapati ia dilakukan pembekal dari China.

“Kita selesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang permasalahan,” kata Zahid yang juga presiden Umno.

Akmal memaklumkan bertemu Zahid, dan presiden “tak ada cakap apa-apa”, sambil menyatakan ada ahli Majlis Kerja Tertinggi memberi sokongan kepadanya.

Beliau sekali lagi menegaskan permohonan maaf KK Mart tidak mencukupi dengan berkata tiada sesiapa pun boleh terlepas dengan hanya satu permohonan maaf kerana menghina agama.

Akmal berkata, tiba masa untuk memberi pengajaran kepada pihak menghina Islam, termasuk KK Mart, dan berjanji akan terus “memboikot habis-habisan”.

Beliau juga mengkritik DAP dan mendakwa parti itu membawa isu kaum apabila Pemuda mula menyasarkan KK Mart.

Akmal bertegas jika peruncit itu Muslim sekalipun, beliau akan bertindak sama malah “lagi teruk”.

Kontroversi stoking tertera kalimah Allah tercetus susulan tular gambar penjualan produk itu Rabu lalu, di sebuah cawangan KK Mart Bandar Sunway, sekali gus mengundang kecaman umat Islam termasuk desakan memboikot oleh Pemuda Umno.

Pada Sabtu, syarikat berkenaan memohon maaf dan menyuarakan kekesalan atas insiden berlaku, namun Pemuda Umno mendesak pengurusan KK Mart memasang kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-