Wednesday, April 3, 2024

Najib mahu kerajaan dedah ‘dekri tambahan’ benar tahanan rumah

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-03 Apr 2024

Najib Razak mendakwa bekas Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan dekri itu dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan.
Najib Razak kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Najib Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memaksa kerajaan mendedahkan “dekri tambahan” yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib bagi kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Dalam permohonannya yang difailkan pada 1 April, Najib mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan “dekri tambahan” semasa mesyuarat lembaga pada 29 Jan, sehari sebelum tempoh penggal baginda berakhir.

“Bagaimanapun, Titah Adendum (dekri tambahan) itu tidak diumumkan oleh lembaga pengampunan pada 2 Feb,” kata Najib.

Katanya, peguam beliau menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said bagi mengesahkan sama ada dekri tambahan itu wujud atau tidak.

“Permintaan itu tidak dijawab,” kata Najib


“Kegagalan responden untuk mengesahkan kewujudan dekri tambahan dan permintaan pemohon (Najib) untuk ia dilaksanakan, bersama kegagalan Jabatan Penjara melaksanakan dekri itu adalah tidak munasabah”.

Najib juga mendakwa bahawa kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak melaksanakan dekri tambahan tersebut.

Bekas presiden Umno itu juga mahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memaksa kerajaan melaksanakan dekri tambahan tersebut – sekiranya ia benar – dan meletakkan beliau di bawah tahanan rumah.

Hakim Amarjeet Singh dijangka mendengar permohonan Najib untuk memulakan cabaran undang-undang esok.

Setiap negeri mempunyai lembaga pengampunan masing-masing yang dilantik oleh sultan atau ketua menteri bersama-sama dengan ahli lembaga pengampunan. Satu-satunya pengecualian adalah wilayah persekutuan, di mana ahli-ahli lembaga dilantik oleh Agong.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Agong dan terdiri daripada lima ahli – peguam negara, menteri wilayah persekutuan, dan maksimum tiga orang lain yang dilantik oleh Agong.

Najib, yang mempunyai tiga kes jenayah lain yang sedang berjalan, memulakan tempoh penjara asal 12 tahun dalam kes SRC International pada 23 Ogos 2022 selepas rayuannya yang terakhir ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau dibicarakan oleh Hakim Nazlan Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan jenayah pecah amanah melibatkan dana RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Pada 28 Julai 2020, beliau disabitkan atas semua tuduhan dan dihukum penjara selama 12 tahun bagi setiap tuduhan. Nazlan memerintahkan hukuman dijalankan secara serentak.

Sabitan dan hukuman Najib kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021.

Pada 23 Ogos 2021, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, menolak rayuan terakhir Najib. Mahkamah juga memerintahkan Najib untuk memulakan tempoh penjara serta-merta.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-