Thursday, April 4, 2024

Umno guna serampang 2 mata dalam isu stoking, kata ahli akademik

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-03 Apr 2024, 11:57 PM

Tajuddin Rasdi berkata Umno secara terbuka meminta Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh bertenang, tetapi secara sembunyi gembira dengan sokongan orang Melayu.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dilihat terus bertegas dan enggan beralah dalam isu stoking tertera kalimah Allah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Umno mungkin bermain serampang dua mata apabila meminta Ketua Pemudanya Dr Akmal Saleh berhenti daripada terus memainkan isu stoking tertera kalimah Allah, kata ahli akademik Tajuddin Rasdi.

Beliau berkata, walaupun terdapat permintaan awam untuk meredakan kontroversi tersebut, parti itu kelihatan sedang menikmati populariti baru dalam kalangan orang Melayu.

“Saya syak Umno sedang bermain serampang dua mata. Mereka menyokong kerajaan perpaduan, dengan pemimpin yang mempertahankan setiap dasar kerajaan.

“Bagaimanapun, Umno melihat betapa berkesannya Akmal dan isu KK Mart dalam menarik ramai orang Melayu ke pihaknya. Umno sebenarnya menikmati populariti ini, yang sebelum ini telah hilang kepada Perikatan Nasional,” katanya kepada FMT.

Katanya, Umno boleh saja menyingkirkan Akmal – sama seperti Khairy Jamaluddin, dan menyingkirkan Jailani Khamis dari jawatan exco Melaka – tetapi ia tidak melakukannya.

“Anda ingin kita percaya mereka tidak boleh berbuat demikian, walaupun mereka menggantung individu seperti Hishammuddin Hussein dan yang lain kerana hal yang kurang penting?”

Tajuddin berkata adalah mengejutkan polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Akmal, yang menyebabkan pemimpin Pemuda Umno itu dilihat semakin berani.

Katanya, dengan pilihan raya Sabah semakin hampir, ini boleh menjadi isu sensitif dan orang bukan Melayu boleh membalas dendam kepada Umno.

Tambahnya, satu-satunya cara untuk mengajar Umno adalah dengan orang bukan Melayu memboikot mereka ketika pengundian, kerana “bahasa yang hanya difahami oleh ahli politik adalah undi”.

“Orang bukan Melayu juga sepatutnya mengelak daripada pergi ke rumah terbuka yang diadakan oleh parti itu,” katanya.

Sementara itu, anak kepada timbalan perdana menteri Malaysia yang kedua, Tawfik Ismail, berkata keberanian Akmal akan menjadi masalah.

“Akmal berisiko diasingkan oleh badan tertinggi parti… Akmal mengikut jejak langkah PAS, yang baru-baru ini terlibat kontroversi dengan Sultan Selangor,” kata bekas Ahli Parlimen Sungai Benut itu.

Pada awal minggu ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menggesa semua pihak untuk berhenti mengambil kesempatan daripada kontroversi berkaitan dengan jualan stoking yang bertulis “Allah”.

Baginda berkata perkara itu sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa, dan bahawa “kemarahan berterusan tidak membawa faedah”.

Bagaimanapun, Akmal hari ini kelihatan teguh dalam pendiriannya. Beliau juga bertanya jika Agong bertitah secara spesifik untuk menghentikan boikot itu.

Dalam kenyataan di Facebook, Akmal berkata beliau bertindak mengikut sentimen awam dan menggalakkan boikot secara tenang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-