Sunday, June 30, 2024

'Arahan parti satu perangkap, 6 MP Bersatu akan pertahan kerusi'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 30, 2024 2:35 PM
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyifatkan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu supaya enam ahli parlimen parti itu, termasuk dirinya menyatakan sokongan sebagai satu "perangkap dan penganiayaan."

Sebelum ini, enam ahli parlimen Bersatu itu menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Sepanjang kami menyokong kerajaan perdana menteri, PMX kami tak pernah katakan kami bukan ahli parti Bersatu, tak pernah.

"Dan kami tidak pernah buat apa-apa poster yang menunjukkan kami bukan ahli Bersatu. Kami tidak menentang perlembagaan parti, kami tidak menentang prinsip parti.
"Apa yang kami buat ialah kami masih lagi menjadi ahli parti (Bersatu), kami tidak menentang dasar-dasar parti, kami memberi sokongan mengikut prinsip-prinsip Perlembagaan dan raja yang berdaulat.

“Tetapi bila benda itu tidak kena, maka parti mengambil satu tindakan lain dengan meminda perlembagaan," katanya pada sidang media di Bukit Gantang, hari ini.

Menurut Syed Abu lagi, pindaan perlembagaan yang berkuatkuasa pada 1 April itu tidak boleh mengenakan tindakan reprospektif terhadap enam ahli parlimen Bersatu itu.

"Maknanya patah balik belakang tak boleh, apa mereka buat? Mereka mengeluarkan arahan daripada MPT.

"Itu arahan yang dibuat selepas pindaan, kami bagi sokongan lagi awal...arahan MPT ini seolah-olah menganiayai dan memerangkap kami," katanya pada sidang media hari di Bukit Gantang, hari ini yang disiarkan secara langsung di media sosial Facebook.

Pada 20 Jun lalu, Bersatu memaklumkan telah menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli parlimen Bersatu ke pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee (gambar bawah) berkata notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

"Pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan sebarang keputusan sesuatu parti politik adalah muktamad dan konklusif.
"Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari (Speaker Dewan Rakyat) mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang," katanya pada kenyataan.

Dalam pada itu Syed Abu Hussin berkata pihaknya juga telah menghantar surat bagi menjelaskan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat.

Tegasnya, enam ahli parlimen yang menyokong perdana menteri itu tidak bersalah ataupun melanggar perlembagaan parti Bersatu.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata dia sedia mempertahankan kerusi disandangnya jika pilihan raya kecil diadakan.
"Saya mempunyai keyakinan penuh setelah saya membaca detailnya kemungkinannya kita tak tahu, tapi kalau ada PRK saya sedia untuk mempertahankan (kerusi)," jelasnya.

Katanya, dia yakin Speaker Dewan Rakyat akan membuat keputusan dalam tempoh tiga minggu ketika persidangan berlangsung.

Menurut Syed Abu Hussin lagi, keputusan yang dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengenai pilihan raya kecil DUN Nenggiri tidak mempengaruhi Speaker Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-