Friday, June 21, 2024

Azam Baki hentikan saman RM10 juta terhadap Lalitha

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
ajohari@bh.com.my
- Jun 21, 2024 
Azam Baki (kiri) dan K Lalitha.

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memberhentikan saman yang dikemukakan beliau terhadap 'whistleblower' Penyelidik Kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), K Lalitha.

Tuntutan saman fitnah itu adalah berhubung penerbitan artikel 'Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?'. berkaitan pembelian saham yang disiarkan portal agensi berita Independent News Service (INS).

Berdasarkan Notis Pemberhentian bertarikh 11 Jun lalu, Azam memberhentikan tindakan saman berkenaan yang difailkan pada 12 Januari 2022, atas dasar tanpa prejudis dan tanpa pengakuan kedua-dua pihak.

Menurut notis itu, pemberhentian saman itu juga dibuat tanpa kebebasan memfailkan semula dan tanpa perintah terhadap kos.

Notis terbabit difailkan peguam cara Azam daripada firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad, dan ditandatangani secara bersama oleh peguam Lalitha daripada firma guaman Tetuan Khairuddin, Ngiam & Tan.

Pada pengurusan kes saman itu di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim, Datuk Akhtar Tahir, melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 9 Julai ini.

Dalam pernyataan tuntutan, Azam selaku plaintif mendakwa Lalitha telah mengarang dua artikel bertajuk "Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?" (Bahagian 1) dan "Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?" (Bahagian 2).

Ia pertama kali diterbitkan dalam INS pada 26 Oktober 2021 sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Disember tahun sama.

Plaintif mendakwa Lalitha selaku defendan, turut berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua artikel masih boleh diakses sehingga kini.

Dakwa Azam, tajuk artikel itu adalah sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat.

Beliau mendakwa, ia berniat jahat bagi memberi kesan serta gambaran amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.

Azam mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu, beliau menuntut perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah tersebut diterbitkan semula.

Plaintif juga memohon defendan memadam artikel dan ciapan dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam akhbar atau media sosial pilihan plaintif.

Turut dituntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Lalitha menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada 3 Februari tahun lalu, mendakwa kandungan artikel dan ciapannya membabitkan Azam diperoleh daripada sumber yang sah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-