Saturday, June 22, 2024

Hassan kongsi 5 sebab mengapa 6 kerusi perlu dikosongkan

hmetro.com.my
Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my
Hassan Abdul Karim

Johor Bahru: Ahli Parlimen dari PKR menggariskan lima sebab mengapa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, perlu mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu, susulan notis dikemuka parti itu kelmarin.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata Johari perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan yang dipinda mengikut Akta Anti Lompat Parti, yang juga diluluskan oleh Ahli Dewan berkenan.

Katanya, menjadi tugas Speaker untuk menghormati Perkara 49 A(1) Perlembagaan Persekutuan membabitkan Akta Anti Lompat Parti.

Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan antara lain menjelaskan seseorang Ahli Dewan hendaklah terhenti dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik saja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Keduanya, Hassan berkata Speaker perlu menghormati parti-parti politik berdaftar serta sah yang meminda Perlembagaan parti masing-masing.

"Jika Speaker tak menghormati Bersatu, ia akan memberi implikasinya Speaker juga tak menghormati DAP yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan mereka pada 25 September 2022 seterusnya diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

"Begitu juga Amanah dan Umno yang masing-masing juga sudah meminda Perlembagaan parti mereka, menerusi mesyuarat agung khas pada 18 September 2022 dan 13 Januari 2023, malah RoS sudah meluluskan pindaan Perlembagaan parti berkenaan.

"Kalau Speaker tak menghormati notis daripada Bersatu ini, ia membawa makna Speaker juga tidak menghormati apa yang DAP, Amanah dan Umno lakukan.

"Bersatu bukanlah parti pertama yang melakukan pindaan Perlembagaan parti mereka, tetapi parti itu telah ikut apa yang DAP, Amanah dan Umno lakukan," katanya menerusi satu rakaman video semalam.

Kelmarin, Bersatu dilaporkan mengemukakan notis kepada Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Anwar dikosongkan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Whip Bersatu yang juga Naib Presidennya, Datuk Dr Ronald Kiandee, selepas merujuk Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, di mana keahlian parti enam wakil rakyat Bersatu itu terhenti secara serta-merta.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar sebelum ini ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dewan Rakyat akan bersidang selama 15 hari bermula Isnin ini hingga 18 Julai.

Rabu lalu, suatu duluan kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sudah diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Susulan pengumuman Mohd Amar itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya turut memaklumkan mesyuarat khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri akan diadakan Jumaat depan.

Mengulas sebab ketiga Speaker Dewan Rakyat perlu mengosongkan enam kerusi Parlimen Bersatu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, Johari harus mengambil iktibar atas keputusan dilakukan Speaker DUN Kelantan, kerana ia dibuat atas menghormati pindaan Perlembagaan Persekutuan oleh Dewan Rakyat.

"Kita sendiri di Parlimen yang membuat Akta Anti Lompat Parti melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan. Jika kita sendiri tidak menghormatinya, jadi susahlah begitu.

"Keempatnya, kedudukan kerusi Speaker itu perlu dihormati kerana saya berpendapat apabila Speaker hendak memutuskan perkara ini, Speaker perlu mengambil maklum menghormati Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 18C.

"Mengikut klausa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, jelas menyatakan bahawa keputusan dalaman parti politik tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mahkamah," katanya.

Menyatakan sebab kelima, Hassan berkata, Kerajaan Perpaduan tidak memerlukan sokongan ahli parlimen yang mengkhianati partinya sendiri.

Katanya, enam Ahli Parlimen Bersatu itu bukan sekadar mengkhianati parti itu saja, malah mengkhianati enam kawasan Parlimen masing-masing.

"Maaf cakap, rakyat di enam kawasan itu mengundi mereka bukan kerana enam Ahli Parlimen itu menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya mereka undi sebagai calon Perikatan Nasional (PN) sama ada PAS atau Bersatu, yang menyebabkan kemenangan mereka.

"Rasanya mereka tak akan menang di enam kawasan itu jika menjadi calon PN tetapi menyatakan sokongan terhadap Anwar. Jadi mandat rakyat haruslah dihormati," katanya.

Dalam pada itu, Hassan berkata, beliau berharap Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan tidak mencampuri hal ehwal Parlimen.

"Seperti janji Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam hal ehwal mahkamah, maka saya pun percaya bahawa Perdana Menteri dan kerajaannya tidak akan campur tangan dalam hal ehwal di Parlimen," katanya.

Semalam, kerajaan dilaporkan menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk membuat keputusan berhubung notis dikemuka Bersatu yang meminta supaya pengosongan dibuat ke atas enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya.

Anwar dilaporkan berkata, notis kedudukan Ahli Parlimen Bersatu itu perlu dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat.

Disiarkan pada: Jun 22, 2024 @ 4:39pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-