Saturday, June 15, 2024

‘Jika tarik lesen bas, 1.5 juta murid tidak pergi sekolah’

bebasnews.my
By Editor
-15/06/2024
Tindakan penarikan dan pembatalan lesen bas syarikat itu juga dilihat sebagai satu langkah terkebelakang dalam keadaan negara ketika ini berdepan isu kekurangan bas sekolah. — Gambar hiasan / Majoriti

PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia menafikan pihaknya mempunyai perancangan menaikkan tambang perkhidmatan tersebut susulan pelaksanaan penyasaran subsidi yang bermula pada 10 Jun lalu.

Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, pengusaha bas tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan tambang bas sekolah tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Bagaimanapun, beliau pada masa sama menjelaskan bahawa kenaikan tambang bas tidak bergantung semata-mata terhadap harga diesel.

“Kalau kita naik pun bukan sebab minyak naik, tapi disebabkan peningkatan kos operasi seperti minyak hitam naik, tayar, alat ganti dan upah bengkel.

“Tapi biasanya pengusaha takkan naik tambang sewenang-wenangnya. Kalau dia boleh tampung kos itu, dia takkan naikkan tambang,” katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat yang mengingkatkan pengusaha bas sekolah supaya tidak menaikkan tambang perkhidmatan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Majoriti
Dalam ucapannya di Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Putrajaya, Anwar berkata, pengusaha bas yang melakukan tindakan sedemikian berpotensi berdepan tindakan penarikan dan pembatalan lesen operasi mereka.

Amali berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan tersebut yang disifatkannya seakan-akan suatu bentuk ugutan terhadap pengusaha bas sekolah di seluruh negara dan hanya memburukkan keadaan.

Katanya, tindakan penarikan dan pembatalan lesen bas syarikat itu juga dilihat sebagai satu langkah terkebelakang dalam keadaan negara ketika ini berdepan isu kekurangan bas sekolah.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menumpukan tumpuan bagi memastikan beberapa masalah yang wujud dalam pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dapat ditangani termasuk melibatkan pengusaha bas di seluruh negara.

Antara isu yang timbul adalah mengenai penetapan kuota subsidi dan ketelusan proses pembayaran di stesen minyak serta masalah wujud dalam proses pendaftaran di bawah sistem berkenaan.

“Selesaikan itu dulu. Jangan ugut-ugut kita. Kalau kita hentikan operasi 16,000 bas sekolah (di seluruh negara), 1.5 juta murid tak pergi sekolah.

“Ketika ini di Sabah dan Sarawak ramai (pengusaha) tak dapat subsidi disebabkan mereka berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), bukan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ada juga bas sekolah miliki koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan contohnya bas pertubuhan anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS),” katanya.

Menurut Amali, dianggarkan lebih 3,000 daripada keseluruhan 16,000 bas sekolah yang beroperasi di Malaysia masih tidak berdaftar di bawah SKDS. — Majoriti

Sumber asal https://majoriti.com.my/berita/2024/06/14/039jika-tarik-lesen-bas-15-juta-murid-tidak-pergi-sekolah039

BebasNews

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-